Wednesday, 20 June 2018

Tips Untuk Mengelakkan Baby Blues atau Gangguan Emosi Selepas Bersalin

Bismillah...ingin aku ceritakan sedikit pengalaman aku sewaktu mengandung dan melahirkan keempat-keempat orang anakku..pada pendapat aku, seseorang wanita yang mengandung dan melahirkan anak pastinya sedikit sebanyak mengalami baby blues. Tekanan emosi tinggi atau rendah bergantung kepada situasi yang dialami. Banyak faktor yang memainkan peranan terjadinya baby blues ini. Faktor baka, faktor dalaman dan luaran boleh menyebabkan masalah ini berlaku. Beberapa tips ini mungkin sedikit sebanyak boleh membantu ibu-ibu di luar sana untuk terus gigih berusaha mengawal emosi ketika mengandung dan selepas melahirkan anak -anak.

1. Merancang kelahiran anak-anak. Seorang wanita perlukan persediaan rapi untuk mengandung dan melahirkan anak-anak.  Seorang wanita yang lebih bersedia dari segi fizikal dan mental akan melahirkan anak-anak yang stabil dari segi perkembangan fizikal dan emosinya. Perbincangan dari hati ke hati penting untuk suami isteri bersedia menyambut kelahiran anak-anak. Persediaan kewangan sebelum, semasa dan selepas melahirkan boleh memberi ketenangan kepada suami isteri dalam menyambut kelahiran anak-anak.

2. Menjaga Pemakanan Ketika Berpantang. Faktor pemakanan amat penting dijaga ketika tempoh berpantang untuk mengelakkan bentan. Banyakkan memakan sayuran yang boleh dimakan ketika berpantang. Seorang ibu yang sedang berpantang perlu mengawal emosi, makan secara teratur dan perlukan rehat dan tidur yang mencukupi. Minta suami mendodoikan anak jika perlu.

2.  Sokongan emosi daripada ahli keluarga terutama suami amat penting dalam membesarkan anak-anak. Bantuan daripada suami amat diperlukan ketika menguruskan anak-anak yang masih kecil. Suami yang rajin membantu urusan rumahtangga dan gigih mencari rezeki untuk keluarga akan disayangi oleh isteri dan anak-anak. Bapa yang penyayang sangat disayangi oleh anak-anak. Perhatian dan kasih sayang seorang bapa yang menjadi ketua keluarga sangat diperlukan ketika anak-anak sedang membesar. Alhamdulillah, fenomena sekarang aku melihat sebahagian besar yang bergelar bapa sudah tidak malu untuk menolong isteri memasak, membasuh dan menyidai kain, menukar lampin, menjaga anak-anak yang kecil dan sebagainya.

3.  Suami dan isteri perlukan lebih masa untuk bersama. Suami isteri sentiasa perlu berkomunikasi antara satu sama lain. Suami memberikan masa untuk isteri berehat dan memberi 'me time' untuk isteri. Suami yang mengorbankan masa untuk menjaga anak-anak yang kecil sementara isteri berehat boleh menenangkan fizikal dan hati isteri yang sedang keletihan. Urusan rumahtangga tidak boleh dipandang mudah dan enteng.

4. Isteri perlu berterus terang dengan suami apa yang disukai dan tidak disukai. Kadangkala suami tidak memahami kehendak isteri. Isteri perlu menceritakan masalahnya kepada suami. Sedangkan lidah lagi tergigit inikan suami isteri. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Memendam perasaan boleh menyebabkan masalah kemurungan menjadi lebih besar.

5. Suami mesti memberi sokongan yang padu kepada isteri. Isteri yang baik akan menghargai setiap usaha suaminya dalam membahagiakan rumahtangga. Mesti ada give and take..isteri akan lebih bahagia, suami akan lebih mencintai. Insya Allah.

6. Jangan hiraukan fitnah orang lain dalam rumahtangga kita. Kita yang ingin bahagia maka kita sendirilah yang perlu membina bahagia itu bukan orang lain. Kita yang perlu membina benteng dan berusaha memperkukuhkannya. Berdoa banyak-banyak supaya dijauhi daripada fitnah dan kerosakan.

7. Solat berjamaah dan berdoalah sentiasa agar rumahtangga yang dibina bahagia hingga ke syurga. Semoga dijauhkan perkara-perkara yang tidak baik.Insya Allah. Aamiin.

8. Sentiasalah kita semua berusaha membahagiakan rumahtangga dalam sakinah mawaddah wa rahmah. Aamiin.

Semoga tips daripada sebuah pengalaman ini dapat memanfaatkan dan membahagiakan sahabat yang membacanya.

Hasil pengalaman dan nukilan dariku untuk sahabat semua, 
fatihannur Osman

No comments: