Tuesday, 17 July 2018

Pengalaman Adalah Guru Yang Terbaik


Pengalaman adalah guru yang terbaik

Berguru dengan pengalaman adalah cara yang paling ampuh untuk terus bertahan dalam mendepani cabaran dalam arus kehidupan yang penuh dengan onak dan duri. Alam yang terbentang luas menjadi seribu satu pengajaran buat kita.  Kehidupan yang penuh dengan pengalaman memberikan seribu satu pengertian dalam kehidupan. Ilmu pengetahuan dan pengalaman adalah guru yang berharga di dalam kehidupan. Ianya tidak boleh dibeli dan mahal nilainya dalam kehidupan. Dengan pengalaman, kita berjaya mengharungi saat sukar dan dugaan dengan penuh kematangan dan belajar untuk tidak melakukan kesilapan yang sama berulang kali. Dengan ilmu dan pengalaman juga kita memperoleh kemahiran dan kepakaran dalam sesuatu bidang yang kita ceburi. Belajarlah daripada pengalaman diri dan orang lain untuk berjaya. Renunglah dengan pandangan mata hati yang dalam di saat kita diuji dengan kegagalan, kita bersyukur. Ujian mematangkan diri dan membina kekuatan dalaman untuk terus teguh berdiri, bangkit dalam mengejar impian dan cita-cita kita.  Kegagalan bukan untuk selama-lamanya dan kejayaan menanti untuk orang yang bersabar dalam menempuh liku-liku kehidupan.  Kita berjaya bukan bermakna kita hebat tetapi semuanya dengan izin Allah S.W.T.Hidup umpama roda. Sewaktu berada di puncak kejayaan, ingatlah saat kita berada di bawah. Saat kita susah dan sukar untuk kita menyedari bahawa segala milik Ilahi. Tiada satu pun milik kita. bersyukur seadanya anugerah terindah di dalam kehidupan. Bahagia buat yang sentiasa bersyukur. semoga Allah sentiasa memberkati kita setiap saat dan waktu. Aamiin.

Sunday, 8 July 2018

Tip Menghantar Anak Ke Rumah Pengasuh Atau Taska

Tip Menghantar Anak Kepada Pengasuh Di Rumah Atau Guru Taska

Bismillahirrahmaanirrahim..mengingatkan banyak kes yang mengorbankan nyawa bayi dan kanak-kanak disebabkan oleh kecuaian pengasuh sebenarnya memberi tekanan kepada ibu bapa yang bekerja. Penderaan yang dilakukan begitu meruntun hati dan jiwa. Nau'zubillahi Min Zalik. Kerisauan dan kebimbangan meninggalkan anak-anak dengan orang lain menyebabkan ibu-ibu terpaksa meninggalkan kerjaya masing-masing demi menjaga anak-anak yang masih bayi. Aku memahami perasaan itu kerana suatu ketika aku juga mengalami satu situasi yang sama di mana aku berhasrat mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga anak-anak. Kasih sayang terhadap anak-anak tidak mampu dibeli dengan wang ringgit. Namun aku membatalkan hasrat kerana Allah mempermudahkan urusanku dalam penjagaan anak-anak. Aku sangat-sangat berterima kasih kepada mereka yang pernah dan sedang menjaga anak-anakku. Tanpa mereka,  mampukah aku dengan tenang mengajar anak-anak didikku. Bersyukurlah dalam setiap kesukaran itu ada kemudahan yang Allah sediakan. Walau di benak fikiranku setiap hari aku bimbang tentang anak-anak. Cuma doa, usaha, ikhtiar dan tawakkal yang menjadi pegangan dan prinsipku dalam menempuhi kehidupan yang penuh cabaran ini. Sedikit tip atau panduan yang boleh diberikan berdasarkan pengalaman aku menghantar anak-anak ke rumah pengasuh di rumah atau taska..alhamdulillah aku bersyukur sepanjang aku menghantar anak-anak dari anak yang pertama sampai keempat di rumah pengasuh atau taska, aku tidak menghadapi banyak masalah. Mungkin jadual mengajar dari pukul 7.30 hingga 4.30 membolehkan aku dan suami menghantar dan mengambil anak mengikut masanya. Pulang dari mengajar dan menempuhi perjalanan trafik jam dari IPG ke rumah kira-kira pukul 6 lebih aku sampai di rumah. 
Jadi tips ini insya Allah sedikit sebanyak boleh membantu kepada mereka yang masih baharu dalam menimang cahaya mata dan bimbang meninggalkan anak-anak kepada pengasuh. 

1. Cari pengasuh dan taska yang berdaftar dengan Kementerian, mempunyai pengalaman, pengasih dan penyayang terhadap kanak-kanak.

2. Melihat persekitaran kediaman dan kehidupan sosial ahli keluarga pengasuh. Akhlak yang baik dan minat dalam mengasuh kanak-kanak serta tidak bermotifkan keuntungan semata-mata menjauhkan mereka yang mengasuh kanak-kanak melakukan penderaan terhadap bayi dan kanak-kanak. 

3.Cari pengasuh yang menutup aurat dan mempunyai ilmu agama yang baik. Kalau naluri kita tak sedap hati nak letak jangan letak. Cari pengasuh lain dan doa banyak-banyak dapat jumpa orang-orang yang baik dan ikhlas hatinya. 

4.Baby sangat fragile. Mempunyai risiko yang tinggi untuk mudah terjatuh dan tersedak susu. Mereka yang berpengalaman dalam mengendalikan bayi dan kanak-kanak dapat meminimumkan risiko ini.

5. Jaga hati dan perasaan pengasuh. Selalu berterima kasih dan menghargai mereka. Bayar duit pengasuh tepat mengikut waktunya. 

6. Niat kerana Allah S.W.T dan untuk memudahkan urusan orang. Insya Allah, Allah mempermudahkan urusan kita.

5.Doa, usaha, ikhtiar dan tawakkal. Semoga Allah S.W.T menemukan kita dengan orang-orang yang ikhlas dalam menjaga anak-anak kita dan menjauhkan anak-anak dari keburukan dan musibah. 

6.Setiap hari amalkan baca doa sebanyak tujuh kali "Bismillahi llazii la yadurru ma'as mihi syai'un fil ardi wala  fissama'ii wahu ssami'ul A'liim.

Terjemahan : Dengan nama Allah yang tidak memberi mudarat, sesuatu di bumi juga di langit dan dia maha mendengar lagi maha mengetahui.

Sedikit perkongsian pengalaman ini semoga memberi manfaat. Kita hanya mampu berusaha, Allah yang menentukan segalanya.