Friday, 20 April 2018

Hati Yang Tenang, Hidup Bahagia

Bismillahirrahmaanirrahim...Alhamdulillah syukur pada usiaku kini yang menginjak usia 36 tahun pada tahun 2018 ini, banyak perkara yang berlaku yang wajib aku syukuri dengan penuh keinsafan dan ketenangan. Allah SWT masih lagi mengurniakan nikmat yang melimpah walau sesekali diuji sebagai tanda kasih sayang-Nya.

Terasa kerdilnya aku sebagai hamba yang hanya menumpang di muka bumi Allah SWT. Nikmat apa lagi yang aku mahu dustakan. Kasih sayang-Nya Maha Agung. Segala nikmat yang dikecapi semoga menjadikan aku sebagai manusia yang tahu untuk bersyukur.
Satu perkara yang ingin aku kongsikan, banyak perkara yang berlaku dalam hidupku dan keluargaku rupanya banyak hikmah yang tersembunyi. Setiap perkara yang berlaku itu banyak hikmah dan pengajaran pada diriku. Alhamdulillah segalanya dapat diharungi dengan baik. Mengenai keyakinan diri melalui arus kehidupan dengan doa sebagai perisai. Tanpa doa dan usaha, mungkin aku juga seperti manusia yang tiada pedoman hidup. Munajat ketika susah dan senang itu menyelamatkan diriku daripada putus asa ketika dilanda pelbagai masalah yang melanda diri. Insya Allah, kini dan selamanya semoga Allah SWT mengurniakan kebaikan dan dijauhkan daripada kejahatan.

 Saat aku mencuba untuk mandiri dan mematangkan diri melalui pelbagai dugaan hidup. Aku terus mencuba tanpa putus asa. Cabaran dan mehnah perlu dilalui dengan penuh kecekalan dan ketabahan. Setiap kali selepas solat, doa yang diamalkan ini, alhamdulillah berjaya menjadikan aku lebih tenang dan berhati-hati walau dugaan datang di setiap penjuru kehidupan. Semoga kami sekeluarga  terus istiqamah mengamalkan doa ini sepanjang hidup kami. Fitnah akhir zaman ini perlu dilalui dengan ilmu, iman dan amal yang mantap. Insya Allah. Aamiin.

" Ya Allah, kami berlindung dengan Engkau daripada fitnah hidup dan mati dan kami berlindung dengan Engkau daripada seksa kubur dan kami berlindung dengan Engkau daripada seksa api Neraka dan kami berlindung dengan Engkau daripada Fitnah Dajjal.
 Aamiin".