Bismillah...syukur Alhamdulillah doa ibuku dimakbulkan Allah SWT..lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini. Mencari ruang dan masa untuk beramal ibadat dalam bulan yang suci ini yang dilipatgandakan pahalanya. Mendirikan solat, berdoa, beriktikaf di masjid, membaca al-Quran, bersedekah dan membuat segala amal kebajikan insya Allah, semoga amalan kita sebagai umat Islam diterima Allah SWT.
Alhamdulillah dalam bulan Ramadhan ini yang sudah hampir sampai ke penghujungnya ini, aku sangat-sangat bersyukur pada Ilahi atas anugerah dan nikmatnya, tidak mampu aku menghitung segala nikmatNya kepada hambaNya ini yang penuh dengan kekurangan dan kekhilafan. Namun dengan kasih sayang dan rahmatNya, tetap memberi dan memberi nikmatNya. Allah SWT Maha Berkuasa dan Maha Pemurah.
Alhamdulillah..aku mendapat perkhabaran yang menggembirakan. Aku dapat cuti belajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Phd tahun 2018 ini dan dalam masa yang sama aku mendapat anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang selama ini tidak pernah aku impikan selama aku berkhidmat sebagai seorang pendidik. Aku tahu aku banyak kelemahan dan banyak perkara lagi yang perlu aku pelajari untuk meningkatkan mutu dan kualiti perkhidmatanku sebagai seorang pegawai perkhidmatan pendidikan. Namun siapa aku untuk menidakkan rezeki ini. Rezeki ini daripada Allah SWT. Dalam kehidupan kita ini, sebagai manusia, kita hanya mampu merancang, berusaha dan berdoa, yang selebihnya Allah yang Maha Memberi segalanya. Kita sebagai manusia tidak boleh menentukan jodoh, ajal maut dan rezeki kerana yang menentukan rezeki kita adalah Allah Yang Maha Berkuasa atas segalanya. Kita diberi pilihan oleh Allah SWT untuk berusaha dan berdoa. Bersyukurlah kepada mereka yang masih ada ibu dan dan bapa. Doa ibu yang baik-baik itu adalah sangat mustajab untuk anak-anaknya. Setiap kali aku pulang ke kampung dan balik semula ke bandar, aku mencium kedua-dua belah pipinya, aku mencium dahinya dan memeluknya erat-erat sambil meminta ibu mendoakan kebahagiaan dan kejayaanku dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment