Thursday, 22 March 2018

Hidup Tanpa Bibik

Assalamualaikum Warahmatullah.. Alhamdulillah syukur aku panjatkan ke hadrat Ilahi masih lagi dikurniakan kesihatan yang baik untuk bersama famili tersayang. Kesihatan yang sangat mahal harganya. Tidak boleh dibeli dengan wang tetapi perlu dijaga dengan kesyukuran menikmatinya.  Hanya doa perisai yang terbaik semoga segalanya berjalan dengan lancar atas keizinan Allah SWT.
Aku baharu balik dari bercuti di kampung sempena cuti sekolah menjenguk dan menziarahi . Perjalanan kami untuk balik ke kampung mengambil masa 12 jam.Tetapi itu bukan alasan untuk mematahkan semangat kami untuk balik menjenguk mereka.  Alhamdulillah, kesihatan mereka berada dalam kondisi yang baik.
Aku meluahkan perasaan kepada ibu tentang keinginan untuk mengambil bibik. Sebelum ni aku tidak pernah mengambil seorang bibik pun.  Semuanya dilakukan sendiri dengan bantuan suami. Apa yang termampu kami lakukan. Alhamdulillah asalkan anak-anak sihat dan dalam keadaan yang baik sentiasa. Insya Allah. Memandangkan kami berdua suami isteri bekerja dengan mempunyai 4 orang anak, agak memenatkan untuk menguruskan mereka. Tambahan pula si baby masih kecil. Baru setahun lebih.  Hasrat ingin mengambil pembantu rumah sentiasa ada apabila kepenatan dan kelelahan menguasai segenap tubuh dan jiwa. Tetapi apabila ibu aku bercerita pasal penderaan bayi, aku cuak. Sepanjang aku meletakkan anak-anak  4 orang di taska dan rumah pengasuh, alhamdulillah syukur tiada masalah. Kenapa nak mencari masalah kalau tiada masalah? Biarlah kepenatan itu ubat untuk segala masalah. Kalau kita tak melalui kepenatan, masakan kita nak menghargai apa yang kita ada. Biarkan orang bercerita, kerana bilangan anak, anak kecil atau besar dan kerjaya sudah menunjukkan siapa susah dan senang. Tiada susah dan senang dalam hidup ini. Yang senang bila kita bersyukur dan susah bila kita tidak bersyukur. Apabila aku dan suami berada di negeri orang, kami belajar satu persatu tentang kehidupan. Jauh perjalanan luas pemandangan. 13 tahun kami berada di negeri orang. Alhamdulillah banyak belajar budaya orang lain. Yang baik kami ambil, yang buruk jadikan sempadan. Melalui hari demi hari, insya Allah semoga ianya membuatkan kami berdua bertambah matang dan anak-anak lebih memahami.
Satu aku belajar, suri rumah, suri rumah bekerjaya dan isteri bekerjaya yang ada bibik semuanya memenatkan sebab kita menguruskan orang bukan robot. Hargai apa yang kita ada. Andai kita susah, Allah SWT ada sedang membantu. Aku memahami segalanya. Apabila ada orang melihat aku senang dan tertawa, aku bersyukur sekurang-kurangnya doa kalian membuat aku bertambah bahagia, apabila aku dilanda sedih atau istilah lain bad mood, aku bermujahadah untuk belajar tentang ujian Allah SWT. Semuanya ada hikmah di sebalik kejadian. Apa yang penting sikap untuk menghargai orang-orang di sekeliling kita. Semoga dipermudahkan. Aamiin.

No comments: