![]() |
SELAGI MASIH ADA IBU BAPA BALIKLAH KE KAMPUNG
Sudah 12 tahun kami suami isteri
berulang alik dari Johor ke Kelantan. Setiap kali musim cuti sekolah dan hari
raya kami tidak melepaskan peluang untuk balik ke kampung. Walaupun jarak yang
jauh dan kesibukan tugas kami tetap meluangkan masa untuk bersama ibu bapa di
kampung. Alhamdulillah syukur sangat-sangat mereka semua masih sihat walafiat.
Jarak yang jauh bukan alasan untuk kami tidak balik ke kampung. Selalu aku berikan kata-kata semangat untuk
suami tatkala suami meluahkan rasa nak balik ke kampung Jauh dan penat memandu
berjam-jam lamanya. “ abang, selagi kita
masih ada ibu bapa, kita akan balik menjenguk ibu bapa kita di kampung. Insya
Allah, Allah S.W.T akan sentiasa memudahkan urusan kita, yakinlah”. Aku yakin sangat-sangat
walau betapa penat dan letihnya mengharungi perjalanan yang jauh, insya Allah segalanya
berbaloi. Allah SWT Maha Mengetahui segalanya. Hanya orang yang merantau jauh
bertahun lamanya akan mengerti perasaan ini. Satu yang aku nampak dan mengerti
apa yang tersirat di sebalik hikmah perjalanan ini, Allah SWT banyak memudahkan
urusan kami suami isteri dan anak-anak. Urusan kerja dan urusan keluarga Allah
SWT permudahkan setiap ketika. Hubungan yang baik dengan jiran tetangga
terutama jiran-jiran sebelah dan depan rumah kami banyak membantu kami
menguruskan anak-anak . Hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa mereka. Tidak
tahu macam mana nak luahkan betapa besarnya pertolongan mereka untuk kami
sekeluarga.
Bukan kami tidak ingin menetap di
kampung, sudah puas suami mengisi borang permohonan untuk pindah ke Kelantan
dan naik turun ke Putrajaya. Sudah puas kami membuat rayuan permohonan. Permohonan
kami selalunya gagal. Aku pun pernah mengisi borang permohonan untuk bertugas
di Kelantan. Pernah semasa aku bertugas sebagai Kaunselor di Matrikulasi,
setelah habis perkhidmatan aku sebagai Kaunselor DG 41 (Terbuka), aku ada membuat
permohonan balik bertugas di Kelantan, tetapi kata pegawai yang bertugas di
Putrajaya, namaku sudah lekat di Johor, tak boleh pindah. Jadi aku dan suami
mengambil keputusan untuk menetap di Johor sementara dapat berpindah. Apa pun
dimana jua kami diletakkan, insya Allah kami tetap menjalankan tugas yang
diamanahkan dengan sepenuh hati. Berpindah dari satu tempat ke satu tempat
bukan ingin mengejar habuan dunia tetapi itulah tugas dan tanggungjawab yang
Allah SWT amanahkan untuk kami suami isteri ke mana sahaja kami pergi. Berkhidmat selagi termampu dan terdaya kami
laksanakan. Dalam menelusuri kehidupan kami, satu pepatah yang aku nukilkan
daripada pepatah melayu “ Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri
sendiri maka baiklah di negeri sendiri”. Insya Allah doa yang baik-baik akan
datang yang baik-baik juga. Aamiin.

No comments:
Post a Comment