Wednesday, 16 May 2018

Kenapa Aku Minat Menjadi Pendidik


KENAPA AKU MINAT MENJADI GURU

 

Kisah ini aku imbas kembali, pada zaman aku masih kanak-kanak. Aku masa tu berumur lebih kurang enam tahun. Ia menjadi satu sumber inspirasi untuk aku mengorak langkah ke masa hadapan.  Abang sulung aku merupakan tulang belakang kepada keluarga aku untuk menceburi bidang pendidikan. Abang aku mengajar di sekolah menengah agama bawah kelolaan Kerajaan Negeri . Pelajar-pelajar abang aku panggil beliau ustaz handsome. Ramai peminat di sekolah. Puji-pujian mereka melangit tentang abang aku. Mereka cakap abang aku ni handsome dan baik. Tak pernah marah pelajar. Ikut perangai ayah sebenarnya. Masa muda abang aku ni agak glamor dari segi kehandsomemannya. Badan tinggi lampai, kulit putih kuning,suara yang lemah lembut dan orangnya bersopan santun. Agak pendiam orangnya dan tak banyak bercakap. Abang aku lah pencetus motivasi untuk aku dan adik beradik yang lain menjadi cikgu. Abang sanggup habiskan duit beli papan hijau dan buku tulis untuk kami. Selepas balik sekolah, ada waktunya yang tertentu abang akan mengajar kami. Aura pendidik tu singgah di dalam hati-hati kami tetapi tak semua orang akan terpilih untuk menjadi pendidik. Rezeki Allah tu hanya Allah yang Maha Tahu. Allah tak bagi rezeki kat kita untuk jadi cikgu mungkin anak-anak kita pula yang jadi cikgu. Cita-cita kita akan tumpah pada anak-anak kita. Anak-anak kita adalah aset kita. Dunia dan akhirat. Yang penting, kita mempunyai mentaliti kelas pertama walau apapun pekerjaan yang kita sandang. Mentaliti yang baik akan jadi yang baik juga.

 

Masa zaman abang aku mengajar dulu, guru-guru mengajar pakai papan hijau dan kapur tulis. Dengan tekunnya abang aku mengajar. Sepupu-sepupu dan adik-adik aku yang masih kecil masa tu mendengar pengajaran abang sulung aku ni di rumah nenek aku. Bagi aku, abang aku ni sangat baik orangnya. Sopan santun dan lemah lembut. Banyak ikut perangai ayah. Abang aku tanamkan minat belajar tu kepada aku dan adik beradik yang lain. Aku tak pasti dan masa tu aku masih kecil sangat. Mula-mula yang aku ingat, rumah aku dipenuhi dengan buku-buku. Tidak tahu siapa yang beli. Sama ada ayah, abang atau kakak. Aku, kakak-kakak dan adik yang bongsu akhirnya berjaya menjadi guru yang bertauliah di bawah KPM dan Kerajaan negeri.

 

Masa aku berada dalam darjah 6, aku mengikut kakak mengajar  di salah sebuah sekolah rendah di negeri Johor ke sana waktu cuti. Di sana, aku berkenalan dengan anak-anak murid kakak aku. Aku suka sangat melihat kakak aku menjadi cikgu pada masa tu. Aku menghargai setiap pengalaman yang diberikan oleh semua kakak aku sewaktu kecil dahulu. Walaupun ada seorang kakakku tak berjaya menjadi cikgu tetapi akhirnya berjaya juga melahirkan anak-anak yang berjaya. Pengalaman-pengalaman itulah sebenarnya yang memberikan kita satu inspirasi untuk memilih kerjaya pada masa hadapan.

 

No comments: