Sunday, 7 July 2019

ILMU DAN PENGALAMAN MENGAJAR ERTI KEBERANIAN


ILMU DAN PENGALAMAN MENGAJAR ERTI KEBERANIAN

Syukur alhamdulillah, dalam minggu-minggu sebelumnya banyak perkara dapat diuruskan dengan baik tanpa banyak masalah. Semua perkara dapat berjalan lancar sebagaimana yang dirancang juga merupakan satu rezeki yang tak ternilai dan anugerah yang terindah daripada Ilahi. Harapan semoga apa yang dirancang dan diimpikan tertunai dengan izin Ilahi. Insya Allah.

Ummi ingin bercerita tentang keberanian menghadapi segalanya dalam hidup kita. Dari mana datangnya keberanian???. 
Keberanian sebenarnya datang dalam diri kita. Keberanian itu datang selepas pelbagai macam perkara kita lalui dalam episod hidup kita.  Kesusahan yang kita lalui mengajar banyak hikmah yang kita perlu pelajari. Proses kehidupan mengajar kita untuk terus berlari tanpa henti dan tidak menoleh ke belakang. Mengambil peluang yang ada di depan mata dan meneruskan perjuangan.   Sebenarnya macam mana Ummi nak menukarkan kehidupan yang dulunya seorang yang introvert kepada ekstrovert. Introvert pastinya kita akan sinonimkannya dengan kemurungan dan esktrovert kita sinonimkannya dengan happy go lucky atau senantiasa ceria.

 Dalam kehidupan Ummi sebenarnya seorang yang sangat introvert dan agak pemalu jugak orangnya. Tetapi selepas Ummi berkahwin, mempunyai suami dan anak-anak, rasa berani datang dengan sendiri. Dalam kerjaya juga begitu. Sebenarnya di sekolah, ummi seorang yang sangat introvert kerana salah satunya tidak pandai memandu kereta dan sangat bergantung harap kepada orang lain. Tetapi selepas habis master, Ummi beranikan diri pergi interview jawatan sebagai Kaunselor Organisasi. Alhamdulillah dengan berkat doa suami, ibu dan anak-anak, Ummi mendapat jawatan itu dan ditempatkan di matrikulasi. Di situlah pengalaman pertama Ummi untuk bercampur gaul dengan orang lain dan travel ke sana sini. Disitulah Ummi mencuba untuk memandu kereta dalam kawasan kampung berdekatan. Alhamdulillah juga selepas berada di IPG Ummi berjaya juga pandu kereta ke sana ke mari tanpa perlu abah hantar Ummi.  Pengalaman kerjaya itu menyebabkan timbul banyak keberanian dalam hidup. Sebab apa?? Sebabnya Ummi kena travel seorang diri ke sana ke mari. Naik bas dan keretapi itu satu perkara yang biasa sejak dari zaman universiti lagi sampailah Ummi dapat naik kapal terbang ketika sudah bekerja.  Satu pengalaman Ummi pernah pergi ke Sarawak seorang diri untuk menghadiri karnival kerjaya yang dianjurkan oleh pihak KPM. Ummi diberi pendedahan bagaimana menguruskan pelajar-pelajar untuk ke Universiti. Ummi ditaja dan diberi penginapan hotel yang bertaraf berbintang-bintang di Riverside Majestic Hotel dan naik kapal terbang pun boleh claim lagi. Masa tu tahun 2012. Ummi pergi sendirian. Alhamdulillah lepas tu jumpa kawan ramai-ramai. Sebenarnya tiada masalah pun. Cuma ketakutan tu yang mewarnai diri kita sebab tak ada sesiapa yang mengiringi kita. Pengalaman Ummi berada di negeri orang itulah yang mengajar Ummi supaya menjadi lebih berani. Sekarang ini dan detik waktu ini, Ummi diberi rezeki sambung belajar. Ummi pergi travel jumpa SV ummi nun jauh di sana…andai nak dibayangkan haruskah Ummi melangkah sebab Ummi rasa sudah sebati dengan jiwa pendidik? Sudah selesa dengan apa yang ada. Namun di sebalik itu ada amanah dan tanggungjawab sebagai seorang pelajar harus Ummi tunaikan walau jauh beribu batu tetap langkah ini diteruskan jua. insya Allah. Pada pandangan Ummi untuk belajar dan mencari Ilmu, Ummi harus membuang perasaan inferiority complex dan perasaan inginkan kesempurnaan. Membuang segala perasaan takut. Ketakutan tidak boleh membawa ke mercu kejayaan dan mana mungkin kita boleh berjaya kalau kita tidak memulakan langkah satu persatu.  Itulah sesuatu yang mengajar Ummi tentang perlunya tidak bergantung harap pada sesiapa. Seandainya Ummi bergantung harap kepada orang lain sepenuhnya, semua kerja Ummi takkan pernah siap dan tak jadi pun. Bergantung harap pada Allah SWT itulah yang utama dan yang hakikinya. Semoga Allah SWT melindungi kita daripada mala petaka, mara bahaya dan mempermudahkan segala usaha kita. Aamiin.

Pandai-pandailah kita jaga diri. Semoga senantiasa dipertemukan dengan orang-orang yang baik dalam kehidupan kita. Begitulah pentingnya keberanian dan keberanian mestilah bertempat. Dalam kehidupan seharian dan dunia kerjaya juga kita kena dan mesti menjadi orang yang berani. Keberanian akan mengajar kita tentang bagaimana mempertahankan kebenaran dan mempertahankan hak kita. Sesuatu yang lebih baik terutama daripada segi ilmu, bakat dan kemahiran perlu ditonjolkan agar kita mampu bertahan dengan lebih baik. Sebenarnya Allah SWT kurniakan kita dengan banyak kelebihan. Jadi kita sendiri yang kena bangunkan potensi diri kita. Ummi sendiri juga berusaha mencari pengalaman. Selepas berada di Universiti, kita akan bekerja untuk mencari pengalaman. Pengalaman itu Pengalaman itu bukan sekadar pengalaman sahaja. Itulah sebenarnya yang mematangkan diri kita.  Di universiti kita diberi ilmu tentang teori dan asasnya perlu kita bina sendiri. Di universiti itulah kita mendapatkan ilmu tentang teori. Praktikalnya selepas kita bekerja. Kita perlu bertatih untuk mendapatkan pengalaman. Contohnya kita impikan sebuah rumah yang baik dan bermutu. Sudah tentu kita perlukan bahan-bahan yang bermutu untuk membina rumah tersebut agar rumah tersebut tidak mudah runtuh apabila dilanda ribut. Biarlah tampak biasa sahaja tetapi kuat dan utuh binaannya.

Analogi seorang sahabat pernah Ummi mendengar kata-katanya. Sedapnya di halwa telinga Ummi. Masih terngiang-ngiang lagi kata-katanya. Kehidupan kerjaya ini ibarat awak seorang diri berada di dalam hutan. Di situ ada gajah, kancil, harimau, singa, monyet, ular dan serangga yang berbisa lain. Jadi berhati-hatilah…di mana-mana pun seperti itu juga. Di kampung, desa dan bandar di situ pelbagai orang awak akan jumpa. Ya tetap sesuatu yang Ummi akui berdasarkan pengalaman dalam kehidupan dan kerjaya itulah yang mengajar kematangan dalam kehidupan.
Sama juga ertinya dalam kehidupan dan kerjaya kita. Untuk berjaya bukan jalan yang mudah perlu kita lalui. Jatuh bangun itu satu perkara yang biasa dan perlu dilalui untuk mereka yang ingin berjaya. Tak boleh melaluinya dengan senang-senang sahaja. Kena kutuk, kritik, caci dan makan sindiran itu perkara biasa. Kalau tidak ingin melalui perkara itu, maka kita tak boleh meneruskan kehidupan dan kerjaya kita. Dalam kehidupan ini tak mungkin tiada masalah dalam kehidupan kita. Tetapi bagaimana kita nak mewarnai hidup kita semoga kita terus ceria, tenang dan berjaya. Membina diri sendiri bukan sehari dua. Memakan banyak waktu dan kita tidak harus mendiamkan diri kita sahaja serta reda sahaja tanpa usaha. Usaha itu penting agar kita boleh menjadi manusia yang lebih baik dan lebih berjaya pada masa-masa akan datang. Insya Allah. Perjalanan Ummi masih lagi mentah dalam kehidupan dan kerjaya ini. Cuma yang Ummi harus perbaiki niat setiap hari agar semuanya kerana Allah SWT.  Semoga apa yang kita lakukan semuanya kerana Allah SWT. Aamiin.
Satu prinsip dan asas yang teguh yang perlu kita pegang adalah al-Quran dan Sunnahnya. Allah SWT berfirman dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud :

“ Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri “.


Insya Allah, segalanya ketentuan Allah SWT dan nasib, untung diri kita juga Allah yang tentukan. Orang lain tidak boleh menentukan dan mengubah nasib kita. Pastinya kita sendiri yang  perlu berusaha sedaya upaya untuk menjadi yang terbaik dalam hidup kita. Kita sendiri yang menentukannya berdasarkan usaha kita. Semoga yang baik-baik kita dapat dunia dan akhirat. Aamiin.

Sekian, motivasi hari ini….Ummi bagi motivasi untuk diri, famili, dan semua. Semoga bermanfaat..alhamdulillah hari-hari yang kemurungan dah bertukar ceria selepas dapat berjaya menunaikan apa yang dirancang. Selepas merantau berbatu-batu jauhnya cari bahan tesis di UKM dan jumpa SV di UTM, hantar correction proposal, balik jumpa suami, anak-anak dan seterusnya  Ummi dapat berkhidmat untuk ibu Ummi,bawa ibu Ummi jalan-jalan di sekitar kampung Ummi. Itulah sekali sekala yang Ummi dapat buat. Tak banyak harap berkualiti masa yang diberikan Allah SWT. Alhamdulillah terasa dirahmati. Selepas ini insya-Allah ada lagi rancangan-rancangan lain yang harus ditunaikan. What’s Next???....semoga dipermudahkan..jangan takut tau, buang rasa takut tu dalam minda kau...semoga Allah SWT memelihara kehidupanmu.Aamiin.
                                                                      

Thursday, 27 June 2019

Dunia Belajar dan Mehnahnya...

Syukur alhamdulillah, masih lagi diberikan ruang dan kesempatan untuk mencoret tulisan di sini...tentang dunia belajar yang Ummi hadapi saat dan ketika ini. Banyak juga cabaran dan halangan yang perlu diatasi. Bukan mudah sebenarnya apabila nak belajar dengan kekangan. Insya Allah dengan berkat kesabaran dan ketabahan. Semoga dipemudahkan segalanya. Dunia belajar dan kerjaya tidak sama. Rintangan dan halangan juga berbeza. Cuma pokok pangkalnya kesabaran dalam sesebuah perjuangan. Tiada sebuah perjuangan tanpa pengorbanan dan kesabaran.

Terasa lain sangat belajar dengan mempunyai keluarga dengan ada anak-anak yang masih kecil. Masa perlu dibahagikan dengan betul-betul supaya semuanya dapat diuruskan dengan baik. Tambahan pula banyak perkara yang harus difikirkan. Bukan memikirkan untuk diri sendiri sahaja.  Ummi tak pernah ada orang gaji dan pembantu yang boleh buat kerja-kerja rumah. Semuanya dilakukan sendiri. Apa yang termampu dilakukan saat ini dan sejak dahulu lagi begitulah. Ummi sudah biasa dengan kesusahan sejak dahulu lagi dan sudah belajar berdikari kerana keluarga Ummi bukan daripada keluarga yang berkemampuan untuk menyediakan segala-galanya untuk Ummi. Syukurlah Allah SWT memberi sedikit keupayaan dan kemampuan untuk belajar sejak daripada kecil dan Ummi teruskan usaha dengan penuh kerajinan dan ketekunan. Dengan izin Allah SWT juga. Tanpa usaha dan pengorbanan bukan mudah untuk mengecapi kejayaan.

Dalam dunia kerjaya juga tiada siapa yang boleh menentukan nasib untung kita. Tanpa usaha kita tak akan dapat apa-apa. Semuanya dengan izin Allah SWT. Kadang-kadang Allah SWT menghadirkan insan-insan yang kita tidak kenali untuk membantu asalkan kita berada di landasan yang benar dan mengharapkan redha-Nya untuk membantu saat kita butuhkan segala pertolongan-Nya. Banyak kali juga saat Ummi menangis terus menerus inginkan pertolongan, Allah SWT hantarkan orang-orang yang baik untuk membantu saat Ummi benar-benar dalam kesusahan. Wa Allah Musta'an. Terima kasih kepada mereka yang banyak dan sudi membantu.

Ummi ingin maklumkan pada kalian Ummi sebenarnya  bukan semudah itu untuk belajar daripada SPM sampai ke tahap ini. Sebabnya Ummi orang kampung, dengan kesusahan dari segi kewangan, apa yang boleh dilakukan??. Kadang-kadang dengan sebab kemiskinan, keluarga kita dihina dan dikeji orang. Syukur alhamdulillah sekarang semuanya sudah berlalu. Allah SWT menentukan nasib manusia ini dengan adanya usaha.  Dengan usaha segalanya tidak mustahil. Usaha belajar betul-betul dapat keputusan yang baik, insya Allah ada ruang disediakan ke Universiti. Tetapi semuanya dengan izin Allah SWT. Hanya Allah SWT yang mampu mempermudahkan.

   Kalian tidak pernah tahu Ummi pernah menjadi pengasuh Taska masa  Ummi dok sekolah menengah dulu. Membantu kakak Ummi mengasuh budak-budak taska. Masa tu dengan gaji yang kecil kakak Ummi jadi pengasuh. Ummi hanya membantu. Mereka yang pernah jadi pengasuh tahu susah senangnya jadi pengasuh. Dengan jaga baby dan budak-budak kecil, basuh najis diaorang, bagi makan minum kat diaorang. Alhamdulillah, kami berdua selepas itu berjaya menjadi pendidik. Dengan kerjaya itu jugalah,Ummi memupuk minat kepada kanak-kanak. Selepas habis Universiti, Ummi menganggur sekejap dan mohon jadi guru tadika di Taman Sri Andalas, Klang. Alhamdulillah, dapat sedikit pengalaman menjadi guru tadika. Walaupun gaji tidak seberapa tetapi alhamdulillah dapat pengalaman.
Lepas dipostingkan ke sekolah, jumpa pulak dengan seorang mamat ni yang tergila-gilakan Ummi. Satu sekolah dengan Ummi pulak tu. Masa mula-mula jumpa tu sweet jugak sebabnya dia kata dah tunggu Ummi..dah risik dengan kawan Ummi, Azlina siapa Ummi sebenarnya, macam mana rupa Ummi semua dia dah tahu. Asal orang mana sedikit sebanyak dalam pengetahuannya. Lepas jumpa bukan main gembiranya dia. Itulah abahmu, anak-anakku. Orangnya sentiasa happy go lucky sesuai dengan namanya. Walaupun begitu orangnya boleh tahan jugak garangnya. Auumm..menakutkan. Tetapi Ummi dah masak dengan perangai abah dan abah pulak dah masak dengan perangai Ummi. Susah jugak pada pandangan Ummi nak orang terima kita seadanya dan kalau kita tak kenal dia secara mendalam. Nak kenal bukan sehari dua bertahun-tahun lamanya untuk kita masak dengan perangai dan peel yang kadang-kadang tak semuanya senonoh. Terima seadanya.. Jodoh, ajal, maut itu ditentukan Allah SWT. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa. Itu cerita lama-lama sekarang Ummi dah 14 tahun kahwin  dengan abah. Rasanya kalau dibandingkan sekarang dan dulu-dulu sekarang alhamdulillah bertambah sweet-sweetie,,,dulu banyak jugaklah lalui cabaran nak kenal dunia perkahwinan dan hidup ini semuanya seiring dengan kematangan akal fikiran dan bertambahnya usia..

Friday, 26 April 2019

Kenapa Ummi Bersusah Payah Belajar dan Menuntut Ilmu


Alhamdulillah, banyak sebenarnya Ummi ingin bercerita tentang kisah Ummi sambung belajar ni. Kenapa Ummi bersusah payah nak sambung belajar dan mengembara menuntut Ilmu dengan  tok guru-guru Ummi ni. Ummi di Timur, Tok-tok guru Ummi di barat dan Ummi juga berusaha mencari dan menuntut Ilmu  dengan tok-tok guru yang merupakan pakar bidang Ummi. Kenapa ya nak sambung belajar. Kenapa tak duduk diam je.  Kenapa nak susah-susahkan diri. Jawapannya ialah berdasarkan pada pandangan Ummi. Ummi tak pandai sebab tulah Ummi pergi belajar. Ummi tak mahu menjadi sesat. Buat sesuatu tanpa ada ilmu dan tanpa ada guru yang muktabar. Sejak kecil Ummi suka belajar walaupun sebenarnya Ummi bukanlah pandai sangat. Tetapi Ummi mempunyai kekuatan dan semangat untuk teruskan usaha. Sejak daripada dulu lagi Ummi macam tu. Ummi kalau belajar, sangat passion. Minat yang mendalam membawa Ummi belajar setinggi yang boleh.
Orang lain tidak pernah tahu dan sedikit pun tidak pernah bertanya macam mana ya belajar tu. Mereka anggap belajar tu sebab pangkat dan gaji. Pada hal semua itu lebih daripada itu. Nikmat menuntut Ilmu itu lebih daripada itu. Menuntut ilmu memerlukan pengorbanan dan keluar daripada zon selesa.  Contohnya macam mana Ummi habiskan master Ummi dalam bidang kaunseling walhal bidang tu bukanlah bidang sebenar Ummi.  Macam mana juga belajar dengan ada anak-anak kecil. Masa Ummi ambik master dulu  tahun 2007. Banyak cabarannya juga sebab Ummi tak pandai bawa kereta, tempat Ummi belajar agak jauh dan part time pulak tu. Habis time sekolah pukul 1.30 terus Ummi bergegas dapatkan bas daripada Batu Pahat ke UTM, Skudai, Johor. Hampir  setiap kali pada awal-awal semester masa naik bas tu Ummi nangis dalam bas. Sebabnya Ummi bertanya pada diri Ummi, kenapa Ummi susahkan diri Ummi pergi belajar. Kenapa Ummi nak sambung buat master sedangkan Ummi dah ada famili dan kerjaya sebagai seorang guru KPM. Buat apa lagi. Dok diam-diam je kat sekolah. Orang-orang di sekeliling pun ramai yang bertanya boleh ke habis. Tetapi Ummi suka cabar diri Ummi sendiri. Ummi yakin pada diri sendiri. Alhamdulillah 2007 Ummi sambung, 2009 Ummi habis belajar master. Cukup 2 tahun. Ummi memang akui Ummi suka belajar walau banyak perkara yang menghalang dan menduga tetapi Ummi tetap teruskan usaha walaupun sukar. Sebab keyakinan itu jugaklah abah izinkan Ummi pergi belajar. Abah banyak tolong Ummi,  Abah selalu juga hantar Ummi ke UTM sambil jaga abang Faheem dalam kereta atau pergi mana-mana Mall demi Ummi. Ummi masuk kelas, abah temankan abang Faheem main-main kat Mall. Masa tu Abang Faheem baru umur lebih kurang setahun. Banyak pengorbanan yang abah lakukan demi Ummi dan pengorbanan tu sampailah ke saat ini dan waktu ini, abah masih lagi menjaga anak-anak seramai 3 orang yang masih kecil demi melihat Ummi berjaya. Pengorbanan itulah yang menjadikan Ummi tidak putus asa dan Ummi faham abah pun ingin berjaya juga. Ummi selalu bagi kata-kata semangat untuk abah. Sampai Ummi cakap ambiklah proposal yang Ummi buat masa mintak HLP tempoh hari dan buat rujukan. Idea-idea Ummi dah bagi dan mintak je  HLP. Tapi abah tak mahu. Abah cakap abah tak nak ambik idea Ummi dan tak pandai nak ulas jika dipersoalkan nanti. Last-last ada kawan yang pinjam proposal Ummi nak rujuk, dan Ummi terus bagi. Abah selalu cakap abah tak ada idea nak buat proposal sendiri. Ummi bagi idea tetapi abah kata tiada kemahiran menulis. Mungkin sekarang abah tak berminat lagi, esok-esok insya Allah terbuka pintu hati abah untuk sambung belajar dan gigih untuk menuntut Ilmu. Mana tahu depan rumah dapat sambung belajar. Universiti pun dah ada di tempat kelahiran Ummi. Pakar bidang pun dah ada di sana. Cuma nak tunggu semangat gigih abah je untuk sambung belajar.

Ummi pula, sampai sekarang alhamdulillah, Ummi dapat sambung belajar setelah Ummi meninggalkan zaman belajar tahun 2009 tu. Lama jugak tu nak start belajar balik. Sebabnya Ummi lahirkan anak-anak Ummi. Mungkin sesetengah orang akan kata buat apa penat-penat belajar dengan ada anak-anak kecik. Nak naik pangkat ke apa. Kalau tengok kehidupan Ummi sekarang layak ke Ummi naik pangkat. Ummi bukan hebat mana pun. Anak-anak masih kecil dan Ummi tidak mengejar semua benda-benda tu. Ummi dah balik kampung dengan abah dan anak-anak. Ummi alhamdulillah semakin tenang dan bahagia di sini Menikmati kehidupan di sini. Selagi nyawa masih dikandung badan, ketenangan dalam mencari redha Ilahi tetap ummi cari. Sebab Ummi manusia yang kerdil. Hanya Allah SWT yang Maha Berkuasa. Alhamdulillah, sekarang setiap hujung minggu jika tak balik kampung  abah dan ummi, abah bawak Ummi dan anak-anak pergi masjid di bandar GM. Dapat juga belajar hukum tajwid dengan Imam Masjid di sini. Dapat menimba Ilmu yang bermanfaat. Syukurlah terasa berkat hidup ini apabila dekat dengan rumah Allah. Banyak juga perkara yang ummi dapat belajar tentang kehidupan di sini. Ummi kembali kepada budaya hidup di tempat kelahiran Ummi. Sedikit sebanyak asimilasi budaya dapat Ummi terapkan dalam kehidupan famili Ummi.  

Berbalik tentang cerita Ummi belajar, sejak Ummi masuk belajar balik jadi student sekarang ni,  abahlah yang bersusah payah jaga Iffah, Fateh dan baby Ummi, adik Faris.  Adik Faris setiap hari cari Ummi bila balik dari Tadika nak menyusu. Ummi sedaya upaya menjalankan tanggungjawab Ummi dengan sempurna untuk abah dan anak-anak walaupun sebenarnya Ummi sangat sibuk belajar. Ummi tetap nak hidup anak-anak Ummi terurus walaupun Ummi sibuk. Abah banyak berkorban jaga anak-anak setiap kali Ummi nak study.  Setiap malam abah tidurkan anak-anak sementara Ummi membaca dan menulis. Ummi pun sama juga mendorong minat abah kepada sesuatu hobi yang abah suka. Abah suka motor jadi abah beli. Ummi bagi masa untuk abah pergi dengan sahabat-sahabatnya. Abah sibuk ada kelas tambahan  untuk pelajar-pelajar dan ko-kurikulum, mesyuarat dan macam-macam kesibukan. Ummi pun pernah mengajar SPM juga. Ummi faham sibuk tu macam mana. Ummi dan abah sejak dahulu ada give and take. Semakin lama Ummi semakin mengenali abah dan abah pun faham Ummi. Segala masalah atau cerita abah kongsi dengan Ummi, Ummi pun juga begitu. Tiada satu pun rahsia antara kami. Setakat ni alhamdulillah cerita belajar Ummi berjalan dengan lancar dan hal urusan famili, suami dan anak-anak semuanya baik-baik. semoga Allah SWT mempermudahkan segala usaha ini. Ummi selalu minta dengan ibu Ummi supaya redha dengan Ummi. Dengan abah pun begitu. Tanpa izin abah tidak mungkin Ummi menjejakkan kaki lagi mencari ilmu di Universiti. Sebab apa?. Buat apa Ummi belajar seandainya redha Ibu dan izin suami Ummi tak dapat. Ummi nak belajar kerana Allah SWT. . Ibu selalu pesan supaya sentiasa hati-hati. Insya Allah. Ummi akan ingat untuk sentiasa berhati-hati dalam setiap perkara. Mintak jauhkanlah Ummi dan famili, anak-anak, anak-anak didik, sahabat-sahabat dan negara Ummi daripada fitnah kehidupan ini. Jauhkanlah kami daripada fitnah manusia, jin dan syaitan. Aamiin. Ummi hanya mampu berusaha dan berdoa. Ummi tawakkal sepenuhnya kepada Allah untuk menentukan kehidupan ini. Insya Allah.


Saturday, 13 April 2019

     Alhamdulillah, bersyukur saat sehingga hari ini Ummi diberi ruang dan peluang untuk menulis. Menulis memberikan Ummi ruang untuk bercerita tentang sedikit ilmu, pengalaman, kemahiran dan nilai yang Ummi pelajari saban hari dan waktu. Pengalaman adalah guru yang terbaik mengajar Ummi tentang sesebuah kehidupan.


      Saat hari ini Ummi memahami bahawa apa yang berlaku semalam, hari ini dan akan datang pastinya mempunyai seribu satu hikmah untuk dijadikan ikhtibar dan peluang untuk mengislahkan diri yang banyak kekurangan dan kekhilafan. Tiada yang sempurna dalam dunia yang fana ini. 


        Ummi dan abah berpengalaman berpindah randah daripada satu Daerah ke Daerah yang lain di negeri orang, dan satu negeri ke negeri yang lain dari sejak zaman Ummi dan abah belajar di Universiti lagi. Ummi dan abah tidak pernah duduk diam di tempat sendiri. 14 tahun mencari ilmu, pengalaman, kemahiran dan nilai dalam dunia kerjaya di tempat orang banyak mengajar Ummi tentang hakikat kehidupan yang sebenarnya. Banyak ragam dan orang yang Ummi jumpa. Banyak perkara juga yang Ummi boleh teladani. Semakin lama semakin Ummi faham kenapa Ummi kena belajar dan terus belajar. Ada yang berkata...senang belajar ni tanpa diri sendiri melalui alam pembelajaran sebenarnya...cubalah belajar dan merasai keperitan mencari ilmu. Barulah merasa dunia dalam mencari ilmu sebenarnya. Seandainya setiap hari kita berada di zon selesa, kita tak akan merasa dunia mencari ilmu hari ini yang penuh dengan cabaran dengan kecanggihan teknologi maklumat.  Semua maklumat di hujung jari. Ada banyak maklumat benar dan palsu. Bagaimana kita menyaringnya?. Dengan ilmu dan hikmah. Itulah jawapan yang sebenarnya dalam pencarian ini.


         Ummi tak banyak ilmu sebab itu Ummi pergi mencari ilmu. Nikmat mencari ilmu itu berbeza. Banyak pergorbanan yang perlu kita lalui. Namun, seandainya jiwa tidak kental, Ummi akan rasa kecundang pada permulaannya dan tiada menemui pengakhiran, terus teraba-raba dalam kegelapan. Jadi, Ummi kena mencari ilmu, Apabila Ummi cari ilmu, Ummi rasa betapa banyaknya yang Ummi tidak tahu. Banyak lagi yang Ummi kena belajar dan terus keluar daripada zon selesa itu. Ummi kena kuatkan hati. Buat semuanya kerana Allah SWT. 


       Pengalaman Ummi dalam hidup ini dan merantau mencari ilmu dengan belajar dan bekerja di tempat orang ,banyak memberi Ummi ilmu, kemahiran dan nilai-nilai yang Ummi terus pelajari hingga hari ini. Ummi bersyukur diberi pengalaman seperti ini. Hikmah merantau ni banyak sebenarnya. Ummi tidak ingin ibarat air yang bertakung. Air yang bertakung akan terus membusuk akhirnya jika duduk diam di tempatnya  dan air yang jernih akan mengalir deras sampai ke tempat tujuannya. Ada semangat keberanian dan jiwa kental di situ. Dengan merantau dan tinggal di Daerah dan Negeri orang baru kita akan kenal budaya dan tempat orang yang sangat berbeza dengan budaya kita. Lain orang lain tempatnya. Pengalaman kehidupan dan cara pembawaan diri mereka juga sangat berbeza. Di situlah Ummi mengenal perbezaan dan meraikan perbezaan itu apabila pergi ke tempat mereka. Setiap hari Ummi belajar mengenai mereka dan tahu sendiri sebenarnya cara pemikiran mereka. Dan anak-anakku dan anak-anak didikku, seandainya ada yang terbaca tentang coretan Ummi ini, secara tersiratnya, akan memahami segala-galanya, tidak perlu Ummi jelaskan satu-persatu. Insya Allah apabila tiba masa dan waktunya awak semua merantau dan pergi tempat orang baru rasa segala-galanya. Ada suka dan duka mewarnai hidup kita. Itulah yang menjadikan hidup kita lebih bermakna. Hanya orang yang pernah merantau akan memahami perasaan orang merantau.





Thursday, 14 February 2019

Ketamadunan Orang Asli dan Orang Luar Bandar


Sharing is caring...sebenarnya sudah lama niat di hati untuk menceritakan tentang pengalaman umi kepada anak-anak dan anak-anak didik tentang pengalaman Umi yang pertama kali berhadapan dengan orang asli di Tanah Abang Mersing, Johor. Sebenarnya Umi dah lama nak pergi ke tempat orang asli, nak tahu dengan lebih mendalam cara hidup mereka. Apabila Umi pergi ke sesuatu tempat tu, bukan saja-saja Umi pergi. Bukan sia-sia sahaja. Umi pergi untuk memerhati dan menganalisis sesuatu tempat tu bukan berdasarkan cakap-cakap orang atau persepsi semata-mata. 

Ok. Umi sangat bertuah apabila berada di sana, Umi sempat menemubual seorang pak cik daripada kalangan orang asli. Pak cik ni beragama Islam. Mungkin salah seorang yang tertua di kampung tu sebab umi nampak yang muda-muda sahaja yang datang ke sekolah berkunjung. Pak cik ni bercerita tentang pengalamannya yang pernah berhijrah dan pergi ke negeri Kelantan dan Terengganu untuk bekerja. Beliau memuji tentang kebaikan orang-orang di Kelantan dan Terengganu. Beliau memuji sebab pernah bekerja di tempat orang kan? Kalau tak, mungkin beliau tak dapat faham budaya orang jika beliau tidak pergi sendiri tempat tu. Cuma apa yang Umi kagum pemikiran pak cik ni. Sangat hebat. Beliau memberitahu Umi tentang orang asli boleh jadi lebih maju dan bertamadun jika mereka bercampur gaul dengan orang yang di luar dalam lingkungan mereka. Pemikiran mereka akan lebih terbuka dan asimilasi budaya boleh berlaku. Lebih kurang gitulah cakap beliau. Umi terjemahkan sikit bahasa beliau dalam ayat standard. Perbualan Umi dengan beliau agak ringkas. Tetapi Umi faham apa yang ingin dimaksudkan tentang ketamadunan orang asli. Kita tak boleh nak buat generalisasi secara umum bahawa semua orang asli ni jumud dan mindanya beku kerana berada di dalam hutan. Umi tak buat kajian di sana lebih mendalam, hanya pergi melihat dan memerhati suasana serta menjalankan tugas dalam aktiviti bersama pelajar. Jadi, Umi tak buat temu bual secara teliti dan mendalam dengan beberapa orang kampung di situ. Kalau tak, dah terhasil satu kajian tentang pembangunan orang asli.. untuk hasilkan kajian, Umi kena kod perkataannya satu demi satu dan menganalisisnya guna perisian N'vivo.

 First impression,  Umi tengok banyak hutan dan apabila banyak hutan umi anggap ada binatang buas tetapi sebenarnya tidaklah sebegitu. Mereka pun jarang-jarang bertemu binatang buas atau memang tidak pernah berjumpa langsung pun macam kita. Berdasarkan pemerhatian Umi, orang asli zaman sekarang sudah lebih canggih sedikit daripada dahulu. Mereka sudah memliliki kereta, boleh memandu dan ada kelebihan lain yang Umi tidak terokai. Pihak JAKOA dan Kerajaan yang menjaga kebajikan mereka. Cuma Umi nampak daripada sudut pemikiran agak jauh sedikit (tidak semua kerana ada yang sudah mempunyai pendidikan) mungkin suasana dan cara hidup mereka jauh daripada bandar dan kemudahan teknologi maklumat tiada. Kalau adapun mungkin tidak dimanfaatkan disebabkan kecetekan ilmu pengetahuan yang sedia ada pada mereka. Sebenarnya ada ramai juga golongan yang berpendidikan daripada kalangan orang asli ini. Umi merasa mereka hebat sebenarnya sebab macamana mereka boleh pergi lebih jauh dan belajar tinggi-tinggi sedangkan segalanya jauh terbentang dalam hidup mereka.

Umi nampak juga usaha daripada kementerian Pendidikan sendiri yang memberi elaun mengajar kepada guru-guru yang mengajar ibu bapa orang asli ni belajar untuk membaca. Ada usaha yang baik ke arah itu. Cumanya bagaimana ingin menyedarkan orang asli tentang kepentingan ilmu kepada mereka dan bagaimana ingin mengubah persepsi masyarakat tentang orang asli. Selain itu juga, dakwah tidak sampai kepada mereka kerana ilmu  itu tidak dapat diteladani dengan baik oleh orang-orang asli yang bukan Islam. Ada juga yang Islam tetapi secara taqlid buta sahaja. Ada juga yang betul-betul memahami Islam seperti juga dengan masyarakat Melayu. Cumanya percentagenya perlu dibuat kajian.

Apa yang ingin Umi puji di sini tentang kesanggupan guru-guru yang mengajar orang-orang asli. Hebat, bukan? Umi tidak pernah memandang rendah keupayaan orang asli kerana mereka mempunyai khazanah alam yang cukup berharga. Cumanya ketamadunan mereka dapat dibangunkan dengan adanya ilmu dan agama. Alhamdulillah, sekarang Umi dapat melihat dan meneroka tentang kehidupan orang asli kerana abah sudah berpengalaman mengajar anak orang asli dan membawa Umi meneroka walaupun hanya sekadar melihat tempat orang asli di tempat kami dan banyak memberi maklum tentang kehidupan mereka. Sekurang-kurangnya minda Umi sedikit terbuka dan faham cara hidup mereka serba sedikit.



Begitu juga dengan Umi serba sedikit memahami tentang masyarakat Felda...ada lagi dalam cerita Umi ingin kongsikan tentang anak-anak di kawasan Felda dan  kenapa minda mereka perlu dibangunkan serta dijauhkan daripada terlibat dengan anasir-anasir yang tidak baik. Bukan sahaja kawasan felda tetapi juga di kampung-kampung dan bandar. Cuma Umi kongsi sahaja supaya dapat menyedarkan kepada Umi sendiri  dan sahabat-sahabat betapa banyaknya yang kita tidak nampak jika kita tidak meneroka dengan lebih mendalam kalau kita sendiri tidak pergi meneroka tempat tu secara mendalam. Ada yang beranggapan, apa kelas kau pergi tempat macam tu kan. Ya lah bukan tempat yang hebat-hebat mana lah orang nak berkunjung. Tetapi sebenarnya kalau kita tidak meneroka tempat orang, kita tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Sebab kita tidak pernah tinggal menetap, berhijrah, dan kita hanya menetap di kampung atau di bandar tempat kita je. Jadi kita akan memberi pelbagai andaian dan persepsi yang banyak salah daripada betulnya. Jadi Syukur Umi dapat berpeluang dengan sahabat-sahabat dan anak-anak didik untuk pergi sendiri untuk melihat dengan lebih dekat tentang kehidupan orang asli. Boleh juga Umi menemubual sikit-sikit mereka. Umi kenal lah juga siapa itu orang asli yang sebenarnya dipanggil orang asal. Semoga Allah mempermudahkan. Insya Allah....

Wednesday, 30 January 2019

MANFAATKAN MASA DAN NIKMAT KESIHATAN ANUGERAH ILAHI


Banyak perkara yang berlalu memberi manfaat dan semoga dijauhkan daripada perkara yang sia-sia..manfaatkan lima perkara sebelum datang lima perkara. Antara perkara yang berharga adalah nikmat kesihatan. Syukur alhamdulillah dapat memberi manfaat kesihatan kepada diri dan orang lain terutama suami dan anak-anak. Dapat meluangkan masa melakukan aktiviti-aktiviti seharian bersama keluarga, memasak untuk suami dan anak-anak yang masih kecil pulang dari sekolah, mengambil anak-anak di taska dan sekolah, menguruskan mereka dengan sesempurna yang boleh mengikut kemampuan yang Allah SWT kurniakan. Nikmat kesihatan ini seandainya dikira jauh lebih berharga dengan harta kekayaan. Nikmat sihat sebelum sakit ini andai dapat dipergunakan dan dimanfaatkan sebaik mungkin, betapa bersyukurnya.  Yang paling penting kita sentiasa berusaha untuk menjaga kesihatan semaksimum yang mungkin.  Bersenam, berjoging, memakan ulam-ulaman merupakan antara yang menjadi kegemaran dan aktiviti seharian aku selama ini. Syukur juga aku dididik oleh ibu untuk menggemari pemakanan yang sihat seperti ini. Alhamdulillah, aku perturunkan ilmu ini kepada anak-anakku. Semoga Allah melindungi mereka dan dijauhkan daripada sebarang penyakit merbahaya..insya Allah..aku hanya mampu berdoa dan berusaha.
Saat ini juga aku bersyukur  Allah SWT memberi peluang untuk menimba ilmu tanpa mengabaikan suami dan anak-anak. Setakat ini aku tidak pernah meninggalkan mereka untuk jangka waktu yang lama. Sebenarnya aku tak betah meninggalkan mereka. Paling lama pun seminggu itu pun kalau ada beberapa perkara yang penting seperti kursus di tempat yang jauh. Nak jumpa SV pun jauh. Alhamdulillah ada banyak alat teknologi memudahkan komunikasi. Tak sanggup rasanya nak tinggalkan  Adik Faris lama-lama. Adik Faris masih lagi menyusu badan. Kesian pulak nak tinggal lama-lama. Anak-anak merupakan kekuatan seorang ibu untuk meneruskan perjuangan menuntut Ilmu dan juga dalam kehidupan. Harapnya semoga ia menjadi contoh tauladan untuk anak-anak meneruskan kesinambungan perjuangan dan gigih menuntut ilmu. …jadi, umi dan abah kena menunjukkan contoh yang baik untuk anak-anak dan juga anak-anak didik bahawa ilmu ini sangat penting untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.


Di Daerah yang terasing ini aku masih lagi dalam tempoh menyesuaikan diri dengan tempat dan suasana. Pada pandangan aku, tempat ni agak best jugak sebab pemandangannya cantik dan udaranya segar sekali. Bandar yang semakin membangun dikelilingi gunung ganang yang terletak indah. Setiap hari keluar rumah dapat je tengok gunung ganang yang pemandangannya hijau terbentang luas di depan mata. Melihat pemandangan yang indah, hijau, bersih, cantik ni dengan udara yang segar, kabus yang tebal terasa betapa sempurnanya ciptaan Allah SWT. Sesekali terdengar unggas dan burung berkicauan. Alangkah indahnya hati, mata dan telinga yang mendengar. Syukur manfaat fikir dan zikir dalam kehidupan menghargai alam sekitar ciptaan Allah SWT. Melihat dan merenung dengan mata hati betapa agungnya kekuasaan Allah SWT, merasa betapa kerdilnya diri ini di sisi Allah SWT Yang Maha Esa.  Aku hayati tafsir al-Quran surah Ar-Rum :

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu, dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berpengetahuan. (surah Ar-Rum : Ayat 22)



Terasa bahagia dan lapangnya jiwa. Jiwa tenang, hati pun senang. Lebih mudah apabila melakukan kerja dan belajar dengan menuntut ilmu dengan hati yang tenang.  Semoga rahmat Allah SWT sentiasa melindungi. Dalam kesunyian daripada kesibukan kota, pastinya terselit rahmat dan nikmat kesihatan melihat alam yang terbentang. Namun kebahagiaan ini tidak sama jika berada di tempat sendiri tetapi tempat ni sangat bagus untuk mereka yang berjiwa sederhana seperti aku ni..hehe…aku tak suka sangat kesibukan kota dan tidak terpencil sangat duduk di pedalaman. Sama seperti kampungku yang sangat cantik dengan pemandangan yang memukau mata hati. Sungguh Indah dan terasa damai di hati. Tempat ini juga tidaklah terlalu jauh. Lebih kurang tiga jam lamanya memandu. Kalau nak berulang alik ke kampungku, rasanya tak mampu nak berulang alik setiap hari. Sesekali dapat menziarahi ibu bapa juga satu rezeki dan kewajipan untuk kami sekeluarga. Semoga Allah SWT memelihara kesihatan mereka dengan baik. Tenanglah si anak jika ibu bapanya sihat walafiat.  Jauh kami tersadai di tempat orang tetapi hikmahnya banyak sekali. Jauh kami kerana berkhidmat sebagai pendidik. 17 tahun berkhidmat di negeri orang, barulah suami dapat pindah juga satu hikmah. Kami bersyukur sebab orang lain lebih lagi nak balik setelah berpuluh tahun di negeri orang. Rezeki dapat balik kampung juga satu kesyukuran sekian lama berada di tempat orang mengharungi suka duka hidup bersama suami dan anak-anak. Selama mana di tempat orang, itulah yang dinamakan pengalaman berhijrah di tempat orang. Banyak hikmahnya apabila berada di tempat orang. Mengenali budaya orang lain pastinya memberikan kita kefahaman yang lebih baik dan menghormati budaya orang lain dalam menghargai budaya di tempat sendiri.. lain orang lain caranya, inikan budaya orang, pasti lain dengan budaya di tempat sendiri..begitulah ceritanya hijrah kami…Inilah yang dinamakan pengalaman. Banyak pengalaman ke sana sini kot rasanya banyak idea aku nak tulis…banyak cerita ingin dirakamkan untuk tatapan anak-anakku dan anak-anak didikku sebagai pengajaran bahawa kita ni sebagai khalifah di muka bumi ini. Hidup hanyalah sementara, manfaatkan waktu yang ada..insya Allah.

Wednesday, 16 January 2019

Ujian Hanya Sementara

Ujian Hanya Sementara, Sesungguhnya Dalam Kesukaran Ada Kemudahan


Ujian Hanya lah Sementara…..
Umi pernah waktu beberapa tahun lepas cakap pada abah, umi nak berhenti kerja sewaktu Fateh diserang penyakit kulit yang kronik. Umi hampir nak ambik borang berhenti kerja di pejabat sebab tak tahan tengok dan jaga Fateh sakit. Abah bersetuju tetapi Umi fikir banyak kali. Umi cuba bertahan dan bertahan menahan perasaan setiap kali Fateh diserang penyakit ini. Kesian Fateh masa tu. Umi dan Abah banyak berkorban daripada segi wang, masa, dan tenaga untuk merawat penyakit Fateh. Bingung seketika merenung nasib diri. Fikiran menjadi buntu, hati menjadi keliru. Tetapi semua itu tidak mematahkan semangat Umi dan abah untuk merawat penyakit Fateh. Kolam Air mata sudah hampir kering, hanya tinggal ketabahan dan kesabaran yang ada. Terkadang seharian tidak mampu memberi fokus kepada apa yang dijalani di hadapan tetapi tetap teruskan jua perjalanan itu. Kalau nak cerita bab duit, hampir kekeringan duit simpanan Umi dan abah untuk mencari rawatan yang terbaik di klinik pakar kulit dan berulang alik ke hospital Sultanah Aminah untuk membuat temu janji dan mendapatkan rawatan doktor pakar. Hari berganti hari, Umi dan Abah terpaksa menahan perasaan melihat keadaan Fateh. Nak memohon simpati, tetapi kepada siapa nak dimohonkan simpati itu melainkan kita menangis dan mengadu kepada Yang Maha Esa supaya Allah mempermudahkan segalanya. Bukan senang nak melalui keadaan itu tambahan pula Umi dan Abah pergi mengajar selepas subuh dah gerak, balik dah hampir senja sebab tempat Umi mengajar dan Abah mengajar dua-dua jauh dan mengajar masa tu ikut waktu pejabat . Syukurlah pengasuh Fateh dan guru-guru di tadika Fateh faham penyakit yang menimpa Fateh. Lega juga masa tu. Allah SWT menghantarkan orang-orang yang baik untuk membantu umi dan  abah. Alhamdulillah, banyak juga yang umi pelajari selepas itu. Hikmah yang dapat diteladani daripada ujian penyakit Fateh. Mungkin itu juga asbab abah dapat pindah balik Kelantan dan Umi juga dapat cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa. Semuanya dalam kekuasaan Allah SWT. Segalanya rezeki Ilahi. Hampir 17 tahun lamanya abah mintak pindah dan masa Fateh sakit kulit kronik tu,  semakin kerap abah isi borang pindah dan kami sekeluarga berulang-alik ke Putrajaya, KPM menghantar sendiri borang itu sama ada berpanas berhujan dalam kereta ulang alik ke Putrajaya. Alhamdulillah, apapun, semua ujian ada hikmah di sebaliknya. Allah SWT beri kita kesusahan tak selamanya. Pasti ada kesenangan yang menunggu kita di kemudian hari.  Satu yang umi pegang,  seandainya kita rasa susah, tengoklah orang yang di bawah ramai lagi yang lebih susah daripada kita. Umi pelajari itu sewaktu Umi di Johor, melihat orang lain yang tabah menghadapi kesukaran hidup, apatah lagi hanya sedikit Ujian yang Allah berikan pada Umi untuk terus bersabar. Susah kita tak sama dengan susah orang lain. Bentuk ujian itu berbeza setiap orang.  Biarlah apa persepsi orang pada kita, tetapi kita yang melaluinya memahami segalanya. Dalam ayat al-Quran surah Asy-Syarh Ayat 6 : “ Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan”. Benarlah janji Allah SWT, setiap kesusahan ada kemudahan. Semoga menjadi pengajaran yang berguna untuk kita. Susah dan senang kita tetap bersabar menahan segalanya. Semoga Allah SWT sentiasa menghadiahkan ketabahan dalam sakinah mawaddah wa rahmah dalam kehidupan kita. Terima kasih suamiku kerana memahami diri ini..insyaAllah.. alhamdulillah atas nikmat-Mu Ya Allah.…Aamiin.

Tuesday, 8 January 2019

Terima kasih kepada yang menyayangi dan juga yang menjatuhkan


Terima Kasih kepada orang yang menjatuhkan kita kerana kalau tiada orang yang menjatuhkan kita, maka kita sendiri yang tidak bangun-bangun. Terus terlena dibuai mimpi yang indah-indah. Rasa malas dan mudah menghantui hidup kita. Di saat orang menjatuhkan kita, ada orang yang baik-baik sentiasa mendoakan kita atas asbab kebaikan yang ikhlas kita lakukan kepada mereka. Kita tidak tahu, siapa, bila, dan di mana. Doa orang-orang yang baik mustajab buat kita. Seandainya tiada yang menjatuhkan kita, tidak mungkin kita berada di tempat kita sekarang. Terima kasih dan bersyukur kepada Ilahi. Tanpa ada motivasi dalaman yang tinggi, kita akan terus tertidur enak dan berada di takuk yang lama tanpa ada usaha. Duduk bersandar kenyang tanpa melakukan sesuatu untuk membuatkan kita maju ke hadapan. Bangkitlah dan maralah ke hadapan!. Duduk diam tidak akan menjanjikan apa-apa. Jika zikir, fikir, amal soleh itulah yang terbaik. Semoga setiap usaha dipermudahkan. Insya Allah..Aamiin.