Friday, 2 February 2018

Hentikan Penderaan Terhadap Kanak-Kanak

Assalamualaikum Warahmatullah..Bismillah.
 
 Anak-anak adalah amanah Allah S.W.T yang sangat berharga kepada ibu bapa. Ibu bapa wajib mendidik anak-anak dengan didikan agama yang baik dan memberi kasih sayang sepenuhnya terhadap anak-anak tanpa syarat.
Seorang ayah yang soleh dan beriman akan sentiasa menjaga dan melindungi keluarganya dengan penuh kasih sayang dan perhatian manakala ibu yang mithali akan sentiasa memastikan anak-anaknya sentiasa terjaga dari sudut makan minum, pakaian, pendidikan dan spiritualnya dengan baik.
Anak-anak adalah pengerat hubungan kasih sayang ibu dan bapa. Anak-anak adalah anugerah terindah hadiah Allah untuk ibu bapa.
 
Penderaan terhadap kanak-kanak adalah satu kezaliman yang besar. Memukul sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian adalah satu kezaliman dan sifat kebinatangan yang ada pada diri ibu dan bapa. Nauzubillah. Semoga Allah S.W.T menghindari dan menjauhkan kita daripada sifat-sifat keji tersebut. Tiadakah belas kasihan dan perikemanusiaan kita terhadap anak-anak?. Walau senakal mana, seculas mana, mereka tetap kanak-kanak yang masih lagi belum diberi akal yang cukup sempurna untuk memikirkan yang mana betul dan salah. Tergamakkah kita sebagai ibu atau bapa mendera dan memukul anak-anak sebegitu kejam.
 
Memukul bukan untuk mendidik seandainya menimbulkan kecederaan yang serius dan menyebabkan kematian. Anak-anak adalah amanah Allah S.W.T untuk dididik dengan agama dan kasih sayang. Kita melahirkan anak-anak bukan untuk memukul mereka tetapi kita mendidik mereka dengan acuan kita dalam hidup beragama agar suatu masa hari nanti mereka akan membesar menjadi anak-anak yang bermanfaat kepada keluarga, bangsa dan Negara.
 
Anak-anak adalah aset Negara yang cukup berharga dan bernilai. Seandainya kita sebagai ibu bapa yang merosakkan mereka, maka suatu hari nanti bangsa dan Negara kita jugalah yang akan rosak kerana tangan-tangan kejam kita. Jadilah ibu bapa yang berakhlak kerana seandainya kita berakhlak In sya Allah akhlak kita akan dicontohi oleh anak-anak dan generasi kita akan terpelihara daripada  kerosakan yang ada di muka bumi ini. Aamiin.
 
Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.                    
                                                                                                  (Surah Ibrahim, Ayat 40)

Semoga dengan solat dapat mencegah perkara yang keji dan mungkar dan menjauhkan diri daripada melakukan kezaliman yang besar.
 
 
 :
Hayati kata-kata penyair arab, Syauqi Bey
“ Umat atau bangsa itu kekal selagi mereka berakhlak, hilang akhlak hapuslah bangsa. Jika akhlak mereka jatuh, jatuhlah maruah dan hilanglah bangsa”.
 
 
 
 
 


No comments: