Wednesday, 20 June 2018

Tips Untuk Mengelakkan Baby Blues atau Gangguan Emosi Selepas Bersalin

Bismillah...ingin aku ceritakan sedikit pengalaman aku sewaktu mengandung dan melahirkan keempat-keempat orang anakku..pada pendapat aku, seseorang wanita yang mengandung dan melahirkan anak pastinya sedikit sebanyak mengalami baby blues. Tekanan emosi tinggi atau rendah bergantung kepada situasi yang dialami. Banyak faktor yang memainkan peranan terjadinya baby blues ini. Faktor baka, faktor dalaman dan luaran boleh menyebabkan masalah ini berlaku. Beberapa tips ini mungkin sedikit sebanyak boleh membantu ibu-ibu di luar sana untuk terus gigih berusaha mengawal emosi ketika mengandung dan selepas melahirkan anak -anak.

1. Merancang kelahiran anak-anak. Seorang wanita perlukan persediaan rapi untuk mengandung dan melahirkan anak-anak.  Seorang wanita yang lebih bersedia dari segi fizikal dan mental akan melahirkan anak-anak yang stabil dari segi perkembangan fizikal dan emosinya. Perbincangan dari hati ke hati penting untuk suami isteri bersedia menyambut kelahiran anak-anak. Persediaan kewangan sebelum, semasa dan selepas melahirkan boleh memberi ketenangan kepada suami isteri dalam menyambut kelahiran anak-anak.

2. Menjaga Pemakanan Ketika Berpantang. Faktor pemakanan amat penting dijaga ketika tempoh berpantang untuk mengelakkan bentan. Banyakkan memakan sayuran yang boleh dimakan ketika berpantang. Seorang ibu yang sedang berpantang perlu mengawal emosi, makan secara teratur dan perlukan rehat dan tidur yang mencukupi. Minta suami mendodoikan anak jika perlu.

2.  Sokongan emosi daripada ahli keluarga terutama suami amat penting dalam membesarkan anak-anak. Bantuan daripada suami amat diperlukan ketika menguruskan anak-anak yang masih kecil. Suami yang rajin membantu urusan rumahtangga dan gigih mencari rezeki untuk keluarga akan disayangi oleh isteri dan anak-anak. Bapa yang penyayang sangat disayangi oleh anak-anak. Perhatian dan kasih sayang seorang bapa yang menjadi ketua keluarga sangat diperlukan ketika anak-anak sedang membesar. Alhamdulillah, fenomena sekarang aku melihat sebahagian besar yang bergelar bapa sudah tidak malu untuk menolong isteri memasak, membasuh dan menyidai kain, menukar lampin, menjaga anak-anak yang kecil dan sebagainya.

3.  Suami dan isteri perlukan lebih masa untuk bersama. Suami isteri sentiasa perlu berkomunikasi antara satu sama lain. Suami memberikan masa untuk isteri berehat dan memberi 'me time' untuk isteri. Suami yang mengorbankan masa untuk menjaga anak-anak yang kecil sementara isteri berehat boleh menenangkan fizikal dan hati isteri yang sedang keletihan. Urusan rumahtangga tidak boleh dipandang mudah dan enteng.

4. Isteri perlu berterus terang dengan suami apa yang disukai dan tidak disukai. Kadangkala suami tidak memahami kehendak isteri. Isteri perlu menceritakan masalahnya kepada suami. Sedangkan lidah lagi tergigit inikan suami isteri. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Memendam perasaan boleh menyebabkan masalah kemurungan menjadi lebih besar.

5. Suami mesti memberi sokongan yang padu kepada isteri. Isteri yang baik akan menghargai setiap usaha suaminya dalam membahagiakan rumahtangga. Mesti ada give and take..isteri akan lebih bahagia, suami akan lebih mencintai. Insya Allah.

6. Jangan hiraukan fitnah orang lain dalam rumahtangga kita. Kita yang ingin bahagia maka kita sendirilah yang perlu membina bahagia itu bukan orang lain. Kita yang perlu membina benteng dan berusaha memperkukuhkannya. Berdoa banyak-banyak supaya dijauhi daripada fitnah dan kerosakan.

7. Solat berjamaah dan berdoalah sentiasa agar rumahtangga yang dibina bahagia hingga ke syurga. Semoga dijauhkan perkara-perkara yang tidak baik.Insya Allah. Aamiin.

8. Sentiasalah kita semua berusaha membahagiakan rumahtangga dalam sakinah mawaddah wa rahmah. Aamiin.

Semoga tips daripada sebuah pengalaman ini dapat memanfaatkan dan membahagiakan sahabat yang membacanya.

Hasil pengalaman dan nukilan dariku untuk sahabat semua, 
fatihannur Osman

Monday, 18 June 2018

Hanya Orang Yang Merantau Jauh Memahami Perasaan Orang Yang Merantau

Bismillah, alhamdulillah..nasihat ini adalah buat diriku sendiri. Daripada setiap pengalaman demi pengalaman yang aku lalui...aku sangat-sangat bersyukur kepada Ilahi dan berterima kasih kepada mereka yang sudi membantu aku selama berada di perantauan. Sekurang-kurangnya aku tidak merasa betapa sukarnya kehidupan apabila berada di negeri orang. Ketentuan yang Allah suratkan rupanya banyak hikmah yang tersirat. Insya Allah, dalam setiap kesukaran ada kemudahan. Setiap kehidupan yang Allah berikan, rezeki yang dijanjikan Allah untuk setiap hambaNya, bersyukurlah. Sedikit atau banyak, aku belajar erti kesyukuran yang sebenarnya. Alhamdulillah, aku ditarbiyah untuk melihat apa itu sebenarnya kehidupan apabila melihat kehidupan yang sebenarnya terbentang luas di hadapan mataku. Hanya orang yang diberikan peluang oleh Allah untuk merantau jauh akan memahami perasaan orang yang merantau..

Saturday, 16 June 2018

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin..Taqabbalallah Minna Wa Minkum..Taqabbal Ya Karim..

Kami suami isteri memohon kemaafan zahir dan batin kepada mereka yang mengenali kami sekeluarga..dengan merendah diri dan dengan penuh harapan semoga kita semua dalam rahmat Ilahi..






Semoga kita semua berada dalam kebahagiaan dan kesejahteraan hidup dunia dan akhirat..Aamiin.

Friday, 15 June 2018

Apabila Bercakap Bahasa Inggeris dan Orang Tanya Kita " Pandai Ke Bahasa Inggeris?"

Alhamdulillah..syukur masih dalam mood raya. Hari ini raya yang kedua...plan nak pi rumah abang. Ziarah-menziarahi amalan mulia dan sangat dituntut dalam Islam. Eratkan silaturrahim antara kita. 

Di sini aku ingin bercerita sedikit tentang temuduga KPM yang aku lalui untuk mendapatkan cuti belajar bergaji penuh (CBBP) Phd ini. Aku diinterview dalam bahasa melayu. Tetapi satu part aku disuruh bercakap dalam bahasa inggeris. Introduce yourself in english. Alhamdulillah, aku dapat bercakap dengan baik dalam bahasa english walaupun dengan broken grammar. Hehe..dan satu lagi aku ditanya "kalau nak buat pembentangan dalam bahasa inggeris di luar negara macam mana?". Apa yang aku jawab "i can improve my language skills". Setiap soalan yang ditanya oleh penemuduga-penemuduga aku jawab dengan penuh keyakinan tetapi tidak dengan overconfident atau nak show off bahawa aku ni pandai. Aku mak budak baru nak belajar. Satu part yang kelakar..penemuduga suruh aku cakap dalam bahasa arab. Aku boleh bercakap sikit tetapi teragak-agak sebabnya aku tak jangka disuruh bercakap dalam bahasa arab. Sebab dah lama tak mengajar dalam bahasa arab. Kena buka buku balik. Kamus Idris Marbawi tu masa belajar dalam kepala dok hafal masih ingat lagi. Cuma kalau nak cakap kena praktis. Practice makes perfect. Nak bercakap dalam bahasa inggeris very fluent pun sama kena praktis.  

Aku pernah praktis dengan orang Iran masa belajar buat master Kaunseling di UTM. Masa tu aku tak berapa faham sangat research methodology. Jadi aku pun pergi tanya Iranian ni yang agak pandai bab research. Beliau mengajar aku dalam bahasa Inggeris. Aku dapat A subjek ni. Tu rezeki namanya atas usaha dan doa. Sebab aku punya prinsip bila rasa diri tak pandai, pi belajar. Masa belajar di Universiti Malaya dulu pun aku lulus MUET sebab tak pernah putus asa nak belajar. 

Satu lagi cerita aku tentang bahasa inggeris dan bahasa arab ni. Masa tahun 2012, aku pi Mekah menunaikan fardhu haji. Aku pernah menolong seorang makcik ni yang lebih kurang sebaya dengan ibuku. Aku layan mak cik ni macam mak sendiri. Banyak kali aku pi bilik beliau melayan beliau bercakap dan picit-picit badannya. Aku suka sebab beliau suka bercerita tentang pengalaman hidupnya. Sesuatu yang agak menarik.
Aku merasa satu pengalaman yang menarik apabila berada di Makkah. Sebabnya dapat menjadi mutawwif tak bertauliah walaupun tak berapa pandai. Masa tu pergerakan aku agak terhad. Lagi satu kalau bab shopping kat gerai-gerai dan butik orang arab ni. Ada sedikit kelebihan berbahasa arab dan bahasa inggeris, dapatlah rezeki harga murah sikit. Cumanya orang arab yang aku kenal kat Makkah ni, jaranglah nak memberi diskaun yang murah-murah sangat. Lagipun mereka ada yang pandai berbahasa melayu campur indonesia sikit.Itulah serba sedikit pengalaman yang dapat aku kongsikan dalam cabaran berbahasa ini. Minta maaf kalau ada yang terasa terguris sepanjang berbahasa ini. Bukan niat untuk show off tetapi bercerita tentang pengalaman diri yang serba kekurangan ini.

Wednesday, 13 June 2018

Apabila Balik Kampung Untuk Berhari Raya

Apabila sebut je raya dan sinonimnya mesti balik kampung. Jarang je orang beraya di bandar. Aku membayangkan 20 tahun akan datang wujudkah lagi kampung seperti hari ini. Adakah kampung esok hari akan terselit di celah-celah pembangunan fizikal yang pesat. Wujudkah lagi panorama kampung yang indah menggamit diri untuk balik menjenguk kampung sehari dua. Insya Allah , andai pembangunan lestari yang diidamkan dan usaha yang keras daripada Perancang Bandar dan Desa akan wujudlah kampung kontemporari
yang tidak dipinggirkan daripada arus pembangunan.

Berbalik kepada ceriteraku waktu cuti sekolah dan hari raya ni untuk balik ke kampung. Kami suami isteri biasanya akan singgah di Kuantan dahulu. Sebabnya suami akan merasa penat dan mengantuk sementara aku meriba si baby kecil. Masa muda-muda dahulu, biasa suami akan memandu terus sampai ke kampung. Sekarang suamiku dah tua sikit..hehe.. penatnya memandu dah mula terasa. Tambahan pula, anak-anak dah mula bosan duduk dalam kereta lama-lama. Sebelum suami jadi pening lalat, biasanya kami akan singgah di Shahzan Inn atau mana-mana hotel yang berdekatan untuk tidur semalaman.
Syukur alhamdulillah balik beraya kali ini kami merasai satu pengalaman yang cukup indah apabila dapat iftar beramai-ramai di padang depan masjid Sultan Ahmad Shah. Malam ke 27 Ramadhan dapatlah suami dan anak yang sulung mengerjakan solat tarawih di Masjid yang tersergam indah itu
sementara aku menjaga anak-anak yang masih kecil. Semoga puasa dan raya kali ini lebih bermakna buat kita semua dan lebih baik daripada yang sebelumnya..Syukur dapat bersama keluarga besar dan berbuka bersama dengan keluarga di kampung..balik first ni dok rumah mak mentua dan rumah mak. Kampung suami dan kampungku tak jauh. Dekat-dekat je. Ulang alik rumah mak dan mak mentua. Sekejap sana sini..

Tuesday, 12 June 2018

Dahsyatnya Doa Seorang Ibu

Bismillah...syukur Alhamdulillah doa ibuku dimakbulkan Allah SWT..lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini. Mencari ruang dan masa untuk beramal ibadat dalam bulan yang suci ini yang dilipatgandakan pahalanya. Mendirikan solat, berdoa, beriktikaf di masjid, membaca al-Quran, bersedekah dan membuat segala amal kebajikan insya Allah, semoga amalan kita sebagai umat Islam diterima Allah SWT.
Alhamdulillah dalam bulan Ramadhan ini yang sudah hampir sampai ke penghujungnya ini, aku sangat-sangat bersyukur pada Ilahi atas anugerah dan nikmatnya, tidak mampu aku menghitung segala nikmatNya kepada hambaNya ini yang penuh dengan kekurangan dan kekhilafan. Namun dengan kasih sayang dan rahmatNya, tetap memberi dan memberi nikmatNya. Allah SWT Maha Berkuasa dan Maha Pemurah.
Alhamdulillah..aku mendapat perkhabaran yang menggembirakan. Aku dapat cuti belajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Phd tahun 2018 ini dan dalam masa yang sama aku mendapat anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang selama ini tidak pernah aku impikan selama aku berkhidmat sebagai seorang pendidik. Aku tahu aku banyak kelemahan dan banyak perkara lagi yang perlu aku pelajari untuk meningkatkan mutu dan kualiti perkhidmatanku sebagai seorang pegawai perkhidmatan pendidikan. Namun siapa aku untuk menidakkan rezeki ini. Rezeki ini daripada Allah SWT. Dalam kehidupan kita ini, sebagai manusia, kita hanya mampu merancang, berusaha dan berdoa, yang selebihnya Allah yang Maha Memberi segalanya. Kita sebagai manusia tidak boleh menentukan jodoh, ajal maut dan rezeki kerana yang menentukan rezeki kita adalah Allah Yang Maha Berkuasa atas segalanya. Kita diberi pilihan oleh Allah SWT untuk berusaha dan berdoa. Bersyukurlah kepada mereka yang masih ada ibu dan dan bapa. Doa ibu yang baik-baik itu adalah sangat mustajab untuk anak-anaknya. Setiap kali aku pulang ke kampung dan balik semula ke bandar, aku mencium kedua-dua belah pipinya, aku mencium dahinya dan memeluknya erat-erat sambil meminta ibu mendoakan kebahagiaan dan kejayaanku dunia dan akhirat.