Alhamdulillah, bersyukur saat sehingga hari ini Ummi diberi ruang dan peluang untuk menulis. Menulis memberikan Ummi ruang untuk bercerita tentang sedikit ilmu, pengalaman, kemahiran dan nilai yang Ummi pelajari saban hari dan waktu. Pengalaman adalah guru yang terbaik mengajar Ummi tentang sesebuah kehidupan.
Saat hari ini Ummi memahami bahawa apa yang berlaku semalam, hari ini dan akan datang pastinya mempunyai seribu satu hikmah untuk dijadikan ikhtibar dan peluang untuk mengislahkan diri yang banyak kekurangan dan kekhilafan. Tiada yang sempurna dalam dunia yang fana ini.
Ummi dan abah berpengalaman berpindah randah daripada satu Daerah ke Daerah yang lain di negeri orang, dan satu negeri ke negeri yang lain dari sejak zaman Ummi dan abah belajar di Universiti lagi. Ummi dan abah tidak pernah duduk diam di tempat sendiri. 14 tahun mencari ilmu, pengalaman, kemahiran dan nilai dalam dunia kerjaya di tempat orang banyak mengajar Ummi tentang hakikat kehidupan yang sebenarnya. Banyak ragam dan orang yang Ummi jumpa. Banyak perkara juga yang Ummi boleh teladani. Semakin lama semakin Ummi faham kenapa Ummi kena belajar dan terus belajar. Ada yang berkata...senang belajar ni tanpa diri sendiri melalui alam pembelajaran sebenarnya...cubalah belajar dan merasai keperitan mencari ilmu. Barulah merasa dunia dalam mencari ilmu sebenarnya. Seandainya setiap hari kita berada di zon selesa, kita tak akan merasa dunia mencari ilmu hari ini yang penuh dengan cabaran dengan kecanggihan teknologi maklumat. Semua maklumat di hujung jari. Ada banyak maklumat benar dan palsu. Bagaimana kita menyaringnya?. Dengan ilmu dan hikmah. Itulah jawapan yang sebenarnya dalam pencarian ini.
Ummi tak banyak ilmu sebab itu Ummi pergi mencari ilmu. Nikmat mencari ilmu itu berbeza. Banyak pergorbanan yang perlu kita lalui. Namun, seandainya jiwa tidak kental, Ummi akan rasa kecundang pada permulaannya dan tiada menemui pengakhiran, terus teraba-raba dalam kegelapan. Jadi, Ummi kena mencari ilmu, Apabila Ummi cari ilmu, Ummi rasa betapa banyaknya yang Ummi tidak tahu. Banyak lagi yang Ummi kena belajar dan terus keluar daripada zon selesa itu. Ummi kena kuatkan hati. Buat semuanya kerana Allah SWT.
Pengalaman Ummi dalam hidup ini dan merantau mencari ilmu dengan belajar dan bekerja di tempat orang ,banyak memberi Ummi ilmu, kemahiran dan nilai-nilai yang Ummi terus pelajari hingga hari ini. Ummi bersyukur diberi pengalaman seperti ini. Hikmah merantau ni banyak sebenarnya. Ummi tidak ingin ibarat air yang bertakung. Air yang bertakung akan terus membusuk akhirnya jika duduk diam di tempatnya dan air yang jernih akan mengalir deras sampai ke tempat tujuannya. Ada semangat keberanian dan jiwa kental di situ. Dengan merantau dan tinggal di Daerah dan Negeri orang baru kita akan kenal budaya dan tempat orang yang sangat berbeza dengan budaya kita. Lain orang lain tempatnya. Pengalaman kehidupan dan cara pembawaan diri mereka juga sangat berbeza. Di situlah Ummi mengenal perbezaan dan meraikan perbezaan itu apabila pergi ke tempat mereka. Setiap hari Ummi belajar mengenai mereka dan tahu sendiri sebenarnya cara pemikiran mereka. Dan anak-anakku dan anak-anak didikku, seandainya ada yang terbaca tentang coretan Ummi ini, secara tersiratnya, akan memahami segala-galanya, tidak perlu Ummi jelaskan satu-persatu. Insya Allah apabila tiba masa dan waktunya awak semua merantau dan pergi tempat orang baru rasa segala-galanya. Ada suka dan duka mewarnai hidup kita. Itulah yang menjadikan hidup kita lebih bermakna. Hanya orang yang pernah merantau akan memahami perasaan orang merantau.

No comments:
Post a Comment