Monday, 24 September 2018

Di Dalam Mencari Yang Sempurna Maka Yang Terbaik Akan Hilang



Bersyukurlah dengan nikmat yang diberikan. Alhamdulillah setiap detik dan waktu Allah SWT memberikan aku ruang dan kesempatan melihat dan meneroka di setiap genap alam. Bermusafir menikmati kebesaran dan keagungan Allah SWT. Hanya dalam hatiku betapa besarnya nikmat yang Allah SWT berikan untukku. Allahu Akbar. Allah SWT banyak mendidikku dan memberi pengajaran menginsafi segala kelemahan diri bahawa tiada yang sempurna di dunia ini. Alhamdulillah, aku bersyukur dengan apa yang aku ada sekarang. Aku sangat memahami dalam mencari yang sempurna maka yang terbaik akan hilang. Yang terbaik di sisiku anugerah Ilahi. Dalam surah Ar Rahman aku hayati tafsirannya : “ Nikmat apa lagi yang mahu didustakan” . Syukur saat derita Allah kurniakan bahagia, saat susah Allah hadiahkan rezeki..alhamdulillah. Sedikit sebanyak rasa bersyukur bertandang juga nikmat Ilahi walau macam mana sekali pun. Allah SWT datangkan suami, anak-anak dan sahabat-sahabat yang baik juga satu rezeki bagiku…Doa seorang ibu adalah yang terbaik untuk anak-anaknya. Segala yang baik itu datangnya rezeki daripada Allah…Allah kurniakan segalanya dan tidak perlu lagi rasanya mencari kesempurnaan…aku belajar menerima semuanya seadanya. Segala yang ada sudah cukup bagiku dalam memberi erti hidup. Syukur dipanjatkan kepada Ilahi, aku pernah merasai kehilangan orang yang sangat aku sayangi yang sentiasa ada saat aku memerlukan, memberi motivasi dan harapan untuk berjaya dunia akhirat. Mendoakanku saban waktu dan memberi harapan untuk aku berjaya dalam pelajaran. Itulah arwah ayah. Nasihat dan pedoman sehingga kini masih aku ingat dan teladani. Bersyukurlah seandainya kita masih ada lagi ayah yang baik yang sentiasa menyayangi anak-anaknya. Jangan lihat apa yang kita tiada.  Arwah ayah meninggal semasa aku masih lagi belajar mengenal erti dunia dan bertatih meneruskan semangat dan motivasi untuk belajar. Arwah ayah meninggal masa aku di tingkatan dua. Saat aku kehilangan arwah ayah semasa aku masih lagi memerlukannya dan pada saat yang tepat, Allah SWT menggantikan aku dengan seorang suami yang sentiasa menemaniku saat susah dan payah. Sebab itulah aku belajar banyak erti syukur. Aku tidak pernah ingin mencari kesempurnaan. Pesanan arwah untuk aku belajar bersungguh-sungguh sampai sekarang menjadi pencetus motivasiku untuk belajar dan meneruskan pencarian ilmu walau sebenarnya dahulu aku belajar dalam serba kekurangan. Tiada istilah sekolah hebat, guru yang hebat. Sekolah kampung sahaja.  Aku juga pelajar yang biasa sahaja. Anak orang kampung. Cuma yang ada pada masa tu, guru-guru yang segalanya diberkati sehingga melahirkan ramai yang mendapat gelaran graduan universiti.  Aku bersyukur juga dapat menjejakkan kaki ke universiti Malaya dan sampai sekarang Allah SWT memberikanku peluang untuk menimba ilmu. Sebab itulah, aku berpegang pada prinsip kekurangan bukan alasan untuk tidak berjaya. Mengingati masa lalu dalam serba kepayahan, aku belajar erti bersyukur. Melihat banyak segi kehidupan dalam permusafiran merantau ke negeri orang, aku belajar tentang istilah mensyukuri apa yang ada dan terus berusaha. Tidak gentar dan takut..selagi ada redha daripada ibu dan restu daripada suamiku, aku yakin segalanya akan berjalan dengan lancar. Semoga Allah mempermudahkan segalanya.. Cukuplah apa yang ada dan Allah SWT berhak memberi atas segalanya. Aku hanya mampu berusaha. Semoga kehidupanku, keluargaku, guru-guruku, sahabat-sahabatku, jiran-jiranku, anak-anak didikku Insya Allah semakin diberkati….Aamiin.

Thursday, 6 September 2018

Artikel Perkahwinan Bercerita Seribu Rasa...menulis Untuk Memotivasikan Diri Dan Orang Yang Sudi Membaca..

Bersyukur sekian lama menulis dan menulis artikel dan cerpen, tercapai jua hasrat ingin melihat artikel dan cerpen dibukukan walaupun hanya mampu menulis secara berjamaah..walaupun begitu, menulis dan terus menulis untuk mengekalkan momentum diri dalam bidang penulisan. Minat yang mendalam dan suka menulis walau terkadang menjadi ketagih dalam menulis. Sejak di bangku sekolah lagi aku menulis setiap coretan tetapi tidak dikumpulkan lalu ianya hanyalah seperti angin lalu dan terus hilang. Hanya buat tatapan diri sahaja.. Namun sekarang zaman sudah berubah, teknologi semakin canggih,  maka pembelajaran secara online menjadi pilihan untuk aku insan yang suka menulis. Menulis bukan untuk suka-suka tetapi harapan dan impian semoga ianya bermanfaat untuk diri dan masyarakat..setiap buku yang bermanfaat bukan sampah andai ianya menjadi manfaat untuk diri dan orang lain menjadi insan yang lebih baik..Alhamdulillah, buku-buku ini menjadi bukti aku suka menulis walau masaku sangat terhad untuk berkarya...jika ada sesiapa yang teringin memiliki atau merasakan ingin tahu lebih lanjut isi kandungan dan manfaat buku-buku ini, insya Allah boleh membantu dalam memahami sedikit demi sedikit tentang isu-isu perkahwinan dalam membina bahagia dalam perkahwinan. Insya Allah. Semoga ianya sangat bermanfaat. Sesiapa yang berminat, bolehlah hubungi saya : nama pena : fatihannur osman 0195134741.


Tuesday, 4 September 2018

Pengalaman Mengajar Mematangkan Diri Dalam Menghadapi Cabaran Kehidupan

Pengalaman Dalam Mengajar Mendewasakan Diri Menghadapi Cabaran Hidup

Alhamdulillah semalam 4.9.2018, Allah SWT memberi peluang untukku memulakan langkah ke era baru, era yang penuh cabaran, meneroka dan mendalami ilmu pengetahuan. Makna Ilmuan seandainya diberikan pengertian ianya amatlah mendalam. Bukan ku mahu menjadi ilmuan terbilang tetapi mendapatkan redha Ilahi dalam menggapai kasih sayang-Nya. Semoga Ilmu yang ku cari diberkati dan diredhai Ilahi. Terima kasih suamiku menemaniku mendaftarkan diri sebagai seorang Siswazah. Syukur semalam Allah SWT memberi masa untuk suamiku meluangkan masanya sekejap dengan keizinan en.Omar Bin Hassan, Pengarah Kolej Vokasional Tanjung Puteri. Terima kasih kami ucapkan. Alhamdulillah, ini kali ketiga aku bergelar Siswazah Universiti. Bersyukur Allah SWT memberi peluang untukku bergelar pendidik dan seterusnya diberi ruang untuk mencari ilmu. Semoga sedikit ilmu yang ada mampu memberi inspirasi kepada yang lain untuk terus berusaha mencari ilmu buat pedoman diri dan anak-anak didik untuk berjaya di dunia dan akhirat. Insya Allah.
Bercerita serba sedikit tentang pengalaman menjadi seorang pendidik yang mendidik anak didik seawal umur 5 tahun hingga mereka yang sudah dewasa menjadikan seluruh ruang kehidupanku sungguh bermakna. Pengalaman itu mahal harganya dan tidak boleh dibeli di mana-mana. Syukur sebelum aku melangkah keluar dari dunia kerjaya sebagai seorang pendidik, aku ditugaskan mengajar anak-anak didik di Tadika Semaian Subur tempat aku mengajar.  Walaupun sebentar cuma tak sampai dua bulan aku mengajar mereka, banyak perkara yang aku pelajari. Ibrah daripada mengajar mereka, aku teladani satu persatu. Kasih sayang dan rahmat Ilahi sentiasa bersama kita apabila mengajar kanak-kanak yang tidak mengenal erti pahala dan dosa..Alhamdulillah, mencabar juga mengajar anak-anak kecil. pengalaman mendidik anak-anakku sebaya mereka menjadikan aku lebih sabar dan matang dalam mendidik. Terasa hidup makin tenang, hari-hari yang bertandang terasa dirahmati. Wajah yang polos dan suci itu aku santuni seperti jua anak-anakku. Rezekiku juga semakin murah sejak mengajar mereka. Syukur alhamdulillah. Sejak aku menjadi pendidik selama 13 tahun ni, aku merasakan bukan mudah dan bukan juga susah berada dalam dunia pendidikan.  Walaupun menjadi seorang pendidik, tugasan yang rencam banyak mencabar diri untuk terus gigih dalam menyiapkan tugasan yang diberi walaupun kemampuan diri tetap membataskan. Sebagai pendidik dan juga ibu rumahtangga perlu dibereskan dan dibahagikan masa dengan baik. Alhamdulillah, sepanjang mengajar anak-anak di Tadika Semaian Subur, aku kutip sedikit demi sedikit permata ilmu, belajar memahami jiwa dan kehendak mereka. Begitu juga anak didikku yang remaja dan dewasa, siang dan malam aku mengajar dan memberi ilmu walau sedikit cuma semoga ianya terkesan di hati. Sedikit sahaja ilmu yang ada pada diri dapat dikongsi. Semoga aku dapat sebarkan ilmu buat mereka. Harapanku hanya satu agar   walau sedikit dapat menjadi sesuatu yang bermanfaat buat mereka. Kalau tidak hari ini mungkin jua akan datang. Dalam dunia pendidikan, kita akan mengenal erti bahagia andai kita lakukan seikhlas hati. Semakin lama, kita akan semakin mengenal apa itu ikhlas dalam mendidik bila mana kita cuba berkorban masa yang sedikit kepada mereka. Mungkin bukan hari ini mereka mengingati apa yang kita beri, esok lusa mereka akan memahami. Itulah tugas sebenar seorang pendidik. Yang paling penting kita sebagai pendidik merasa bahagia dalam memberi segalanya untuk mereka. Seringkali jua senyuman sentiasa terukir di hati melihat telatah dan gelagat mereka walaupun kelelahan tetapi kepuasan itu sungguh mendalam aku dapatkan. Aku merasakan hidupku makin bermakna. Terasa berat sebenarnya melepaskan dunia itu walau sebentar cuma demi mencari ilmu yang bermanfaat buat diri dan mereka. Dunia pendidikan walau penuh cabaran tetapi andai dilalui dengan penuh sabar dan tabah insya Allah, ia akan membuahkan hasil yang baik. Insya Allah, seperti kata peribahasa, benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau. Aku menganggap anak-anakku dan anak-anak  didikku semuanya benih yang baik dan semua mereka berhak mengecapi kejayaan dunia dan akhirat. Kejayaan itu subjektif sifatnya. Kita sendiri yang memaknai kejayaan itu. Insya Allah. Aamiin.