Monday, 18 September 2017

Pengalaman menghantar anak ke Pusat Tahfiz

Assalamualaikum dan salam muafakat untuk semua yang kukasihi...

          Sedikit perkongsian tentang pengalaman menghantar anak ke Maahad Tahfiz pada musim cuti sekolah akhir tahun. Biasanya ibu bapa terutama ibu bapa yang sibuk bekerja di Bandar akan menghantar anak-anak ke kem cuti sekolah untuk mengisi masa lapang anak-anak. Maka tercari-carilah tempat yang sesuai untuk anak-anak menghabiskan masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Pada pandangan kami sebagai ibu bapa yang bercita-cita ingin anak-anak dididik dengan akhlak yang baik maka sekolah Tahfiz menjadi pilihan yang terbaik. Itulah tempat yang terbaik untuk anak-anak mendalami ilmu Al-Quran dan agama. Abah ada suarakan untuk menghantar anak yang sulung ke Maahad Tahfiz secara sepenuh masa tetapi mungkin masih lagi berfikir panjang dan memilih tempat yang terbaik untuk anak-anak. Anak yang sulung masih lagi mengikuti sistem pendidikan yang disediakan oleh kerajaan sepenuhnya. Tidak dinafikan juga sistem pendidikan Kerajaan juga terbaik dan banyak perubahan yang dilakukan oleh Kementerian untuk menambahbaik sistem pendidikan yang sedia ada ke arah sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

        Masa menghantar anak yang sulung ke kem Tahfiz pada musim cuti sekolah, banyak perubahan yang kami dapat daripada sistem pendidikan di sana. Keseluruhannya banyak yang positif terutama daripada segi pembangunan ilmu agama, akhlak dan kemahiran insaniah yang murid-murid perolehi daripada sistem pendidikan di Maahad Tahfiz. Cuma mungkin sedikit kekurangan daripada prasarana dan kemudahan fizikal kerana Maahad Tahfiz kebanyakan peruntukan daripada dana dan sumbangan orang ramai.
      Berbalik kepada cerita pengalaman menghantar anak yang sulung ke Maahad Tahfiz pada musim cuti sekolah. Kami suami isteri mengambil anak yang sulung dari Maahad Tahfiz ketika waktu cuti sekolah hampir tamat dan anak yang sulung mengikuti persekolahan di sekolah rendah seperti biasa. Selepas 3 bulan, kami dikhabarkan Maahad Tahfiz tersebut terbakar. Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Bersyukur sangat-sangat masa tu walaupun anak kami tiada di situ tetapi anak-anak di situ tetap kami anggap seperti anak-anak kami juga. Kami sempat berbual-bual mesra dengan mereka. Kemesraan yang terjalin antara mereka terpahat kukuh dalam ingatan. Tiada buli dan saling bantu membantu antara satu sama lain.

      Sewaktu saya sedang menulis cerita pengalaman ini, hati masih sayu,sedih, pilu bercampur baur dan adakala teringat-ingat tentang Maahad Tahfiz yang dibakar sehingga mengorbankan nyawa murid-murid dan warden yang tidak berdosa. Takdir sudah tertulis. Situasi yang berlaku pasti ada jawapannya. Kronologi demi kronologi tetap kami ikuti sebagai ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang sedang meningkat remaja. Untuk mengulas situasi ini, mungkin ada pihak yang lebih layak dan berautoriti untuk memberi komen dan mengambil tindakan yang yang sewajarnya supaya perkara-perkara seperti ini tidak lagi berlaku pada masa akan datang. Aamin.

P/S : Kami bukanlah ibu bapa yang terbaik tetapi kami cuba memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Anak-anak adalah amanah Allah S.W.T kepada kita. Anak-anak yang baik penyejuk mata hati ibu bapa.

    

        


       

No comments: