Tuesday, 9 January 2018

SEDERHANA ITU BAHAGIA


SEDERHANA ITU BAHAGIA

Bahagia itu milik kita semua. Saat syukur itu merantai diri maka bahagialah  hati. Ingin menempuh bahagia, jalan penuh liku haruslah ditempuhi. Sucikanlah hati dengan solat fardhu dan solat sunat.  Bersihkanlah fizikal kita dengan berbuat baik dengan sesama manusia.  Sarungkanlah kedua-dua belah tangan kita dengan gelang sedekah dan jari-jemari kita dengan ikatan silaturrahim yang suci. Insya Allah, kelak kita akan temui segunung permata ketenangan dan kebahagiaan. Walau sukar jalannya, tempuhilah satu-satu demi kelangsungan hidup. Carilah bahagia dalam segenap sudut kehidupan. Walau sesukar mana pasti ada jalannya. Jalan yang lurus adalah mendekatkan diri kepada Yang Maha Mencipta.

Hiduplah dengan bahagia dan tenang. Untuk mencapai bahagia, kita tidak perlu meraih segalanya dalam hidup, cukup sekadar hati yang tenang dan jiwa yang bahagia. Pasti Allah S.W.T kurniakan kita dengan berbagai-bagai nikmat yang melimpah. Lihatlah apa yang kita miliki pada hari ini dan ketika ini. Merenung sedalam-dalamnya pasti kita menemui Allah S.W.T telah mengurniakan pelbagai nikmat yang tidak terjangkau dek akal fikiran. Bersyukur selalu dan ucaplah Alhamdulillah atas segala nikmat Ilahi. Syukur selalu dengan sederhana dalam segalanya. In Sya Allah. Aamin. Sebagaimana firman Allah swt:

 

Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian”.. ( Al Furqaan: 67)

 

Wednesday, 22 November 2017

SEMOGA PENULISAN INI BERMANFAAT UNTUK SEMUA


Tulislah yang baik-baik dan bermanfaat untuk semua manusia. Minat yang mendalam dalam bidang penulisan ini tidak akan berhenti dan semoga menjadi satu inspirasi untukku dan sahabat semua. Seandainya tulisanku menjadi bahan sumber bacaan kepada orang lain yang membaca dan mampu memberi impak yang positif ke arah yang kebaikan, Itulah yang terbaik. Ambil yang baik-baik, buangkanlah yang buruk-buruk daripada tulisanku. Semoga menjadi saham akhirat untukku dan keluargaku. Satu sumber inspirasi yang aku petik daripada kata-kata : Imam Al-Ghazali - Kalau kamu bukan anak raja dan engkau bukan anak ulama besar, maka jadilah penulis. (Imam Al-Ghazali). Semua orang akan mati kecuali karyanya, maka tulislah sesuatu yang akan membahagiakan dirimu di akhirat kelak. (Ali bin Abi Thalib). Ikatlah ilmu dengan menulis. (Ali Bin Abi Thalib). Kalau ada salah silap dalam penulisan ini, tegurlah dengan baik agar ianya hanya diisi dengan ilmu yang bermanfaat.

 

Thursday, 2 November 2017

PERIBADI


 

Bacalah buku Prof. Dr. Hamka bertajuk “Peribadi”. Saat aku tercari-cari arah diri, apa yang baik ingin aku teladani dan terinspirasi. Aku terjumpa sebuah buku “ peribadi”. Aku ingin mengenali diriku sendiri. Syukur Allah S.W.T pertemukan aku dengan sebuah buku yang mampu mengubah daya pemikiran, menguatkan peribadi dan memperhalus perasaan. Aku tidak ingin menilai orang tetapi ingin mengenali kelemahan diri sendiri. Kata Hamka “ Untuk memikul kewajipan hingga tidak ada yang berat, jiwa itu sendiri harus tinggi darjatnya. Jika sempit tempat engkau di alam yang kacau balau ini, tingkatlah awan dan naiklah ke bintang. Turun balik dan lakukan kewajipan. Setengah dari tangga untuk naik ke atas itu, cinta kepada yang indah, yang molek! Tuhan yang indah dan suka kepada keindahan. Muzik yang tinggi, syair yang tinggi adalah rumus dan tanda adanya Zat Yang Maha Tinggi.


Diperhalus jiwa dengan bacaan yang bermanfaat dengan tasawuf, dengan falsafah, dengan ciptaan ahli seni. Bertambah halus perasaan, bertambah tampaklah kewajipan kita dalam hidup (Hamka, 2017).

Semoga bacaan ini meningkatkan ketinggian pemikiran, kehalusan perasaan dan menenangkan jiwa kita dalam mencari haluan hidup dunia dan akhirat.

 

Rujukan :


1. Prof. Dr. Hamka (2017). Peribadi. Selangor:  PTS Publishing House.

 

 

Tuesday, 3 October 2017

Penyakit kulit Ekzema Aktopik


Alhamdulillah cerita beberapa hari yang lepas, kulit Al Fateh bersisik dan melepuh. Al Fateh kerap menggaru-garu kulitnya sampai berdarah. Maka bertambah risau dan meruntunlah hatiku melihat keadaannya. Maka kami suami isteri bersepakat ntuk mendapatkan rawatan di Klinik Dr Ko specialist..bimbang juga aku sebenarnya takut klinik ini mengenakan bayaran yang mahal mencecah ribuan ringgit tetapi semasa membuat pembayaran di kaunter klinik alhamdulillah harganya rm 300.00. Nasib baik cukup wang kami bawa untuk ke klinik ini.  Aku kongsi sedikit nasihat Doktor :
1. Banyakkan memakan sayuran dan buah-buahan untuk meningkatkan sistem imunisasi. Syukur Al Fateh penggemar sayur  lobak merah dan buah pisang.
           
2. Banyakkan memakan Vitamin E dan C, Omega 3 dan minyak zaitun..aloe vera juga sangat bagus untuk kesihatan kulit.

3.Yang ni aku amalkan setiap kali merawat kulitnya yang bermasalah dan menyapu ubat iaitu doa syifa dan hasbunallah wanikmal wakil wanikmal maula wanikmal nasir(bahasa arab).

Alhamdulillah kesihatan Al Fateh bertambah baik dengan izin Allah jua penyakit ekzemanya semakin hari berkurangan tetapi aku tidak boleh terlalu berharap cuma mampu berdoa agar penyakit Al Fateh cepat sembuh..terima kasih juga sahabatku kerana memberi dan memperkenalkan minyak zaitun tu  kepadaku. Al Fateh anak yang baik dan petah berkata kata. Hatiku selalu bahagia dan sejuk jiwa mendengar celotehnya...Semoga cepat sembuh ya sayang..Ummi sentiasa mendoakan yang terbaik..sayangku Al Fateh.



Friday, 29 September 2017

Sabarlah,wahai hati..sabar itu Indah. Senyum dan berdoalah..Ya Allah kurniakan kami kesabaran dan ketenangan...

Assalamualaikum dan salam ceria..semoga hari yang kita lalui penuh dengan kesabaran dan ketenangan...
Ujian dan dan dugaan yang kita lalui berbeza antara kita semua namun semoga ujian dan dugaan membuatkan kita semakin matang dan tabah menghadapinya. Ceria-ceria selalu, jangan bersedih..pasti ada pelangi indah yang Allah S.W.T hadiahkan selepas hujan..
Aku ingin kongsikan sedikit tentang cerita tentang anakku Al Fateh...Al Fateh menghidapi sejenis penyakit kulit yang kronik, Ekzema Aktopik. Buat masa ini, Al Fateh bergantung kepada ubat yang dibekalkan oleh hospital atas nasihat Doktor sahaja. Kebiasaan penyakit ekzema ni bermusim dan on off. Kadang stabil dan kadang tak stabil tetapi penyakit Al Fateh ni menyerang banyak masa kulitnya tak stabil dan kronik.
Pelbagai usaha yang dilakukan daripada berubat kampung, homoepati, ubatan natural healing sehinggalah ke hospital dan klinik pakar kulit. Semuanya kami cuba untuk menyembuhkan penyakit Al Fateh. Penyakit Al Fateh banyak menguji kesabaran kami suami isteri. Sabar itulah penawar yang berharga dan tidak ternilai. Hanya orang yang mengalaminya dan ibu bapa yang mempunyai anak seperti ini sahaja mengetahui bagaimana rasanya saat-saat yang perlu ditempuhi untuk mencari penawar yang terbaik untuk penyakit ini. Al Fateh hidup bertemankan tangisan dan air mata. Ummi dan abah hanya mampu mengalirkan air mata dan terus tabah melangkah meneruskan kehidupan yang fana ini. Ujian ini banyak menyedarkan kami bahawa walau bagaimana sekalipun ujian yang dilalui, sebenarnya ada lagi orang yang hidupnya dipenuhi ujian namun tetap tabah dan sabar menghadapinya. Menangis itu perlu tetapi tidak perlu meratapi kerana hanya mendatangkan kesedihan dan putus asa. Putus asa daripada rahmat Allah S.W.T berdosa besar. Teruskan kehidupan dan doakanlah yang baik-baik. Insya Allah semoga yang baik-baik sentiasa hadir dalam hidup kita. Semoga suatu hari nanti Al Fateh akan sembuh sepenuhnya..insya Allah, Ummi dan Abah sentiasa doakan..Aamin. Salam Maal Hijrah dan semoga kita semua dapat berhijrah dalam kehidupan yang sentiasa diredhai dan dirahmati Allah S.W.T



Monday, 18 September 2017

Pengalaman menghantar anak ke Pusat Tahfiz

Assalamualaikum dan salam muafakat untuk semua yang kukasihi...

          Sedikit perkongsian tentang pengalaman menghantar anak ke Maahad Tahfiz pada musim cuti sekolah akhir tahun. Biasanya ibu bapa terutama ibu bapa yang sibuk bekerja di Bandar akan menghantar anak-anak ke kem cuti sekolah untuk mengisi masa lapang anak-anak. Maka tercari-carilah tempat yang sesuai untuk anak-anak menghabiskan masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Pada pandangan kami sebagai ibu bapa yang bercita-cita ingin anak-anak dididik dengan akhlak yang baik maka sekolah Tahfiz menjadi pilihan yang terbaik. Itulah tempat yang terbaik untuk anak-anak mendalami ilmu Al-Quran dan agama. Abah ada suarakan untuk menghantar anak yang sulung ke Maahad Tahfiz secara sepenuh masa tetapi mungkin masih lagi berfikir panjang dan memilih tempat yang terbaik untuk anak-anak. Anak yang sulung masih lagi mengikuti sistem pendidikan yang disediakan oleh kerajaan sepenuhnya. Tidak dinafikan juga sistem pendidikan Kerajaan juga terbaik dan banyak perubahan yang dilakukan oleh Kementerian untuk menambahbaik sistem pendidikan yang sedia ada ke arah sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

        Masa menghantar anak yang sulung ke kem Tahfiz pada musim cuti sekolah, banyak perubahan yang kami dapat daripada sistem pendidikan di sana. Keseluruhannya banyak yang positif terutama daripada segi pembangunan ilmu agama, akhlak dan kemahiran insaniah yang murid-murid perolehi daripada sistem pendidikan di Maahad Tahfiz. Cuma mungkin sedikit kekurangan daripada prasarana dan kemudahan fizikal kerana Maahad Tahfiz kebanyakan peruntukan daripada dana dan sumbangan orang ramai.
      Berbalik kepada cerita pengalaman menghantar anak yang sulung ke Maahad Tahfiz pada musim cuti sekolah. Kami suami isteri mengambil anak yang sulung dari Maahad Tahfiz ketika waktu cuti sekolah hampir tamat dan anak yang sulung mengikuti persekolahan di sekolah rendah seperti biasa. Selepas 3 bulan, kami dikhabarkan Maahad Tahfiz tersebut terbakar. Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Bersyukur sangat-sangat masa tu walaupun anak kami tiada di situ tetapi anak-anak di situ tetap kami anggap seperti anak-anak kami juga. Kami sempat berbual-bual mesra dengan mereka. Kemesraan yang terjalin antara mereka terpahat kukuh dalam ingatan. Tiada buli dan saling bantu membantu antara satu sama lain.

      Sewaktu saya sedang menulis cerita pengalaman ini, hati masih sayu,sedih, pilu bercampur baur dan adakala teringat-ingat tentang Maahad Tahfiz yang dibakar sehingga mengorbankan nyawa murid-murid dan warden yang tidak berdosa. Takdir sudah tertulis. Situasi yang berlaku pasti ada jawapannya. Kronologi demi kronologi tetap kami ikuti sebagai ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang sedang meningkat remaja. Untuk mengulas situasi ini, mungkin ada pihak yang lebih layak dan berautoriti untuk memberi komen dan mengambil tindakan yang yang sewajarnya supaya perkara-perkara seperti ini tidak lagi berlaku pada masa akan datang. Aamin.

P/S : Kami bukanlah ibu bapa yang terbaik tetapi kami cuba memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Anak-anak adalah amanah Allah S.W.T kepada kita. Anak-anak yang baik penyejuk mata hati ibu bapa.