Monday, 31 December 2018

Hikmah Penghijrahan..semoga sentiasa berada dalam rahmat Allah S.W.T..Aamiin


Alhamdulillah, banyak urusan pindah dah selesai di Kelantan setakat ini untuk tahun 2018. Ada beberapa urusan perpindahan juga sudah diselesaikan di Johor (setakat ini kali keempat sudah kami berpindah). Banyak hikmahnya berpindah ini walaupun sedikit kesukaran terpaksa kami sekeluarga tempuhi. Alhamdulillah, setakat ini semua urusan berjalan dengan lancar. Urusan anak-anak terutama abang Faheem masuk ke Maahad Muhammadi lelaki, alhamdulillah sudah beres dan urusan pindah sekolah kakak Iffah dan tadika abang Fateh dan Adik Faris tiada masalah. Rabbi Yassir Wa La Tua’ssir. Untuk urusan pindah kali ini banyak hikmah yang Umi dapat teladani.  Terhutang budi pada Jiran-jiran sebelah rumah di Johor, dekat dan jauh, ahli keluarga kami serta Terhutang budi terutama kepada kakak Umi, Kak Ma juga kerana anak kak Ma, abang Faiz banyak membantu abah menguruskan barang-barang pindah kami menggunakan perkhidmatan lori sewa. Cerita tentang perpindahan kami kali ini, Umi meminta tolong daripada anak saudara umi, abang Faiz di Pasir Mas meneman dan membantu abah untuk mengambil barang-barang kami di Johor. Apabila berpindah tempat, banyak urusan perlu diselesaikan. Kami kena selesaikan satu persatu. Bulan Disember 2018 ini adalah saat kesibukan yang tiada berpenghujung kerana perpindahan ini. Urusan rumah sewa, pindah anak, pindah barang, selesaikan bab belajar dahulu sedikit demi sedikit sebelum sambung balik mood rajin tu, dan urusan persekolahan anak-anak. Kakak umi, kak Ma dan abang Ipar Umi, abang Yu  bersungguh-sungguh ingin membantu. Usai ambik abang Faiz di Pasir Mas, kami ada beberapa urusan yang nak diselesaikan di Ketereh. Dek banyak sangat perkara yang perlu diselesaikan di Ketereh, abah nak cancelkan tiket bas sebab takut terlambat dan tertinggal bas ke Johor. Naik bas kat Pasir Hor. Jauh juga tu Pasir Mas-Ketereh-Pasir Hor. Abah lupa nak bawa baju dan dokumen. Umi secara spontan bagi cadangan supaya hantar abah dan abang Faiz dulu ke stesen bas, bab baju dan dokumen uruskan kemudian. Baju boleh beli di mana-mana pasar raya, dan dokumen boleh je muat turun daripada internet.  Kebetulan pula, pakaian yang dah siap dibasuh dengan mesin dobi dan beg travel pun dah ada. Apa lagi abang Faheem dengan pantas sediakan keperluan untuk abah siap dengan beg travel sekali. Abang Faheem dah biasa dengan kehidupan travel kami sekeluarga. Abah cakap umi kreatif. Abah tak terfikir sebenarnya nak buat macam tu. Sebenarnya Itulah pengalaman yang membuatkan kita sentiasa berfikir untuk memudahkan urusan. Seandainya tiada pengalaman sebegini, susah juga kami sekeluarga untuk menghadapi situasi pindah randah ni. Apabila berpindah, banyak keputusan segera perlu dibuat. Dalam banyak urusan, umi dan abah saling sepakat. Banyak keputusan kami buat bersama. Abah mementingkan kesempurnaan, umi pulak jenis simple je asalkan buat jangan tak buat. Yang paling penting semuanya beres dan bisa diatur. Jangan tak bisa-bisa, sampai semuanya tak menjadi. Plan A tak menjadi, ada Plan B, Plan C, dan seterusnya. Kesusahan mengajar kita tentang erti hidup yang sebenarnya. Pengalaman lalu mengajar Umi untuk terus gigih dan bersabar dalam menempuh dugaan dan ujian.

Yang paling penting, kita merancang, berusaha dan bertawakkal…alhamdulillah selesai..insya Allah, semuanya yang terbaik daripada Allah S.W.T jua.


Syukur Rezeki Tahun 2018..semoga Allah Memberkati..Segalanya Milik Allah S.W.T


Alhamdulillah, syukur segalanya atas rezeki ini. Untuk perancangan tahun 2018 ini, banyak juga yang tercapai melebihi pada target Umi sebenarnya. Semuanya rezeki daripada Allah S.W.T. Impian Umi untuk dapatkan cuti belajar bergaji penuh (Phd) tercapai akhirnya setelah dua kali Umi memohon untuk dapatkan cuti belajar ni. Pertama kali Umi memohon cuti belajar gagal dan kali kedua tahun 2018 alhamdulillah berjaya . Allah S.W.T bagi Umi cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa dan Allah S.W.T kurniakan Umi  perkara yang Umi rasa sukar tetapi Allah S.W.T berikan Umi juga rezekinya yang tidak disangka-sangka. Semuanya berkat daripada orang-orang yang baik berada di sekeliling Umi dan abah yang banyak membantu kami memudahkan urusan. Sebenarnya Allah SWT hantarkan orang-orang yang baik dalam hidup ini. Umi belajar banyak perkara sebenarnya daripada anugerah ini. Kesusahan masa lalu mengajar Umi untuk terus berbuat baik dan cuba memberikan yang terbaik. Semua anugerah ini walaupun daripada usaha Umi tetapi semuanya dengan Izin Allah S.W.T. Umi hanya mampu berusaha. Berkat doa abah, ibu, ahli keluarga, dan sahabat handai yang tersayang banyak membantu serta jiran-jiran yang baik budi di sekeliling baik yang dekat atau pun jauh. Lima perkara yang Umi dapat dalam tahun 2018 walaupun biasa bagi orang lain tetapi ianya merupakan anugerah terindah untuk umi. Tiada yang mampu memberi melainkan Allah S.W.T Yang Maha Berkuasa.  

1.       Cuti belajar bergaji penuh (Phd) dengan biasiswa 2018

2.       Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC)

3.       Abah dapat pindah ke Kelantan (kami sekeluarga dapat ikut berpindah)

4.       Abang Faheem dapat sekolah di Maahad Muhammadi Lelaki

5.       Abang Fateh sudah sembuh sedikit daripada ekzema dan dapat tidur lena sedikit (sebelum ini Fateh tak pernah tidur lena kerana penyakitnya).

Monday, 24 September 2018

Di Dalam Mencari Yang Sempurna Maka Yang Terbaik Akan Hilang



Bersyukurlah dengan nikmat yang diberikan. Alhamdulillah setiap detik dan waktu Allah SWT memberikan aku ruang dan kesempatan melihat dan meneroka di setiap genap alam. Bermusafir menikmati kebesaran dan keagungan Allah SWT. Hanya dalam hatiku betapa besarnya nikmat yang Allah SWT berikan untukku. Allahu Akbar. Allah SWT banyak mendidikku dan memberi pengajaran menginsafi segala kelemahan diri bahawa tiada yang sempurna di dunia ini. Alhamdulillah, aku bersyukur dengan apa yang aku ada sekarang. Aku sangat memahami dalam mencari yang sempurna maka yang terbaik akan hilang. Yang terbaik di sisiku anugerah Ilahi. Dalam surah Ar Rahman aku hayati tafsirannya : “ Nikmat apa lagi yang mahu didustakan” . Syukur saat derita Allah kurniakan bahagia, saat susah Allah hadiahkan rezeki..alhamdulillah. Sedikit sebanyak rasa bersyukur bertandang juga nikmat Ilahi walau macam mana sekali pun. Allah SWT datangkan suami, anak-anak dan sahabat-sahabat yang baik juga satu rezeki bagiku…Doa seorang ibu adalah yang terbaik untuk anak-anaknya. Segala yang baik itu datangnya rezeki daripada Allah…Allah kurniakan segalanya dan tidak perlu lagi rasanya mencari kesempurnaan…aku belajar menerima semuanya seadanya. Segala yang ada sudah cukup bagiku dalam memberi erti hidup. Syukur dipanjatkan kepada Ilahi, aku pernah merasai kehilangan orang yang sangat aku sayangi yang sentiasa ada saat aku memerlukan, memberi motivasi dan harapan untuk berjaya dunia akhirat. Mendoakanku saban waktu dan memberi harapan untuk aku berjaya dalam pelajaran. Itulah arwah ayah. Nasihat dan pedoman sehingga kini masih aku ingat dan teladani. Bersyukurlah seandainya kita masih ada lagi ayah yang baik yang sentiasa menyayangi anak-anaknya. Jangan lihat apa yang kita tiada.  Arwah ayah meninggal semasa aku masih lagi belajar mengenal erti dunia dan bertatih meneruskan semangat dan motivasi untuk belajar. Arwah ayah meninggal masa aku di tingkatan dua. Saat aku kehilangan arwah ayah semasa aku masih lagi memerlukannya dan pada saat yang tepat, Allah SWT menggantikan aku dengan seorang suami yang sentiasa menemaniku saat susah dan payah. Sebab itulah aku belajar banyak erti syukur. Aku tidak pernah ingin mencari kesempurnaan. Pesanan arwah untuk aku belajar bersungguh-sungguh sampai sekarang menjadi pencetus motivasiku untuk belajar dan meneruskan pencarian ilmu walau sebenarnya dahulu aku belajar dalam serba kekurangan. Tiada istilah sekolah hebat, guru yang hebat. Sekolah kampung sahaja.  Aku juga pelajar yang biasa sahaja. Anak orang kampung. Cuma yang ada pada masa tu, guru-guru yang segalanya diberkati sehingga melahirkan ramai yang mendapat gelaran graduan universiti.  Aku bersyukur juga dapat menjejakkan kaki ke universiti Malaya dan sampai sekarang Allah SWT memberikanku peluang untuk menimba ilmu. Sebab itulah, aku berpegang pada prinsip kekurangan bukan alasan untuk tidak berjaya. Mengingati masa lalu dalam serba kepayahan, aku belajar erti bersyukur. Melihat banyak segi kehidupan dalam permusafiran merantau ke negeri orang, aku belajar tentang istilah mensyukuri apa yang ada dan terus berusaha. Tidak gentar dan takut..selagi ada redha daripada ibu dan restu daripada suamiku, aku yakin segalanya akan berjalan dengan lancar. Semoga Allah mempermudahkan segalanya.. Cukuplah apa yang ada dan Allah SWT berhak memberi atas segalanya. Aku hanya mampu berusaha. Semoga kehidupanku, keluargaku, guru-guruku, sahabat-sahabatku, jiran-jiranku, anak-anak didikku Insya Allah semakin diberkati….Aamiin.

Thursday, 6 September 2018

Artikel Perkahwinan Bercerita Seribu Rasa...menulis Untuk Memotivasikan Diri Dan Orang Yang Sudi Membaca..

Bersyukur sekian lama menulis dan menulis artikel dan cerpen, tercapai jua hasrat ingin melihat artikel dan cerpen dibukukan walaupun hanya mampu menulis secara berjamaah..walaupun begitu, menulis dan terus menulis untuk mengekalkan momentum diri dalam bidang penulisan. Minat yang mendalam dan suka menulis walau terkadang menjadi ketagih dalam menulis. Sejak di bangku sekolah lagi aku menulis setiap coretan tetapi tidak dikumpulkan lalu ianya hanyalah seperti angin lalu dan terus hilang. Hanya buat tatapan diri sahaja.. Namun sekarang zaman sudah berubah, teknologi semakin canggih,  maka pembelajaran secara online menjadi pilihan untuk aku insan yang suka menulis. Menulis bukan untuk suka-suka tetapi harapan dan impian semoga ianya bermanfaat untuk diri dan masyarakat..setiap buku yang bermanfaat bukan sampah andai ianya menjadi manfaat untuk diri dan orang lain menjadi insan yang lebih baik..Alhamdulillah, buku-buku ini menjadi bukti aku suka menulis walau masaku sangat terhad untuk berkarya...jika ada sesiapa yang teringin memiliki atau merasakan ingin tahu lebih lanjut isi kandungan dan manfaat buku-buku ini, insya Allah boleh membantu dalam memahami sedikit demi sedikit tentang isu-isu perkahwinan dalam membina bahagia dalam perkahwinan. Insya Allah. Semoga ianya sangat bermanfaat. Sesiapa yang berminat, bolehlah hubungi saya : nama pena : fatihannur osman 0195134741.


Tuesday, 4 September 2018

Pengalaman Mengajar Mematangkan Diri Dalam Menghadapi Cabaran Kehidupan

Pengalaman Dalam Mengajar Mendewasakan Diri Menghadapi Cabaran Hidup

Alhamdulillah semalam 4.9.2018, Allah SWT memberi peluang untukku memulakan langkah ke era baru, era yang penuh cabaran, meneroka dan mendalami ilmu pengetahuan. Makna Ilmuan seandainya diberikan pengertian ianya amatlah mendalam. Bukan ku mahu menjadi ilmuan terbilang tetapi mendapatkan redha Ilahi dalam menggapai kasih sayang-Nya. Semoga Ilmu yang ku cari diberkati dan diredhai Ilahi. Terima kasih suamiku menemaniku mendaftarkan diri sebagai seorang Siswazah. Syukur semalam Allah SWT memberi masa untuk suamiku meluangkan masanya sekejap dengan keizinan en.Omar Bin Hassan, Pengarah Kolej Vokasional Tanjung Puteri. Terima kasih kami ucapkan. Alhamdulillah, ini kali ketiga aku bergelar Siswazah Universiti. Bersyukur Allah SWT memberi peluang untukku bergelar pendidik dan seterusnya diberi ruang untuk mencari ilmu. Semoga sedikit ilmu yang ada mampu memberi inspirasi kepada yang lain untuk terus berusaha mencari ilmu buat pedoman diri dan anak-anak didik untuk berjaya di dunia dan akhirat. Insya Allah.
Bercerita serba sedikit tentang pengalaman menjadi seorang pendidik yang mendidik anak didik seawal umur 5 tahun hingga mereka yang sudah dewasa menjadikan seluruh ruang kehidupanku sungguh bermakna. Pengalaman itu mahal harganya dan tidak boleh dibeli di mana-mana. Syukur sebelum aku melangkah keluar dari dunia kerjaya sebagai seorang pendidik, aku ditugaskan mengajar anak-anak didik di Tadika Semaian Subur tempat aku mengajar.  Walaupun sebentar cuma tak sampai dua bulan aku mengajar mereka, banyak perkara yang aku pelajari. Ibrah daripada mengajar mereka, aku teladani satu persatu. Kasih sayang dan rahmat Ilahi sentiasa bersama kita apabila mengajar kanak-kanak yang tidak mengenal erti pahala dan dosa..Alhamdulillah, mencabar juga mengajar anak-anak kecil. pengalaman mendidik anak-anakku sebaya mereka menjadikan aku lebih sabar dan matang dalam mendidik. Terasa hidup makin tenang, hari-hari yang bertandang terasa dirahmati. Wajah yang polos dan suci itu aku santuni seperti jua anak-anakku. Rezekiku juga semakin murah sejak mengajar mereka. Syukur alhamdulillah. Sejak aku menjadi pendidik selama 13 tahun ni, aku merasakan bukan mudah dan bukan juga susah berada dalam dunia pendidikan.  Walaupun menjadi seorang pendidik, tugasan yang rencam banyak mencabar diri untuk terus gigih dalam menyiapkan tugasan yang diberi walaupun kemampuan diri tetap membataskan. Sebagai pendidik dan juga ibu rumahtangga perlu dibereskan dan dibahagikan masa dengan baik. Alhamdulillah, sepanjang mengajar anak-anak di Tadika Semaian Subur, aku kutip sedikit demi sedikit permata ilmu, belajar memahami jiwa dan kehendak mereka. Begitu juga anak didikku yang remaja dan dewasa, siang dan malam aku mengajar dan memberi ilmu walau sedikit cuma semoga ianya terkesan di hati. Sedikit sahaja ilmu yang ada pada diri dapat dikongsi. Semoga aku dapat sebarkan ilmu buat mereka. Harapanku hanya satu agar   walau sedikit dapat menjadi sesuatu yang bermanfaat buat mereka. Kalau tidak hari ini mungkin jua akan datang. Dalam dunia pendidikan, kita akan mengenal erti bahagia andai kita lakukan seikhlas hati. Semakin lama, kita akan semakin mengenal apa itu ikhlas dalam mendidik bila mana kita cuba berkorban masa yang sedikit kepada mereka. Mungkin bukan hari ini mereka mengingati apa yang kita beri, esok lusa mereka akan memahami. Itulah tugas sebenar seorang pendidik. Yang paling penting kita sebagai pendidik merasa bahagia dalam memberi segalanya untuk mereka. Seringkali jua senyuman sentiasa terukir di hati melihat telatah dan gelagat mereka walaupun kelelahan tetapi kepuasan itu sungguh mendalam aku dapatkan. Aku merasakan hidupku makin bermakna. Terasa berat sebenarnya melepaskan dunia itu walau sebentar cuma demi mencari ilmu yang bermanfaat buat diri dan mereka. Dunia pendidikan walau penuh cabaran tetapi andai dilalui dengan penuh sabar dan tabah insya Allah, ia akan membuahkan hasil yang baik. Insya Allah, seperti kata peribahasa, benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau. Aku menganggap anak-anakku dan anak-anak  didikku semuanya benih yang baik dan semua mereka berhak mengecapi kejayaan dunia dan akhirat. Kejayaan itu subjektif sifatnya. Kita sendiri yang memaknai kejayaan itu. Insya Allah. Aamiin.

Tuesday, 14 August 2018

LGBT : Salahkah Ibu mengandung..

Persoalan pokok yang utama ingin aku utarakan sebagai seorang ibu. Apakah perasaan seorang ibu apabila ada antara anak-anaknya diistilah sebagai seorang pondan, makyah atau lelaki lembut. Walaupun tiada dalam ahli keluargaku seperti sedemikian, aku tetap memahami bukan senang untuk mendidik anak-anak tambahan pula dalam persekitaran yang cukup mencabar masa kini. Bukan kehendak seorang ibu apabila anak berubah menjadi transgender. Nau'zubillah min zalik..Seorang ibu pastinya inginkan yang terbaik untuk anak-anaknya. Apakah mekanisme penyelesaian yang terbaik daripada segala masalah yang ada..

1. Didikan agama sejak daripada awal lagi sangat penting dalam mengatasi masalah LGBT.

2.Cara pergaulan dan bagaimana mereka dibesarkan, persekitaran dan kawan-kawan mereka akan membentuk jiwa mereka yang lebih kepada sifat feminin.

3. Bapa perlu menjadi sahabat baik kepada anak-anak lelaki..tidak lepas tangan semata-mata kepada seorang ibu mendidik anak-anak lelaki dan perempuan.

4. Melatih anak-anak lelaki untuk melakukan kerja-kerja yang berat dan lebih berdikari. 

5. Usaha yang padu dan kerjasama semua pihak sangat penting dalam menangani isu LGBT. Tidak menghukum mereka tetapi memberi peluang untuk mereka bertaubat nasuha. Sentiasa ingatkan mereka tentang ayat-ayat al-Quran yang memberi peringatan kepada golongan ini. Jika mereka ingin berubah, maka terimalah golongan LGBT ini seadanya kerana secara fitrahnya mereka dilahirkan sebagai lelaki sejati. Tetapi kerana silap didikan dan salah memilih kawan, mereka terjebak dalam LGBT.

6. Menyediakan pusat-pusat intervensi pemulihan dan kaunseling islam untuk memulihkan mereka dan mengikut landasan islam yang sebenar.

Menghukum bukan menyelesaikan masalah tetapi berdakwah dan mengajak mereka ke arah jalan yang benar itu sebaik-baiknya. 


Friday, 10 August 2018

Pelangi Indah Memukau Hati dan Perasaan

Indah warna pelangi yang muncul tatkala hujan terhenti seketika. Hujan badai yang diredah dalam episod kehidupan rupanya ada sirna yang teragung Allah SWT kurniakan dan anugerahkan kepada sesiapa yang diberi ujian dalam hidupnya. Rezeki demi rezeki yang dikurniakan bukan untuk dibanggakan apatah lagi riak dan bangga atas kurniaan Ilahi. Semua rezeki daripada Allah SWT. Alhamdulillah...tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata namun perilaku dan keyakinan di hati bahawa segalanya milik Ilahi. Allah SWT hanya memberi pinjaman atas nikmat ini. Yakin bahawa kita jaga aib orang, Allah jaga aib kita. Jaga Allah, Allah jaga kita. Insya Allah, nikmatNya datang dengan melimpah ruah.Tidak sombong dan riak dengan rezeki Allah. Nasihat untuk diri sendiri. Merendah diri seumpama resmi padi