Wednesday, 16 January 2019

Ujian Hanya Sementara

Ujian Hanya Sementara, Sesungguhnya Dalam Kesukaran Ada Kemudahan


Ujian Hanya lah Sementara…..
Umi pernah waktu beberapa tahun lepas cakap pada abah, umi nak berhenti kerja sewaktu Fateh diserang penyakit kulit yang kronik. Umi hampir nak ambik borang berhenti kerja di pejabat sebab tak tahan tengok dan jaga Fateh sakit. Abah bersetuju tetapi Umi fikir banyak kali. Umi cuba bertahan dan bertahan menahan perasaan setiap kali Fateh diserang penyakit ini. Kesian Fateh masa tu. Umi dan Abah banyak berkorban daripada segi wang, masa, dan tenaga untuk merawat penyakit Fateh. Bingung seketika merenung nasib diri. Fikiran menjadi buntu, hati menjadi keliru. Tetapi semua itu tidak mematahkan semangat Umi dan abah untuk merawat penyakit Fateh. Kolam Air mata sudah hampir kering, hanya tinggal ketabahan dan kesabaran yang ada. Terkadang seharian tidak mampu memberi fokus kepada apa yang dijalani di hadapan tetapi tetap teruskan jua perjalanan itu. Kalau nak cerita bab duit, hampir kekeringan duit simpanan Umi dan abah untuk mencari rawatan yang terbaik di klinik pakar kulit dan berulang alik ke hospital Sultanah Aminah untuk membuat temu janji dan mendapatkan rawatan doktor pakar. Hari berganti hari, Umi dan Abah terpaksa menahan perasaan melihat keadaan Fateh. Nak memohon simpati, tetapi kepada siapa nak dimohonkan simpati itu melainkan kita menangis dan mengadu kepada Yang Maha Esa supaya Allah mempermudahkan segalanya. Bukan senang nak melalui keadaan itu tambahan pula Umi dan Abah pergi mengajar selepas subuh dah gerak, balik dah hampir senja sebab tempat Umi mengajar dan Abah mengajar dua-dua jauh dan mengajar masa tu ikut waktu pejabat . Syukurlah pengasuh Fateh dan guru-guru di tadika Fateh faham penyakit yang menimpa Fateh. Lega juga masa tu. Allah SWT menghantarkan orang-orang yang baik untuk membantu umi dan  abah. Alhamdulillah, banyak juga yang umi pelajari selepas itu. Hikmah yang dapat diteladani daripada ujian penyakit Fateh. Mungkin itu juga asbab abah dapat pindah balik Kelantan dan Umi juga dapat cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa. Semuanya dalam kekuasaan Allah SWT. Segalanya rezeki Ilahi. Hampir 17 tahun lamanya abah mintak pindah dan masa Fateh sakit kulit kronik tu,  semakin kerap abah isi borang pindah dan kami sekeluarga berulang-alik ke Putrajaya, KPM menghantar sendiri borang itu sama ada berpanas berhujan dalam kereta ulang alik ke Putrajaya. Alhamdulillah, apapun, semua ujian ada hikmah di sebaliknya. Allah SWT beri kita kesusahan tak selamanya. Pasti ada kesenangan yang menunggu kita di kemudian hari.  Satu yang umi pegang,  seandainya kita rasa susah, tengoklah orang yang di bawah ramai lagi yang lebih susah daripada kita. Umi pelajari itu sewaktu Umi di Johor, melihat orang lain yang tabah menghadapi kesukaran hidup, apatah lagi hanya sedikit Ujian yang Allah berikan pada Umi untuk terus bersabar. Susah kita tak sama dengan susah orang lain. Bentuk ujian itu berbeza setiap orang.  Biarlah apa persepsi orang pada kita, tetapi kita yang melaluinya memahami segalanya. Dalam ayat al-Quran surah Asy-Syarh Ayat 6 : “ Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan”. Benarlah janji Allah SWT, setiap kesusahan ada kemudahan. Semoga menjadi pengajaran yang berguna untuk kita. Susah dan senang kita tetap bersabar menahan segalanya. Semoga Allah SWT sentiasa menghadiahkan ketabahan dalam sakinah mawaddah wa rahmah dalam kehidupan kita. Terima kasih suamiku kerana memahami diri ini..insyaAllah.. alhamdulillah atas nikmat-Mu Ya Allah.…Aamiin.

No comments: