Friday, 11 May 2018

Merintihlah pada Allah SWT saat susah dan senang

Redha Ibu dan restu suami aku harapkan semoga apa yang Allah SWT berikan dan rezekikan  adalah suatu kelebihan yang dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Teringat saat Al-Fateh sakit masa tu. Banyak yang terpaksa dikorbankan namun memujuk diri itu perlu supaya hati dan jiwa terus kuat menghadapinya. Kesakitan Al-Fateh membuatkan aku jatuh sakit, setiap hari hampir rebah, menangis tidak keruan. Aku dan suami korbankan segalanya untuk Al-Fateh. Wang ringgit, masa, peluang dan apa yang didepan diharungi tanpa henti. Masa tu juga aku hampir berhenti kerja. Serba tak kena. Hanya orang yang pernah merasainya akan merasa sakit itu andai dirasai dengan mata hati.

Terasa terpinggir, tidak berguna, hati susah tetapi hati yang kuat itu datangnya daripada belas kasihan Allah SWT. Masa susah tu satu aku ingat, andai aku susah, ramai lagi yang lebih susah. Menunduk melihat rumput di bumi lebih indah daripada menongkat dan melihat ke langit yang tinggi. Suami memujuk aku saban waktu dan walau terkadang bukan semua saat beliau memahami tetapi beliau tetap ada di sisi untuk memberikan waktu merawat anak yang sedang sakit walau beliau sendiri jatuh sakit juga akhirnya. Kami semua sama-sama rasa sakit pada masa tu.

Pada saat susah tu, rintihan demi rintihan tetapi Allah SWT Maha Mendengar jua. Alhamdulillah segalanya sudah berlalu. Kesusahan yang sedikit itu aku anggap sebagai ujian untuk mematangkan diri. Aku bersyukur pada Ilahi dengan rezeki kerjaya itu juga yang dianugerahkan kepada kami suami isteri itu , serba sedikit dapat merawat anak kami tanpa bergantung dan merintih pada orang lain. Berkat kerjaya yang direzekikan Allah SWT kami menempuhi hidup bersama. Susah dan payah diharungi berdua bersama anak-anak. Cinta dan kasih sayangmu itu sangat aku hargai sebagai seorang isteri.  Tidak semua orang mahu mendengar rintihan kita. Betapa sukarnya hidup merintih. Merintih pada Allah SWT itulah yang lebih hakiki dan pendengaran Allah SWT Maha Agung. Kerjayaku ini adalah restu suami dan redha ibuku. Terima kasih sayang kerana mengambil cuti rehat hanya untuk menemaniku dan ibuku kerana mendoakanku saban waktu. Terima kasih ibuku kerana banyak menasihatiku setiap kali pulang ke kampung. Nasihatmu aku jadikan pedoman melalui hari-hari yang penuh bermakna. Aamiin.

No comments: