Wednesday, 30 May 2018

Selagi Masih Ada Ibu Bapa Baliklah Ke Kampung


SELAGI MASIH ADA IBU BAPA BALIKLAH KE KAMPUNG

Sudah 12 tahun kami suami isteri berulang alik dari Johor ke Kelantan. Setiap kali musim cuti sekolah dan hari raya kami tidak melepaskan peluang untuk balik ke kampung. Walaupun jarak yang jauh dan kesibukan tugas kami tetap meluangkan masa untuk bersama ibu bapa di kampung. Alhamdulillah syukur sangat-sangat mereka semua masih sihat walafiat. Jarak yang jauh bukan alasan untuk kami tidak balik ke kampung.  Selalu aku berikan kata-kata semangat untuk suami tatkala suami meluahkan rasa nak balik ke kampung Jauh dan penat memandu berjam-jam lamanya.  “ abang, selagi kita masih ada ibu bapa, kita akan balik menjenguk ibu bapa kita di kampung. Insya Allah, Allah S.W.T akan sentiasa memudahkan urusan kita, yakinlah”. Aku yakin sangat-sangat walau betapa penat dan letihnya mengharungi perjalanan yang jauh, insya Allah segalanya berbaloi. Allah SWT Maha Mengetahui segalanya. Hanya orang yang merantau jauh bertahun lamanya akan mengerti perasaan ini. Satu yang aku nampak dan mengerti apa yang tersirat di sebalik hikmah perjalanan ini, Allah SWT banyak memudahkan urusan kami suami isteri dan anak-anak. Urusan kerja dan urusan keluarga Allah SWT permudahkan setiap ketika. Hubungan yang baik dengan jiran tetangga terutama jiran-jiran sebelah dan depan rumah kami banyak membantu kami menguruskan anak-anak . Hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa mereka. Tidak tahu macam mana nak luahkan betapa besarnya pertolongan mereka untuk kami sekeluarga.

Bukan kami tidak ingin menetap di kampung, sudah puas suami mengisi borang permohonan untuk pindah ke Kelantan dan naik turun ke Putrajaya. Sudah puas kami membuat rayuan permohonan. Permohonan kami selalunya gagal. Aku pun pernah mengisi borang permohonan untuk bertugas di Kelantan. Pernah semasa aku bertugas sebagai Kaunselor di Matrikulasi, setelah habis perkhidmatan aku sebagai Kaunselor DG 41 (Terbuka), aku ada membuat permohonan balik bertugas di Kelantan, tetapi kata pegawai yang bertugas di Putrajaya, namaku sudah lekat di Johor, tak boleh pindah. Jadi aku dan suami mengambil keputusan untuk menetap di Johor sementara dapat berpindah. Apa pun dimana jua kami diletakkan, insya Allah kami tetap menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sepenuh hati. Berpindah dari satu tempat ke satu tempat bukan ingin mengejar habuan dunia tetapi itulah tugas dan tanggungjawab yang Allah SWT amanahkan untuk kami suami isteri ke mana sahaja kami pergi.  Berkhidmat selagi termampu dan terdaya kami laksanakan. Dalam menelusuri kehidupan kami, satu pepatah yang aku nukilkan daripada pepatah melayu “ Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri maka baiklah di negeri sendiri”. Insya Allah doa yang baik-baik akan datang yang baik-baik juga. Aamiin.

Sunday, 27 May 2018

RIDHUAN TEE: Jadilah manusia ada harga diri dan maruah

RIDHUAN TEE: Jadilah manusia ada harga diri dan maruah: https://www.ismaweb.net/2018/05/28/jadilah-manusia-yang-ada-harga-diri-dan-maruah/ Jadilah manusia yang ada harga diri dan maruah ...

Wednesday, 16 May 2018

Kenapa Aku Minat Menjadi Pendidik


KENAPA AKU MINAT MENJADI GURU

 

Kisah ini aku imbas kembali, pada zaman aku masih kanak-kanak. Aku masa tu berumur lebih kurang enam tahun. Ia menjadi satu sumber inspirasi untuk aku mengorak langkah ke masa hadapan.  Abang sulung aku merupakan tulang belakang kepada keluarga aku untuk menceburi bidang pendidikan. Abang aku mengajar di sekolah menengah agama bawah kelolaan Kerajaan Negeri . Pelajar-pelajar abang aku panggil beliau ustaz handsome. Ramai peminat di sekolah. Puji-pujian mereka melangit tentang abang aku. Mereka cakap abang aku ni handsome dan baik. Tak pernah marah pelajar. Ikut perangai ayah sebenarnya. Masa muda abang aku ni agak glamor dari segi kehandsomemannya. Badan tinggi lampai, kulit putih kuning,suara yang lemah lembut dan orangnya bersopan santun. Agak pendiam orangnya dan tak banyak bercakap. Abang aku lah pencetus motivasi untuk aku dan adik beradik yang lain menjadi cikgu. Abang sanggup habiskan duit beli papan hijau dan buku tulis untuk kami. Selepas balik sekolah, ada waktunya yang tertentu abang akan mengajar kami. Aura pendidik tu singgah di dalam hati-hati kami tetapi tak semua orang akan terpilih untuk menjadi pendidik. Rezeki Allah tu hanya Allah yang Maha Tahu. Allah tak bagi rezeki kat kita untuk jadi cikgu mungkin anak-anak kita pula yang jadi cikgu. Cita-cita kita akan tumpah pada anak-anak kita. Anak-anak kita adalah aset kita. Dunia dan akhirat. Yang penting, kita mempunyai mentaliti kelas pertama walau apapun pekerjaan yang kita sandang. Mentaliti yang baik akan jadi yang baik juga.

 

Masa zaman abang aku mengajar dulu, guru-guru mengajar pakai papan hijau dan kapur tulis. Dengan tekunnya abang aku mengajar. Sepupu-sepupu dan adik-adik aku yang masih kecil masa tu mendengar pengajaran abang sulung aku ni di rumah nenek aku. Bagi aku, abang aku ni sangat baik orangnya. Sopan santun dan lemah lembut. Banyak ikut perangai ayah. Abang aku tanamkan minat belajar tu kepada aku dan adik beradik yang lain. Aku tak pasti dan masa tu aku masih kecil sangat. Mula-mula yang aku ingat, rumah aku dipenuhi dengan buku-buku. Tidak tahu siapa yang beli. Sama ada ayah, abang atau kakak. Aku, kakak-kakak dan adik yang bongsu akhirnya berjaya menjadi guru yang bertauliah di bawah KPM dan Kerajaan negeri.

 

Masa aku berada dalam darjah 6, aku mengikut kakak mengajar  di salah sebuah sekolah rendah di negeri Johor ke sana waktu cuti. Di sana, aku berkenalan dengan anak-anak murid kakak aku. Aku suka sangat melihat kakak aku menjadi cikgu pada masa tu. Aku menghargai setiap pengalaman yang diberikan oleh semua kakak aku sewaktu kecil dahulu. Walaupun ada seorang kakakku tak berjaya menjadi cikgu tetapi akhirnya berjaya juga melahirkan anak-anak yang berjaya. Pengalaman-pengalaman itulah sebenarnya yang memberikan kita satu inspirasi untuk memilih kerjaya pada masa hadapan.

 

Selamat Hari Guru..Terima Kasih Cikgu..


SELAMAT HARI GURU..TERIMA KASIH CIKGU. Sudah 13 tahun aku menjadi pendidik dan tinggal 24 tahun lagi aku akan menghabiskan perkhidmatan aku dalam bidang pendidikan. Insya Allah. Andai diberi ruang dan peluang oleh Allah SWT. Sekarang usiaku tidak muda lagi dan tua pun akan menginjak tidak lama. Tak tua dan tak muda. Umur hanyalah pada angka. Bagi aku, setiap umur itu memberi makna yang berbeza. Usia itu membezakan pengalaman. Naik jatuh bangun dalam kehidupan itu adalah lumrah kehidupan.  Pendidikan yang mencorak pelbagai pengalaman pendidikan mewarnakan anak-anak didik pada masa depan. Barangkali bagaimanakah corak pendidikan yang akan dilalui oleh anak-anak didik kita nanti. Kitalah pembentuk acuannya. Pada pandangan aku, pendidikan tetap pendidikan. Life long learning . Tetap belajar walau berapa pun umur kita.  Kerjaya pendidikan ini  sangat sebati dalam diriku. Aku melihat pendidikan ini seusia aku masih kecil lagi. Seingat masa aku belajar di sekolah dahulu. Apa yang aku teruja apabila melihat guru-guruku dahulu yang bersusah payah untuk anak-anak didik. Guru-guruku di sekolah rendah dan menengah selalu membuat kelas tambahan di sekolah tanpa upah. Nilai keikhlasan yang mereka tunjukkan itu sangat aku hargai sebagai pelajar masa tu. Masa di universiti juga, masih aku ingat pesan pensyarahku : Ajarlah anak orang lain dengan ikhlas, insya Allah, orang akan mengajar anak kita dengan ikhlas. What you give you get back. Teringat masa mula-mula posting di sekolah dan sampai sekarang program-program yang aku jalankan bersama pelajar , satu je yang aku pegang. Pelajar kita adalah anak-anak didik kita.  Siang dan malam yang kita habiskan masa bersama pelajar mendidik mereka tanpa jemu itulah yang akan menjadi amal jariah kita. Tak semua orang sanggup tetapi sangguplah untuk menjadi pendidik. Memberikan segalanya apa yang mereka perlukan dalam hidup. Seorang guru tidak memerlukan penghargaan cukuplah apabila mereka melihat anak-anak didik menjadi orang yang berguna dalam masyarakat dan selamat dunia akhirat. Kerana anak-anak didik itulah juga aku mampu bertahan menjadi pendidik walau cabaran menanti setiap detik dan ketika. Terima kasih banyak-banyak kepada para pelajarku kerana bagi wish kat gurunya yang serba serbi banyak kekurangan ini. Doakan gurumu ini ya semoga bahagia dunia dan akhirat.

 

Friday, 11 May 2018

Merintihlah pada Allah SWT saat susah dan senang

Redha Ibu dan restu suami aku harapkan semoga apa yang Allah SWT berikan dan rezekikan  adalah suatu kelebihan yang dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Teringat saat Al-Fateh sakit masa tu. Banyak yang terpaksa dikorbankan namun memujuk diri itu perlu supaya hati dan jiwa terus kuat menghadapinya. Kesakitan Al-Fateh membuatkan aku jatuh sakit, setiap hari hampir rebah, menangis tidak keruan. Aku dan suami korbankan segalanya untuk Al-Fateh. Wang ringgit, masa, peluang dan apa yang didepan diharungi tanpa henti. Masa tu juga aku hampir berhenti kerja. Serba tak kena. Hanya orang yang pernah merasainya akan merasa sakit itu andai dirasai dengan mata hati.

Terasa terpinggir, tidak berguna, hati susah tetapi hati yang kuat itu datangnya daripada belas kasihan Allah SWT. Masa susah tu satu aku ingat, andai aku susah, ramai lagi yang lebih susah. Menunduk melihat rumput di bumi lebih indah daripada menongkat dan melihat ke langit yang tinggi. Suami memujuk aku saban waktu dan walau terkadang bukan semua saat beliau memahami tetapi beliau tetap ada di sisi untuk memberikan waktu merawat anak yang sedang sakit walau beliau sendiri jatuh sakit juga akhirnya. Kami semua sama-sama rasa sakit pada masa tu.

Pada saat susah tu, rintihan demi rintihan tetapi Allah SWT Maha Mendengar jua. Alhamdulillah segalanya sudah berlalu. Kesusahan yang sedikit itu aku anggap sebagai ujian untuk mematangkan diri. Aku bersyukur pada Ilahi dengan rezeki kerjaya itu juga yang dianugerahkan kepada kami suami isteri itu , serba sedikit dapat merawat anak kami tanpa bergantung dan merintih pada orang lain. Berkat kerjaya yang direzekikan Allah SWT kami menempuhi hidup bersama. Susah dan payah diharungi berdua bersama anak-anak. Cinta dan kasih sayangmu itu sangat aku hargai sebagai seorang isteri.  Tidak semua orang mahu mendengar rintihan kita. Betapa sukarnya hidup merintih. Merintih pada Allah SWT itulah yang lebih hakiki dan pendengaran Allah SWT Maha Agung. Kerjayaku ini adalah restu suami dan redha ibuku. Terima kasih sayang kerana mengambil cuti rehat hanya untuk menemaniku dan ibuku kerana mendoakanku saban waktu. Terima kasih ibuku kerana banyak menasihatiku setiap kali pulang ke kampung. Nasihatmu aku jadikan pedoman melalui hari-hari yang penuh bermakna. Aamiin.

PRU 14...Perjuangan Ahli Politik dan Kuasa Rakyat

       Bismillahirrahmaanirrahim..alhamdulillah PRU 14 sudah berlalu dan semoga kepimpinan yang baharu meneruskan legasi kepimpinan yang  sedia ada dengan lebih baik dan berwawasan seiring dengan kehendak Syarak. Rakyat inginkan perubahan dengan anjakan paradigma yang telus dan adil. Aku sebagai rakyat marhaen sudah menunaikan tanggungjawab mengundi untuk memilih calon pemimpin yang berwibawa. Semoga yang berwibawa itu terus berwibawa memberi perubahan yang baik kepada rakyat. Ilmu, kemahiran, kepakaran dan bakat yang ada pada seseorang pemimpin itu dapat diletakkan pada tempatnya. Melihat pada pengundian yang lepas, berbagai cerita didengari, ada yang berbau fakta, ada yang memfitnah tanpa usul periksa, ada yang berbalas dalam group whatsup dan sebagainya. Pada pendapat aku, itulah asam garam dunia politik. Apapun carilah sesuatu yang bermaruah. Doa orang yang teraniaya dan difitnah dimakbulkan Allah SWT akhirnya.