Ke mana kita pergi, sejauh mana
kita melangkah, yakinlah Allah S.W.T tetap ada bersama, menjaga kita dan
keluarga kita. Alhamdulillah, untuk tahun 2018 In sya Allah perancangan demi
perancangan disusun dan semoga semuanya berjalan dengan lancar dengan izin
Allah S.W.T.
Tahun 2017 banyak meninggalkan
kenangan manis untuk dikenang, syukur atas segalanya. Antara yang paling
meninggalkan memori terindah dalam hidupku, rezeki kebahagiaan yang melimpah
ruah untuk keluarga tercinta. Rezeki untuk seorang ibu yang pertama kali menjejakkan
kaki ke bumi Makkah. Di hadapan Kaabah, pertama kali dengan penuh rasa
keterujaan si ibu mendoakan untuk anak-anaknya. Semoga doa ibuku dimakbulkan
Allah S.W.T. Sudah banyak yang dikorbankan untuk semua anaknya. Untuk ibu yang
tercinta atas belas kasihnya dan doa yang tidak putus untuk anak-anaknya,
mendoakan yang terbaik untuk kebahagiaan
dan kesejahteraan anak-anaknya yang dikasihi. Syukur pada Ilahi atas doa-doanya
yang membuatkan aku terasa semakin bahagia dan tenang di samping keluarga tercinta dan orang-orang yang berada di sekelilingku.
Ya, dengan doanya yang sucilah, aku masih lagi
teguh berdiri memberi bakti walau sedikit cuma tidak terbanding dengan jasanya
melahir dan membesarkan anak-anaknya
sehingga dewasa dengan penuh kesempurnaan. Bersyukur sebenarnya untuk kita yang
masih ada ibu bapa, kita masih lagi mampu berbakti walau cara mana kita
berbakti semoga Allah S.W.T memberi balasan pahala-Nya yang tidak terbatas.
Tidak kira ruang masa, wang, tenaga, ilmu, kebaikan, ketenangan hati, sebarang
bentuk kebaikan tidak kira seandainya perkara yang baik itu kita lakukan dengan
ikhlas, akan kembali kepada kita yang baik-baik
juga. Sejauh mana impian dan sebesar mana cita-cita tanpa redha Ilahi,
tiada kita di sini dan saat ini untuk meneruskan cita-cita dan menghayun
langkah dalam redha ibu bapa. Hanya Allah S.W.T Yang Maha Mengetahui atas
segalanya baik yang zahir dan yang tersembunyi. Semoga yang datang penuh
harapan dalam kebaikan dan kesejahteraan buat yang bergelar IBU. Doa ibu yang
baik-baik untuk anak-anaknya adalah mustajab yang tak terhijab. Dalam setiap
kesempatan doalah yang terbaik untuk ibu bapa kita. Semoga diberi rahmat dan
kesejahteraan buat mereka dunia dan akhirat. Aamiin.
Firman Allah S.W.T :
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya
kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan
berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana
mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa
kecil.” (Surah Al-Isra’: 24)
No comments:
Post a Comment