Wednesday, 30 January 2019

MANFAATKAN MASA DAN NIKMAT KESIHATAN ANUGERAH ILAHI


Banyak perkara yang berlalu memberi manfaat dan semoga dijauhkan daripada perkara yang sia-sia..manfaatkan lima perkara sebelum datang lima perkara. Antara perkara yang berharga adalah nikmat kesihatan. Syukur alhamdulillah dapat memberi manfaat kesihatan kepada diri dan orang lain terutama suami dan anak-anak. Dapat meluangkan masa melakukan aktiviti-aktiviti seharian bersama keluarga, memasak untuk suami dan anak-anak yang masih kecil pulang dari sekolah, mengambil anak-anak di taska dan sekolah, menguruskan mereka dengan sesempurna yang boleh mengikut kemampuan yang Allah SWT kurniakan. Nikmat kesihatan ini seandainya dikira jauh lebih berharga dengan harta kekayaan. Nikmat sihat sebelum sakit ini andai dapat dipergunakan dan dimanfaatkan sebaik mungkin, betapa bersyukurnya.  Yang paling penting kita sentiasa berusaha untuk menjaga kesihatan semaksimum yang mungkin.  Bersenam, berjoging, memakan ulam-ulaman merupakan antara yang menjadi kegemaran dan aktiviti seharian aku selama ini. Syukur juga aku dididik oleh ibu untuk menggemari pemakanan yang sihat seperti ini. Alhamdulillah, aku perturunkan ilmu ini kepada anak-anakku. Semoga Allah melindungi mereka dan dijauhkan daripada sebarang penyakit merbahaya..insya Allah..aku hanya mampu berdoa dan berusaha.
Saat ini juga aku bersyukur  Allah SWT memberi peluang untuk menimba ilmu tanpa mengabaikan suami dan anak-anak. Setakat ini aku tidak pernah meninggalkan mereka untuk jangka waktu yang lama. Sebenarnya aku tak betah meninggalkan mereka. Paling lama pun seminggu itu pun kalau ada beberapa perkara yang penting seperti kursus di tempat yang jauh. Nak jumpa SV pun jauh. Alhamdulillah ada banyak alat teknologi memudahkan komunikasi. Tak sanggup rasanya nak tinggalkan  Adik Faris lama-lama. Adik Faris masih lagi menyusu badan. Kesian pulak nak tinggal lama-lama. Anak-anak merupakan kekuatan seorang ibu untuk meneruskan perjuangan menuntut Ilmu dan juga dalam kehidupan. Harapnya semoga ia menjadi contoh tauladan untuk anak-anak meneruskan kesinambungan perjuangan dan gigih menuntut ilmu. …jadi, umi dan abah kena menunjukkan contoh yang baik untuk anak-anak dan juga anak-anak didik bahawa ilmu ini sangat penting untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.


Di Daerah yang terasing ini aku masih lagi dalam tempoh menyesuaikan diri dengan tempat dan suasana. Pada pandangan aku, tempat ni agak best jugak sebab pemandangannya cantik dan udaranya segar sekali. Bandar yang semakin membangun dikelilingi gunung ganang yang terletak indah. Setiap hari keluar rumah dapat je tengok gunung ganang yang pemandangannya hijau terbentang luas di depan mata. Melihat pemandangan yang indah, hijau, bersih, cantik ni dengan udara yang segar, kabus yang tebal terasa betapa sempurnanya ciptaan Allah SWT. Sesekali terdengar unggas dan burung berkicauan. Alangkah indahnya hati, mata dan telinga yang mendengar. Syukur manfaat fikir dan zikir dalam kehidupan menghargai alam sekitar ciptaan Allah SWT. Melihat dan merenung dengan mata hati betapa agungnya kekuasaan Allah SWT, merasa betapa kerdilnya diri ini di sisi Allah SWT Yang Maha Esa.  Aku hayati tafsir al-Quran surah Ar-Rum :

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu, dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berpengetahuan. (surah Ar-Rum : Ayat 22)



Terasa bahagia dan lapangnya jiwa. Jiwa tenang, hati pun senang. Lebih mudah apabila melakukan kerja dan belajar dengan menuntut ilmu dengan hati yang tenang.  Semoga rahmat Allah SWT sentiasa melindungi. Dalam kesunyian daripada kesibukan kota, pastinya terselit rahmat dan nikmat kesihatan melihat alam yang terbentang. Namun kebahagiaan ini tidak sama jika berada di tempat sendiri tetapi tempat ni sangat bagus untuk mereka yang berjiwa sederhana seperti aku ni..hehe…aku tak suka sangat kesibukan kota dan tidak terpencil sangat duduk di pedalaman. Sama seperti kampungku yang sangat cantik dengan pemandangan yang memukau mata hati. Sungguh Indah dan terasa damai di hati. Tempat ini juga tidaklah terlalu jauh. Lebih kurang tiga jam lamanya memandu. Kalau nak berulang alik ke kampungku, rasanya tak mampu nak berulang alik setiap hari. Sesekali dapat menziarahi ibu bapa juga satu rezeki dan kewajipan untuk kami sekeluarga. Semoga Allah SWT memelihara kesihatan mereka dengan baik. Tenanglah si anak jika ibu bapanya sihat walafiat.  Jauh kami tersadai di tempat orang tetapi hikmahnya banyak sekali. Jauh kami kerana berkhidmat sebagai pendidik. 17 tahun berkhidmat di negeri orang, barulah suami dapat pindah juga satu hikmah. Kami bersyukur sebab orang lain lebih lagi nak balik setelah berpuluh tahun di negeri orang. Rezeki dapat balik kampung juga satu kesyukuran sekian lama berada di tempat orang mengharungi suka duka hidup bersama suami dan anak-anak. Selama mana di tempat orang, itulah yang dinamakan pengalaman berhijrah di tempat orang. Banyak hikmahnya apabila berada di tempat orang. Mengenali budaya orang lain pastinya memberikan kita kefahaman yang lebih baik dan menghormati budaya orang lain dalam menghargai budaya di tempat sendiri.. lain orang lain caranya, inikan budaya orang, pasti lain dengan budaya di tempat sendiri..begitulah ceritanya hijrah kami…Inilah yang dinamakan pengalaman. Banyak pengalaman ke sana sini kot rasanya banyak idea aku nak tulis…banyak cerita ingin dirakamkan untuk tatapan anak-anakku dan anak-anak didikku sebagai pengajaran bahawa kita ni sebagai khalifah di muka bumi ini. Hidup hanyalah sementara, manfaatkan waktu yang ada..insya Allah.

Wednesday, 16 January 2019

Ujian Hanya Sementara

Ujian Hanya Sementara, Sesungguhnya Dalam Kesukaran Ada Kemudahan


Ujian Hanya lah Sementara…..
Umi pernah waktu beberapa tahun lepas cakap pada abah, umi nak berhenti kerja sewaktu Fateh diserang penyakit kulit yang kronik. Umi hampir nak ambik borang berhenti kerja di pejabat sebab tak tahan tengok dan jaga Fateh sakit. Abah bersetuju tetapi Umi fikir banyak kali. Umi cuba bertahan dan bertahan menahan perasaan setiap kali Fateh diserang penyakit ini. Kesian Fateh masa tu. Umi dan Abah banyak berkorban daripada segi wang, masa, dan tenaga untuk merawat penyakit Fateh. Bingung seketika merenung nasib diri. Fikiran menjadi buntu, hati menjadi keliru. Tetapi semua itu tidak mematahkan semangat Umi dan abah untuk merawat penyakit Fateh. Kolam Air mata sudah hampir kering, hanya tinggal ketabahan dan kesabaran yang ada. Terkadang seharian tidak mampu memberi fokus kepada apa yang dijalani di hadapan tetapi tetap teruskan jua perjalanan itu. Kalau nak cerita bab duit, hampir kekeringan duit simpanan Umi dan abah untuk mencari rawatan yang terbaik di klinik pakar kulit dan berulang alik ke hospital Sultanah Aminah untuk membuat temu janji dan mendapatkan rawatan doktor pakar. Hari berganti hari, Umi dan Abah terpaksa menahan perasaan melihat keadaan Fateh. Nak memohon simpati, tetapi kepada siapa nak dimohonkan simpati itu melainkan kita menangis dan mengadu kepada Yang Maha Esa supaya Allah mempermudahkan segalanya. Bukan senang nak melalui keadaan itu tambahan pula Umi dan Abah pergi mengajar selepas subuh dah gerak, balik dah hampir senja sebab tempat Umi mengajar dan Abah mengajar dua-dua jauh dan mengajar masa tu ikut waktu pejabat . Syukurlah pengasuh Fateh dan guru-guru di tadika Fateh faham penyakit yang menimpa Fateh. Lega juga masa tu. Allah SWT menghantarkan orang-orang yang baik untuk membantu umi dan  abah. Alhamdulillah, banyak juga yang umi pelajari selepas itu. Hikmah yang dapat diteladani daripada ujian penyakit Fateh. Mungkin itu juga asbab abah dapat pindah balik Kelantan dan Umi juga dapat cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa. Semuanya dalam kekuasaan Allah SWT. Segalanya rezeki Ilahi. Hampir 17 tahun lamanya abah mintak pindah dan masa Fateh sakit kulit kronik tu,  semakin kerap abah isi borang pindah dan kami sekeluarga berulang-alik ke Putrajaya, KPM menghantar sendiri borang itu sama ada berpanas berhujan dalam kereta ulang alik ke Putrajaya. Alhamdulillah, apapun, semua ujian ada hikmah di sebaliknya. Allah SWT beri kita kesusahan tak selamanya. Pasti ada kesenangan yang menunggu kita di kemudian hari.  Satu yang umi pegang,  seandainya kita rasa susah, tengoklah orang yang di bawah ramai lagi yang lebih susah daripada kita. Umi pelajari itu sewaktu Umi di Johor, melihat orang lain yang tabah menghadapi kesukaran hidup, apatah lagi hanya sedikit Ujian yang Allah berikan pada Umi untuk terus bersabar. Susah kita tak sama dengan susah orang lain. Bentuk ujian itu berbeza setiap orang.  Biarlah apa persepsi orang pada kita, tetapi kita yang melaluinya memahami segalanya. Dalam ayat al-Quran surah Asy-Syarh Ayat 6 : “ Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan”. Benarlah janji Allah SWT, setiap kesusahan ada kemudahan. Semoga menjadi pengajaran yang berguna untuk kita. Susah dan senang kita tetap bersabar menahan segalanya. Semoga Allah SWT sentiasa menghadiahkan ketabahan dalam sakinah mawaddah wa rahmah dalam kehidupan kita. Terima kasih suamiku kerana memahami diri ini..insyaAllah.. alhamdulillah atas nikmat-Mu Ya Allah.…Aamiin.

Tuesday, 8 January 2019

Terima kasih kepada yang menyayangi dan juga yang menjatuhkan


Terima Kasih kepada orang yang menjatuhkan kita kerana kalau tiada orang yang menjatuhkan kita, maka kita sendiri yang tidak bangun-bangun. Terus terlena dibuai mimpi yang indah-indah. Rasa malas dan mudah menghantui hidup kita. Di saat orang menjatuhkan kita, ada orang yang baik-baik sentiasa mendoakan kita atas asbab kebaikan yang ikhlas kita lakukan kepada mereka. Kita tidak tahu, siapa, bila, dan di mana. Doa orang-orang yang baik mustajab buat kita. Seandainya tiada yang menjatuhkan kita, tidak mungkin kita berada di tempat kita sekarang. Terima kasih dan bersyukur kepada Ilahi. Tanpa ada motivasi dalaman yang tinggi, kita akan terus tertidur enak dan berada di takuk yang lama tanpa ada usaha. Duduk bersandar kenyang tanpa melakukan sesuatu untuk membuatkan kita maju ke hadapan. Bangkitlah dan maralah ke hadapan!. Duduk diam tidak akan menjanjikan apa-apa. Jika zikir, fikir, amal soleh itulah yang terbaik. Semoga setiap usaha dipermudahkan. Insya Allah..Aamiin.