Popular Posts
Popular Posts
Wednesday, 21 June 2017
Syukur dan sabar (Anakku Ekzema Aktopik)
Bismillahirrahmanirrahim...Sebenarnya aku nak share tentang penyakit kulit Ekzema Aktopik ni. Semoga menjadi pengajaran buat semua. Anakku, Muhammad Al Fateh menghidap penyakit Ekzema ni semenjak dia berumur 4 bulan. Alkisahnya, ramai orang dok tanya-tanya kenapa kulit Al-Fateh sampai macam tu sekali. Masa tu timbul ruam dan kulit Al-Fateh agak kering kemerah-merahan hampir seluruh kepala dan tubuh. Al Fateh agak kerap demam dan selsema. Tidur malamnya tak pernah lena. Aku dan suami bergilir-gilir menjaganya pada waktu malam menggaru-garu kulitnya yang gatal. Kasihan Al Fateh..apabila tiba waktu mandi, dia akan meraung-raung menangis kesakitan. Hati aku menjadi sayu dan luluh tak tahan melihat dia menahan kepedihan. Sudah puas kami berdua pergi berubat..Semua doktor pakar kanak-kanak yang merawat Al-Fateh di hospital Columbia dan Sultanah Aminah akan bertanya perkara yang sama..” Ada family history tak bab penyakit kulit ini?”.Ya, famili aku dan suami mempunyai sejarah penyakit kulit ini. Cuma anak-anakku yang lain, adik beradik dan anak-anak saudaraku tidak ada penyakit kulit yang serius. Al Fateh seorang je yang kritikal mewarisi penyakit ini. Sudah 4 tahun Al-Fateh menderita penyakit ini dan 4 tahun juga tidur kami tidak pernah lena sehingga sekarang. Semua Doktor yang kami jumpa mengatakan bahawa penyakit ini akan beransur hilang apabila usia Al-Fateh meningkat. Pada mulanya aku dan suami mengalami depresi, murung dan penat tak terkata merawat penyakit ini. Takdir buat Al-Fateh. Suamiku tak pernah berputus asa mencari penawar untuk Al-Fateh. Farmasi mana yang tak pernah kami kunjung di Johor Bahru ini mencari ubat yang terbaik untuknya. Produk sebamed, cetaphyl, physiogel dan mugoo pernah aku cuba sapu pada kulitnya. Semuanya tak menjadi. Alahai, kenapa macam ni..bukan produk tu tak bagus cuma tak serasi dengan kulit Al-Fateh. Kami pernah juga cuba mendapatkan rawatan alternatif homoepathi untuk rawatan yang tidak menggunakan bahan kimia. Sama juga tiada perubahan. Merawat penyakit anak bukan suatu yang mudah, memerlukan kekentalan hati yang bukan sedikit. Air mata bagaikan sudah kering melihat Al-Fateh menggaru kegatalan pada seluruh tubuhnya. Darah memercik keluar daripada kulitnya yang bersisik bagai meruntun hatiku. Aku sentiasa membalut luka itu, menyapu emolien yang dibekalkan hospital tetapi kulit Al-Fateh tetap juga begitu. Terkadang surut dan pulih sementara kemudian penyakitnya datang pula menyerang. Aku seringkali menangis di pejabat dek sedih dengan penyakit yang menimpa Al-Fateh. Entah apa pandangan rakan sekerja aku pun tidak tahu. Ingin aku jelaskan begitu begini tentang penyakit Al-Fateh tetapi bukan semua orang akan memahami bahawa penyakitnya itu memerlukan rawatan yang rapi terutama dari sudut kebersihan persekitaran. Orang yang pernah melalui dan pernah berada di samping orang yang mempunyai penyakit ini akan memahami bahawa merawat penyakit Ekzema Aktopik bukan mudah seperti yang disangkakan.
Bagaikan sudah lali dengan penyakit yang dihidapi, Al-Fateh tabah menahan kesakitan dalam melalui hari-hari yang mendatang. Aku sebagai seorang ibu hanya mampu mendoakan semoga suatu hari nanti, Al-Fateh sembuh seperti sediakala.
Akhirnya kami berdua mengambil keputusan untuk menjalani rawatan secara berkala setiap bulan di hospital Sultanah Aminah. Alhamdulillah, penyakit kulitnya beransur baik walaupun tidak sembuh sepenuhnya..Ya Allah, ujian ini menyedarkan aku..banyak perkara yang aku dapat belajar daripada penyakit Al Fateh ini..walaupun dia mempunyai penyakit Ekzema Aktopik, dialah segala-galanya penawar duka dan nestapa..telatahnya mencuit hati, petah berkata-kata dan pandai berjenaka. Pandai pula bercakap dan mengambil hati. Kata-katanya selalu membuatkan aku dan suami tersenyum riang melihat dia.Terima kasih kepada suamiku tersayang dalam menempuh onak dan duri, tersadung kaki rebah sekalipun, kita tetap bertahan memberikan yang terbaik untuk Al Fateh. Pengorbanan dan kasih sayangmu tehadap anak-anak dalam mendepani ujian ini amat aku hargai. Kepada mereka yang senasib atau mempunyai anak-anak yang mempunyai penyakit-penyakit kritikal.., lihatlah rumput di bumi sebelum mendongak kepala ke langit biru. Memang indah melihat awan berarak tenang di langit biru secerah petang hari yang tiada mendungnya di tengahari. Namun andai melihat rumput di bumi yang saujananya terbentang luas maka kita akan belajar untuk bersyukur.
. Di situ lihatlah orang-orang disekelilingmu..belajarlah dengan pandangan mata hati yang paling dalam. Belajarlah melihat orang yang ditimpa ujian dan musibah. Disitu kau akan dapati kesyukuran yang paling dalam..ujian dalam nikmat kurniaan Ilahi. Sabarlah hati, kuatkanlah jiwa dan bahagiakanlah diri, pasti pelangi akan tetap nan indah selepas hujan..Teruskanlah mengorak langkah mencari redha Ilahi di mana kita berada.. kata Doktor yang merawat penyakit anakku ini. Doktor selalu sebut : “ buat ibu bapa yang tabah” . Dalam ketabahan itu, sebagai umat islam kita disarankan untuk solat dan sabar, doa, usaha, ikhtiar dan tawakkal kepada Allah menjadi perisai diri kita. Dalam doaku yang tidak putus-putus untuknya, aku percaya doa seorang ibu mustajab buat dirinya. Semoga Al-Fateh cepat sembuh, melalui hari-hari penuh gembira, bermain tanpa batas dan menikmati waktu indahnya zaman kanak-kanak. Insya Allah.
KASIH SAYANG DALAM PERSAHABATAN DUNIA DAN AKHIRAT
Indahnya sebuah persahabatan yang disulami kasih sayang...Alhamdulillah, Allah S.W.T mengurniakan sahabat-sahabat dan rakan sekerja yang baik hati dan budi...semoga Allah S.W.T melimpahkan kasih sayang yang berkekalan antara kami..
Allah S.W.T mentakdirkan aku untuk bertemu dan semoga pertemuan ini semuanya kerana Allah S.W.T..mengenali sahabat merupakan anugerah terindah bagi aku yang bermusafir ini..Tiada kata seindah bahasa mampu aku nukilkan lewat pertemuan ini.terima kasih dapat mengenali sahabat yang juga merupakan mentor ku di sini..banyak juga perkara yang aku dapat pelajari dan mengambil segalanya sebagai pengajaran supaya aku lebih matang dalam menempuh kehidupan dalam arus yang penuh mehnah dan tribulasi ini..aku ingin semoga kasih ini berkekalan di mana jua kita berada..Aamin. Terima kasih kakakku, Dr Raudhah, Kak Noreida dan Dr Maskiah..
Subscribe to:
Comments (Atom)