Tuesday, 4 September 2018

Pengalaman Mengajar Mematangkan Diri Dalam Menghadapi Cabaran Kehidupan

Pengalaman Dalam Mengajar Mendewasakan Diri Menghadapi Cabaran Hidup

Alhamdulillah semalam 4.9.2018, Allah SWT memberi peluang untukku memulakan langkah ke era baru, era yang penuh cabaran, meneroka dan mendalami ilmu pengetahuan. Makna Ilmuan seandainya diberikan pengertian ianya amatlah mendalam. Bukan ku mahu menjadi ilmuan terbilang tetapi mendapatkan redha Ilahi dalam menggapai kasih sayang-Nya. Semoga Ilmu yang ku cari diberkati dan diredhai Ilahi. Terima kasih suamiku menemaniku mendaftarkan diri sebagai seorang Siswazah. Syukur semalam Allah SWT memberi masa untuk suamiku meluangkan masanya sekejap dengan keizinan en.Omar Bin Hassan, Pengarah Kolej Vokasional Tanjung Puteri. Terima kasih kami ucapkan. Alhamdulillah, ini kali ketiga aku bergelar Siswazah Universiti. Bersyukur Allah SWT memberi peluang untukku bergelar pendidik dan seterusnya diberi ruang untuk mencari ilmu. Semoga sedikit ilmu yang ada mampu memberi inspirasi kepada yang lain untuk terus berusaha mencari ilmu buat pedoman diri dan anak-anak didik untuk berjaya di dunia dan akhirat. Insya Allah.
Bercerita serba sedikit tentang pengalaman menjadi seorang pendidik yang mendidik anak didik seawal umur 5 tahun hingga mereka yang sudah dewasa menjadikan seluruh ruang kehidupanku sungguh bermakna. Pengalaman itu mahal harganya dan tidak boleh dibeli di mana-mana. Syukur sebelum aku melangkah keluar dari dunia kerjaya sebagai seorang pendidik, aku ditugaskan mengajar anak-anak didik di Tadika Semaian Subur tempat aku mengajar.  Walaupun sebentar cuma tak sampai dua bulan aku mengajar mereka, banyak perkara yang aku pelajari. Ibrah daripada mengajar mereka, aku teladani satu persatu. Kasih sayang dan rahmat Ilahi sentiasa bersama kita apabila mengajar kanak-kanak yang tidak mengenal erti pahala dan dosa..Alhamdulillah, mencabar juga mengajar anak-anak kecil. pengalaman mendidik anak-anakku sebaya mereka menjadikan aku lebih sabar dan matang dalam mendidik. Terasa hidup makin tenang, hari-hari yang bertandang terasa dirahmati. Wajah yang polos dan suci itu aku santuni seperti jua anak-anakku. Rezekiku juga semakin murah sejak mengajar mereka. Syukur alhamdulillah. Sejak aku menjadi pendidik selama 13 tahun ni, aku merasakan bukan mudah dan bukan juga susah berada dalam dunia pendidikan.  Walaupun menjadi seorang pendidik, tugasan yang rencam banyak mencabar diri untuk terus gigih dalam menyiapkan tugasan yang diberi walaupun kemampuan diri tetap membataskan. Sebagai pendidik dan juga ibu rumahtangga perlu dibereskan dan dibahagikan masa dengan baik. Alhamdulillah, sepanjang mengajar anak-anak di Tadika Semaian Subur, aku kutip sedikit demi sedikit permata ilmu, belajar memahami jiwa dan kehendak mereka. Begitu juga anak didikku yang remaja dan dewasa, siang dan malam aku mengajar dan memberi ilmu walau sedikit cuma semoga ianya terkesan di hati. Sedikit sahaja ilmu yang ada pada diri dapat dikongsi. Semoga aku dapat sebarkan ilmu buat mereka. Harapanku hanya satu agar   walau sedikit dapat menjadi sesuatu yang bermanfaat buat mereka. Kalau tidak hari ini mungkin jua akan datang. Dalam dunia pendidikan, kita akan mengenal erti bahagia andai kita lakukan seikhlas hati. Semakin lama, kita akan semakin mengenal apa itu ikhlas dalam mendidik bila mana kita cuba berkorban masa yang sedikit kepada mereka. Mungkin bukan hari ini mereka mengingati apa yang kita beri, esok lusa mereka akan memahami. Itulah tugas sebenar seorang pendidik. Yang paling penting kita sebagai pendidik merasa bahagia dalam memberi segalanya untuk mereka. Seringkali jua senyuman sentiasa terukir di hati melihat telatah dan gelagat mereka walaupun kelelahan tetapi kepuasan itu sungguh mendalam aku dapatkan. Aku merasakan hidupku makin bermakna. Terasa berat sebenarnya melepaskan dunia itu walau sebentar cuma demi mencari ilmu yang bermanfaat buat diri dan mereka. Dunia pendidikan walau penuh cabaran tetapi andai dilalui dengan penuh sabar dan tabah insya Allah, ia akan membuahkan hasil yang baik. Insya Allah, seperti kata peribahasa, benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau. Aku menganggap anak-anakku dan anak-anak  didikku semuanya benih yang baik dan semua mereka berhak mengecapi kejayaan dunia dan akhirat. Kejayaan itu subjektif sifatnya. Kita sendiri yang memaknai kejayaan itu. Insya Allah. Aamiin.

No comments: