Saturday, 24 March 2018

Ziarah Keluarga


Alhamdulillah..syukur balik bercuti di kampung kali ini dapat menziarahi sanak saudara yang sudah lama tidak  ketemu.  Saling bertanya khabar dan bertegur sapa. Ada satu perkara yang selama ini aku terlepas pandang.  Cuti kali ini syukur dapat bertandang ke rumah  sanak saudara yang selama ini tidak pernah dikunjungi.  Yang paling penting kami sekeluarga dapat mengenali sanak saudara yang  jauh sekali sekala je dapat berjumpa mengenali antara satu sama lain. Bukan mudah dapat berkumpul, masa cuti sekolah  itupun jika tiada urusan penting, dapatlah balik ke kampung bercuti banyak hari sedikit.

Ada sesuatu di sebalik hikmah menziarahi sanak saudara yang sekali sekala dapat bertemu ni. Anak-anak apabila bertemu dua pupu masing-masing,  tidak mengenali antara satu sama lain. Kadang-kadang aku merasakan peka dan peduli itu penting dalam hubungan kekeluargaan ini. Seandainya kita tidak  mempedulikan hubungan kekeluargaan yang  jauh ini mungkin hubungan itu semakin jauh.  Bertandang ke rumah sanak saudara memberi peluang kepada anak-anak untuk mengenali susur galur keluarga.  Bukan semua rumah sanak saudara dapat dikunjungi kerana kesuntukan masa tidak mengizinkan. Jadi peluang yang ada digunakan sebaik mungkin. Aku melihat anak-anak bermain dengan sanak saudara yang sebaya dengan mereka. Sungguh riang mereka bermain. Ada sesuatu perkara yang aku fikirkan. Jika mereka tidak berkenalan antara satu sama lain, sekiranya berjumpa di tengah jalan, sudah tentu mereka tidak bertegur sapa. Jadi hubungan kekeluargaan itu tidak akan bermakna apa-apa.

Aku melihat banyak hikmah apabila kita sering berkunjung ke rumah sanak saudara yang jauh ini. Adik beradik dan sepupu kita memang sangat kita kenali tetapi sanak saudara yang dah banyak pupu ini jarang dapat kita kenali jika kita tidak sering bertandang dan saling kunjung mengunjungi antara satu sama lain. Alhamdulillah, anak-anak jika balik kampung ada masanya dapatlah aku menerangkan kepada anak-anak tentang hubungan kekeluargaan. Selalunya suami aku selalu bercerita tentang keluarga dan kami menerangkan kepada anak-anak . Jika bertemu keluarga Ummi “ Ini keluarga Ummi, namanya sekian sekian dan jika bertemu keluarga abah “ Ini keluarga abah sekian, sekian”. Kami  berharap sekurang-kurangnya anak-anak tidak melupai siapa keluarga mereka. Tambahan pula masing-masing tinggal jauh dari kampung.  Bertemu kat mana-mana dapatlah bertegur sapa. Barulah ikatan silaturrahim itu lebih kukuh. Insya Allah.

No comments: