Thursday, 14 February 2019

Ketamadunan Orang Asli dan Orang Luar Bandar


Sharing is caring...sebenarnya sudah lama niat di hati untuk menceritakan tentang pengalaman umi kepada anak-anak dan anak-anak didik tentang pengalaman Umi yang pertama kali berhadapan dengan orang asli di Tanah Abang Mersing, Johor. Sebenarnya Umi dah lama nak pergi ke tempat orang asli, nak tahu dengan lebih mendalam cara hidup mereka. Apabila Umi pergi ke sesuatu tempat tu, bukan saja-saja Umi pergi. Bukan sia-sia sahaja. Umi pergi untuk memerhati dan menganalisis sesuatu tempat tu bukan berdasarkan cakap-cakap orang atau persepsi semata-mata. 

Ok. Umi sangat bertuah apabila berada di sana, Umi sempat menemubual seorang pak cik daripada kalangan orang asli. Pak cik ni beragama Islam. Mungkin salah seorang yang tertua di kampung tu sebab umi nampak yang muda-muda sahaja yang datang ke sekolah berkunjung. Pak cik ni bercerita tentang pengalamannya yang pernah berhijrah dan pergi ke negeri Kelantan dan Terengganu untuk bekerja. Beliau memuji tentang kebaikan orang-orang di Kelantan dan Terengganu. Beliau memuji sebab pernah bekerja di tempat orang kan? Kalau tak, mungkin beliau tak dapat faham budaya orang jika beliau tidak pergi sendiri tempat tu. Cuma apa yang Umi kagum pemikiran pak cik ni. Sangat hebat. Beliau memberitahu Umi tentang orang asli boleh jadi lebih maju dan bertamadun jika mereka bercampur gaul dengan orang yang di luar dalam lingkungan mereka. Pemikiran mereka akan lebih terbuka dan asimilasi budaya boleh berlaku. Lebih kurang gitulah cakap beliau. Umi terjemahkan sikit bahasa beliau dalam ayat standard. Perbualan Umi dengan beliau agak ringkas. Tetapi Umi faham apa yang ingin dimaksudkan tentang ketamadunan orang asli. Kita tak boleh nak buat generalisasi secara umum bahawa semua orang asli ni jumud dan mindanya beku kerana berada di dalam hutan. Umi tak buat kajian di sana lebih mendalam, hanya pergi melihat dan memerhati suasana serta menjalankan tugas dalam aktiviti bersama pelajar. Jadi, Umi tak buat temu bual secara teliti dan mendalam dengan beberapa orang kampung di situ. Kalau tak, dah terhasil satu kajian tentang pembangunan orang asli.. untuk hasilkan kajian, Umi kena kod perkataannya satu demi satu dan menganalisisnya guna perisian N'vivo.

 First impression,  Umi tengok banyak hutan dan apabila banyak hutan umi anggap ada binatang buas tetapi sebenarnya tidaklah sebegitu. Mereka pun jarang-jarang bertemu binatang buas atau memang tidak pernah berjumpa langsung pun macam kita. Berdasarkan pemerhatian Umi, orang asli zaman sekarang sudah lebih canggih sedikit daripada dahulu. Mereka sudah memliliki kereta, boleh memandu dan ada kelebihan lain yang Umi tidak terokai. Pihak JAKOA dan Kerajaan yang menjaga kebajikan mereka. Cuma Umi nampak daripada sudut pemikiran agak jauh sedikit (tidak semua kerana ada yang sudah mempunyai pendidikan) mungkin suasana dan cara hidup mereka jauh daripada bandar dan kemudahan teknologi maklumat tiada. Kalau adapun mungkin tidak dimanfaatkan disebabkan kecetekan ilmu pengetahuan yang sedia ada pada mereka. Sebenarnya ada ramai juga golongan yang berpendidikan daripada kalangan orang asli ini. Umi merasa mereka hebat sebenarnya sebab macamana mereka boleh pergi lebih jauh dan belajar tinggi-tinggi sedangkan segalanya jauh terbentang dalam hidup mereka.

Umi nampak juga usaha daripada kementerian Pendidikan sendiri yang memberi elaun mengajar kepada guru-guru yang mengajar ibu bapa orang asli ni belajar untuk membaca. Ada usaha yang baik ke arah itu. Cumanya bagaimana ingin menyedarkan orang asli tentang kepentingan ilmu kepada mereka dan bagaimana ingin mengubah persepsi masyarakat tentang orang asli. Selain itu juga, dakwah tidak sampai kepada mereka kerana ilmu  itu tidak dapat diteladani dengan baik oleh orang-orang asli yang bukan Islam. Ada juga yang Islam tetapi secara taqlid buta sahaja. Ada juga yang betul-betul memahami Islam seperti juga dengan masyarakat Melayu. Cumanya percentagenya perlu dibuat kajian.

Apa yang ingin Umi puji di sini tentang kesanggupan guru-guru yang mengajar orang-orang asli. Hebat, bukan? Umi tidak pernah memandang rendah keupayaan orang asli kerana mereka mempunyai khazanah alam yang cukup berharga. Cumanya ketamadunan mereka dapat dibangunkan dengan adanya ilmu dan agama. Alhamdulillah, sekarang Umi dapat melihat dan meneroka tentang kehidupan orang asli kerana abah sudah berpengalaman mengajar anak orang asli dan membawa Umi meneroka walaupun hanya sekadar melihat tempat orang asli di tempat kami dan banyak memberi maklum tentang kehidupan mereka. Sekurang-kurangnya minda Umi sedikit terbuka dan faham cara hidup mereka serba sedikit.



Begitu juga dengan Umi serba sedikit memahami tentang masyarakat Felda...ada lagi dalam cerita Umi ingin kongsikan tentang anak-anak di kawasan Felda dan  kenapa minda mereka perlu dibangunkan serta dijauhkan daripada terlibat dengan anasir-anasir yang tidak baik. Bukan sahaja kawasan felda tetapi juga di kampung-kampung dan bandar. Cuma Umi kongsi sahaja supaya dapat menyedarkan kepada Umi sendiri  dan sahabat-sahabat betapa banyaknya yang kita tidak nampak jika kita tidak meneroka dengan lebih mendalam kalau kita sendiri tidak pergi meneroka tempat tu secara mendalam. Ada yang beranggapan, apa kelas kau pergi tempat macam tu kan. Ya lah bukan tempat yang hebat-hebat mana lah orang nak berkunjung. Tetapi sebenarnya kalau kita tidak meneroka tempat orang, kita tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Sebab kita tidak pernah tinggal menetap, berhijrah, dan kita hanya menetap di kampung atau di bandar tempat kita je. Jadi kita akan memberi pelbagai andaian dan persepsi yang banyak salah daripada betulnya. Jadi Syukur Umi dapat berpeluang dengan sahabat-sahabat dan anak-anak didik untuk pergi sendiri untuk melihat dengan lebih dekat tentang kehidupan orang asli. Boleh juga Umi menemubual sikit-sikit mereka. Umi kenal lah juga siapa itu orang asli yang sebenarnya dipanggil orang asal. Semoga Allah mempermudahkan. Insya Allah....

Wednesday, 30 January 2019

MANFAATKAN MASA DAN NIKMAT KESIHATAN ANUGERAH ILAHI


Banyak perkara yang berlalu memberi manfaat dan semoga dijauhkan daripada perkara yang sia-sia..manfaatkan lima perkara sebelum datang lima perkara. Antara perkara yang berharga adalah nikmat kesihatan. Syukur alhamdulillah dapat memberi manfaat kesihatan kepada diri dan orang lain terutama suami dan anak-anak. Dapat meluangkan masa melakukan aktiviti-aktiviti seharian bersama keluarga, memasak untuk suami dan anak-anak yang masih kecil pulang dari sekolah, mengambil anak-anak di taska dan sekolah, menguruskan mereka dengan sesempurna yang boleh mengikut kemampuan yang Allah SWT kurniakan. Nikmat kesihatan ini seandainya dikira jauh lebih berharga dengan harta kekayaan. Nikmat sihat sebelum sakit ini andai dapat dipergunakan dan dimanfaatkan sebaik mungkin, betapa bersyukurnya.  Yang paling penting kita sentiasa berusaha untuk menjaga kesihatan semaksimum yang mungkin.  Bersenam, berjoging, memakan ulam-ulaman merupakan antara yang menjadi kegemaran dan aktiviti seharian aku selama ini. Syukur juga aku dididik oleh ibu untuk menggemari pemakanan yang sihat seperti ini. Alhamdulillah, aku perturunkan ilmu ini kepada anak-anakku. Semoga Allah melindungi mereka dan dijauhkan daripada sebarang penyakit merbahaya..insya Allah..aku hanya mampu berdoa dan berusaha.
Saat ini juga aku bersyukur  Allah SWT memberi peluang untuk menimba ilmu tanpa mengabaikan suami dan anak-anak. Setakat ini aku tidak pernah meninggalkan mereka untuk jangka waktu yang lama. Sebenarnya aku tak betah meninggalkan mereka. Paling lama pun seminggu itu pun kalau ada beberapa perkara yang penting seperti kursus di tempat yang jauh. Nak jumpa SV pun jauh. Alhamdulillah ada banyak alat teknologi memudahkan komunikasi. Tak sanggup rasanya nak tinggalkan  Adik Faris lama-lama. Adik Faris masih lagi menyusu badan. Kesian pulak nak tinggal lama-lama. Anak-anak merupakan kekuatan seorang ibu untuk meneruskan perjuangan menuntut Ilmu dan juga dalam kehidupan. Harapnya semoga ia menjadi contoh tauladan untuk anak-anak meneruskan kesinambungan perjuangan dan gigih menuntut ilmu. …jadi, umi dan abah kena menunjukkan contoh yang baik untuk anak-anak dan juga anak-anak didik bahawa ilmu ini sangat penting untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.


Di Daerah yang terasing ini aku masih lagi dalam tempoh menyesuaikan diri dengan tempat dan suasana. Pada pandangan aku, tempat ni agak best jugak sebab pemandangannya cantik dan udaranya segar sekali. Bandar yang semakin membangun dikelilingi gunung ganang yang terletak indah. Setiap hari keluar rumah dapat je tengok gunung ganang yang pemandangannya hijau terbentang luas di depan mata. Melihat pemandangan yang indah, hijau, bersih, cantik ni dengan udara yang segar, kabus yang tebal terasa betapa sempurnanya ciptaan Allah SWT. Sesekali terdengar unggas dan burung berkicauan. Alangkah indahnya hati, mata dan telinga yang mendengar. Syukur manfaat fikir dan zikir dalam kehidupan menghargai alam sekitar ciptaan Allah SWT. Melihat dan merenung dengan mata hati betapa agungnya kekuasaan Allah SWT, merasa betapa kerdilnya diri ini di sisi Allah SWT Yang Maha Esa.  Aku hayati tafsir al-Quran surah Ar-Rum :

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu, dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berpengetahuan. (surah Ar-Rum : Ayat 22)



Terasa bahagia dan lapangnya jiwa. Jiwa tenang, hati pun senang. Lebih mudah apabila melakukan kerja dan belajar dengan menuntut ilmu dengan hati yang tenang.  Semoga rahmat Allah SWT sentiasa melindungi. Dalam kesunyian daripada kesibukan kota, pastinya terselit rahmat dan nikmat kesihatan melihat alam yang terbentang. Namun kebahagiaan ini tidak sama jika berada di tempat sendiri tetapi tempat ni sangat bagus untuk mereka yang berjiwa sederhana seperti aku ni..hehe…aku tak suka sangat kesibukan kota dan tidak terpencil sangat duduk di pedalaman. Sama seperti kampungku yang sangat cantik dengan pemandangan yang memukau mata hati. Sungguh Indah dan terasa damai di hati. Tempat ini juga tidaklah terlalu jauh. Lebih kurang tiga jam lamanya memandu. Kalau nak berulang alik ke kampungku, rasanya tak mampu nak berulang alik setiap hari. Sesekali dapat menziarahi ibu bapa juga satu rezeki dan kewajipan untuk kami sekeluarga. Semoga Allah SWT memelihara kesihatan mereka dengan baik. Tenanglah si anak jika ibu bapanya sihat walafiat.  Jauh kami tersadai di tempat orang tetapi hikmahnya banyak sekali. Jauh kami kerana berkhidmat sebagai pendidik. 17 tahun berkhidmat di negeri orang, barulah suami dapat pindah juga satu hikmah. Kami bersyukur sebab orang lain lebih lagi nak balik setelah berpuluh tahun di negeri orang. Rezeki dapat balik kampung juga satu kesyukuran sekian lama berada di tempat orang mengharungi suka duka hidup bersama suami dan anak-anak. Selama mana di tempat orang, itulah yang dinamakan pengalaman berhijrah di tempat orang. Banyak hikmahnya apabila berada di tempat orang. Mengenali budaya orang lain pastinya memberikan kita kefahaman yang lebih baik dan menghormati budaya orang lain dalam menghargai budaya di tempat sendiri.. lain orang lain caranya, inikan budaya orang, pasti lain dengan budaya di tempat sendiri..begitulah ceritanya hijrah kami…Inilah yang dinamakan pengalaman. Banyak pengalaman ke sana sini kot rasanya banyak idea aku nak tulis…banyak cerita ingin dirakamkan untuk tatapan anak-anakku dan anak-anak didikku sebagai pengajaran bahawa kita ni sebagai khalifah di muka bumi ini. Hidup hanyalah sementara, manfaatkan waktu yang ada..insya Allah.

Wednesday, 16 January 2019

Ujian Hanya Sementara

Ujian Hanya Sementara, Sesungguhnya Dalam Kesukaran Ada Kemudahan


Ujian Hanya lah Sementara…..
Umi pernah waktu beberapa tahun lepas cakap pada abah, umi nak berhenti kerja sewaktu Fateh diserang penyakit kulit yang kronik. Umi hampir nak ambik borang berhenti kerja di pejabat sebab tak tahan tengok dan jaga Fateh sakit. Abah bersetuju tetapi Umi fikir banyak kali. Umi cuba bertahan dan bertahan menahan perasaan setiap kali Fateh diserang penyakit ini. Kesian Fateh masa tu. Umi dan Abah banyak berkorban daripada segi wang, masa, dan tenaga untuk merawat penyakit Fateh. Bingung seketika merenung nasib diri. Fikiran menjadi buntu, hati menjadi keliru. Tetapi semua itu tidak mematahkan semangat Umi dan abah untuk merawat penyakit Fateh. Kolam Air mata sudah hampir kering, hanya tinggal ketabahan dan kesabaran yang ada. Terkadang seharian tidak mampu memberi fokus kepada apa yang dijalani di hadapan tetapi tetap teruskan jua perjalanan itu. Kalau nak cerita bab duit, hampir kekeringan duit simpanan Umi dan abah untuk mencari rawatan yang terbaik di klinik pakar kulit dan berulang alik ke hospital Sultanah Aminah untuk membuat temu janji dan mendapatkan rawatan doktor pakar. Hari berganti hari, Umi dan Abah terpaksa menahan perasaan melihat keadaan Fateh. Nak memohon simpati, tetapi kepada siapa nak dimohonkan simpati itu melainkan kita menangis dan mengadu kepada Yang Maha Esa supaya Allah mempermudahkan segalanya. Bukan senang nak melalui keadaan itu tambahan pula Umi dan Abah pergi mengajar selepas subuh dah gerak, balik dah hampir senja sebab tempat Umi mengajar dan Abah mengajar dua-dua jauh dan mengajar masa tu ikut waktu pejabat . Syukurlah pengasuh Fateh dan guru-guru di tadika Fateh faham penyakit yang menimpa Fateh. Lega juga masa tu. Allah SWT menghantarkan orang-orang yang baik untuk membantu umi dan  abah. Alhamdulillah, banyak juga yang umi pelajari selepas itu. Hikmah yang dapat diteladani daripada ujian penyakit Fateh. Mungkin itu juga asbab abah dapat pindah balik Kelantan dan Umi juga dapat cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa. Semuanya dalam kekuasaan Allah SWT. Segalanya rezeki Ilahi. Hampir 17 tahun lamanya abah mintak pindah dan masa Fateh sakit kulit kronik tu,  semakin kerap abah isi borang pindah dan kami sekeluarga berulang-alik ke Putrajaya, KPM menghantar sendiri borang itu sama ada berpanas berhujan dalam kereta ulang alik ke Putrajaya. Alhamdulillah, apapun, semua ujian ada hikmah di sebaliknya. Allah SWT beri kita kesusahan tak selamanya. Pasti ada kesenangan yang menunggu kita di kemudian hari.  Satu yang umi pegang,  seandainya kita rasa susah, tengoklah orang yang di bawah ramai lagi yang lebih susah daripada kita. Umi pelajari itu sewaktu Umi di Johor, melihat orang lain yang tabah menghadapi kesukaran hidup, apatah lagi hanya sedikit Ujian yang Allah berikan pada Umi untuk terus bersabar. Susah kita tak sama dengan susah orang lain. Bentuk ujian itu berbeza setiap orang.  Biarlah apa persepsi orang pada kita, tetapi kita yang melaluinya memahami segalanya. Dalam ayat al-Quran surah Asy-Syarh Ayat 6 : “ Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan”. Benarlah janji Allah SWT, setiap kesusahan ada kemudahan. Semoga menjadi pengajaran yang berguna untuk kita. Susah dan senang kita tetap bersabar menahan segalanya. Semoga Allah SWT sentiasa menghadiahkan ketabahan dalam sakinah mawaddah wa rahmah dalam kehidupan kita. Terima kasih suamiku kerana memahami diri ini..insyaAllah.. alhamdulillah atas nikmat-Mu Ya Allah.…Aamiin.

Tuesday, 8 January 2019

Terima kasih kepada yang menyayangi dan juga yang menjatuhkan


Terima Kasih kepada orang yang menjatuhkan kita kerana kalau tiada orang yang menjatuhkan kita, maka kita sendiri yang tidak bangun-bangun. Terus terlena dibuai mimpi yang indah-indah. Rasa malas dan mudah menghantui hidup kita. Di saat orang menjatuhkan kita, ada orang yang baik-baik sentiasa mendoakan kita atas asbab kebaikan yang ikhlas kita lakukan kepada mereka. Kita tidak tahu, siapa, bila, dan di mana. Doa orang-orang yang baik mustajab buat kita. Seandainya tiada yang menjatuhkan kita, tidak mungkin kita berada di tempat kita sekarang. Terima kasih dan bersyukur kepada Ilahi. Tanpa ada motivasi dalaman yang tinggi, kita akan terus tertidur enak dan berada di takuk yang lama tanpa ada usaha. Duduk bersandar kenyang tanpa melakukan sesuatu untuk membuatkan kita maju ke hadapan. Bangkitlah dan maralah ke hadapan!. Duduk diam tidak akan menjanjikan apa-apa. Jika zikir, fikir, amal soleh itulah yang terbaik. Semoga setiap usaha dipermudahkan. Insya Allah..Aamiin.


Monday, 31 December 2018

Hikmah Penghijrahan..semoga sentiasa berada dalam rahmat Allah S.W.T..Aamiin


Alhamdulillah, banyak urusan pindah dah selesai di Kelantan setakat ini untuk tahun 2018. Ada beberapa urusan perpindahan juga sudah diselesaikan di Johor (setakat ini kali keempat sudah kami berpindah). Banyak hikmahnya berpindah ini walaupun sedikit kesukaran terpaksa kami sekeluarga tempuhi. Alhamdulillah, setakat ini semua urusan berjalan dengan lancar. Urusan anak-anak terutama abang Faheem masuk ke Maahad Muhammadi lelaki, alhamdulillah sudah beres dan urusan pindah sekolah kakak Iffah dan tadika abang Fateh dan Adik Faris tiada masalah. Rabbi Yassir Wa La Tua’ssir. Untuk urusan pindah kali ini banyak hikmah yang Umi dapat teladani.  Terhutang budi pada Jiran-jiran sebelah rumah di Johor, dekat dan jauh, ahli keluarga kami serta Terhutang budi terutama kepada kakak Umi, Kak Ma juga kerana anak kak Ma, abang Faiz banyak membantu abah menguruskan barang-barang pindah kami menggunakan perkhidmatan lori sewa. Cerita tentang perpindahan kami kali ini, Umi meminta tolong daripada anak saudara umi, abang Faiz di Pasir Mas meneman dan membantu abah untuk mengambil barang-barang kami di Johor. Apabila berpindah tempat, banyak urusan perlu diselesaikan. Kami kena selesaikan satu persatu. Bulan Disember 2018 ini adalah saat kesibukan yang tiada berpenghujung kerana perpindahan ini. Urusan rumah sewa, pindah anak, pindah barang, selesaikan bab belajar dahulu sedikit demi sedikit sebelum sambung balik mood rajin tu, dan urusan persekolahan anak-anak. Kakak umi, kak Ma dan abang Ipar Umi, abang Yu  bersungguh-sungguh ingin membantu. Usai ambik abang Faiz di Pasir Mas, kami ada beberapa urusan yang nak diselesaikan di Ketereh. Dek banyak sangat perkara yang perlu diselesaikan di Ketereh, abah nak cancelkan tiket bas sebab takut terlambat dan tertinggal bas ke Johor. Naik bas kat Pasir Hor. Jauh juga tu Pasir Mas-Ketereh-Pasir Hor. Abah lupa nak bawa baju dan dokumen. Umi secara spontan bagi cadangan supaya hantar abah dan abang Faiz dulu ke stesen bas, bab baju dan dokumen uruskan kemudian. Baju boleh beli di mana-mana pasar raya, dan dokumen boleh je muat turun daripada internet.  Kebetulan pula, pakaian yang dah siap dibasuh dengan mesin dobi dan beg travel pun dah ada. Apa lagi abang Faheem dengan pantas sediakan keperluan untuk abah siap dengan beg travel sekali. Abang Faheem dah biasa dengan kehidupan travel kami sekeluarga. Abah cakap umi kreatif. Abah tak terfikir sebenarnya nak buat macam tu. Sebenarnya Itulah pengalaman yang membuatkan kita sentiasa berfikir untuk memudahkan urusan. Seandainya tiada pengalaman sebegini, susah juga kami sekeluarga untuk menghadapi situasi pindah randah ni. Apabila berpindah, banyak keputusan segera perlu dibuat. Dalam banyak urusan, umi dan abah saling sepakat. Banyak keputusan kami buat bersama. Abah mementingkan kesempurnaan, umi pulak jenis simple je asalkan buat jangan tak buat. Yang paling penting semuanya beres dan bisa diatur. Jangan tak bisa-bisa, sampai semuanya tak menjadi. Plan A tak menjadi, ada Plan B, Plan C, dan seterusnya. Kesusahan mengajar kita tentang erti hidup yang sebenarnya. Pengalaman lalu mengajar Umi untuk terus gigih dan bersabar dalam menempuh dugaan dan ujian.

Yang paling penting, kita merancang, berusaha dan bertawakkal…alhamdulillah selesai..insya Allah, semuanya yang terbaik daripada Allah S.W.T jua.


Syukur Rezeki Tahun 2018..semoga Allah Memberkati..Segalanya Milik Allah S.W.T


Alhamdulillah, syukur segalanya atas rezeki ini. Untuk perancangan tahun 2018 ini, banyak juga yang tercapai melebihi pada target Umi sebenarnya. Semuanya rezeki daripada Allah S.W.T. Impian Umi untuk dapatkan cuti belajar bergaji penuh (Phd) tercapai akhirnya setelah dua kali Umi memohon untuk dapatkan cuti belajar ni. Pertama kali Umi memohon cuti belajar gagal dan kali kedua tahun 2018 alhamdulillah berjaya . Allah S.W.T bagi Umi cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa dan Allah S.W.T kurniakan Umi  perkara yang Umi rasa sukar tetapi Allah S.W.T berikan Umi juga rezekinya yang tidak disangka-sangka. Semuanya berkat daripada orang-orang yang baik berada di sekeliling Umi dan abah yang banyak membantu kami memudahkan urusan. Sebenarnya Allah SWT hantarkan orang-orang yang baik dalam hidup ini. Umi belajar banyak perkara sebenarnya daripada anugerah ini. Kesusahan masa lalu mengajar Umi untuk terus berbuat baik dan cuba memberikan yang terbaik. Semua anugerah ini walaupun daripada usaha Umi tetapi semuanya dengan Izin Allah S.W.T. Umi hanya mampu berusaha. Berkat doa abah, ibu, ahli keluarga, dan sahabat handai yang tersayang banyak membantu serta jiran-jiran yang baik budi di sekeliling baik yang dekat atau pun jauh. Lima perkara yang Umi dapat dalam tahun 2018 walaupun biasa bagi orang lain tetapi ianya merupakan anugerah terindah untuk umi. Tiada yang mampu memberi melainkan Allah S.W.T Yang Maha Berkuasa.  

1.       Cuti belajar bergaji penuh (Phd) dengan biasiswa 2018

2.       Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC)

3.       Abah dapat pindah ke Kelantan (kami sekeluarga dapat ikut berpindah)

4.       Abang Faheem dapat sekolah di Maahad Muhammadi Lelaki

5.       Abang Fateh sudah sembuh sedikit daripada ekzema dan dapat tidur lena sedikit (sebelum ini Fateh tak pernah tidur lena kerana penyakitnya).

Monday, 24 September 2018

Di Dalam Mencari Yang Sempurna Maka Yang Terbaik Akan Hilang



Bersyukurlah dengan nikmat yang diberikan. Alhamdulillah setiap detik dan waktu Allah SWT memberikan aku ruang dan kesempatan melihat dan meneroka di setiap genap alam. Bermusafir menikmati kebesaran dan keagungan Allah SWT. Hanya dalam hatiku betapa besarnya nikmat yang Allah SWT berikan untukku. Allahu Akbar. Allah SWT banyak mendidikku dan memberi pengajaran menginsafi segala kelemahan diri bahawa tiada yang sempurna di dunia ini. Alhamdulillah, aku bersyukur dengan apa yang aku ada sekarang. Aku sangat memahami dalam mencari yang sempurna maka yang terbaik akan hilang. Yang terbaik di sisiku anugerah Ilahi. Dalam surah Ar Rahman aku hayati tafsirannya : “ Nikmat apa lagi yang mahu didustakan” . Syukur saat derita Allah kurniakan bahagia, saat susah Allah hadiahkan rezeki..alhamdulillah. Sedikit sebanyak rasa bersyukur bertandang juga nikmat Ilahi walau macam mana sekali pun. Allah SWT datangkan suami, anak-anak dan sahabat-sahabat yang baik juga satu rezeki bagiku…Doa seorang ibu adalah yang terbaik untuk anak-anaknya. Segala yang baik itu datangnya rezeki daripada Allah…Allah kurniakan segalanya dan tidak perlu lagi rasanya mencari kesempurnaan…aku belajar menerima semuanya seadanya. Segala yang ada sudah cukup bagiku dalam memberi erti hidup. Syukur dipanjatkan kepada Ilahi, aku pernah merasai kehilangan orang yang sangat aku sayangi yang sentiasa ada saat aku memerlukan, memberi motivasi dan harapan untuk berjaya dunia akhirat. Mendoakanku saban waktu dan memberi harapan untuk aku berjaya dalam pelajaran. Itulah arwah ayah. Nasihat dan pedoman sehingga kini masih aku ingat dan teladani. Bersyukurlah seandainya kita masih ada lagi ayah yang baik yang sentiasa menyayangi anak-anaknya. Jangan lihat apa yang kita tiada.  Arwah ayah meninggal semasa aku masih lagi belajar mengenal erti dunia dan bertatih meneruskan semangat dan motivasi untuk belajar. Arwah ayah meninggal masa aku di tingkatan dua. Saat aku kehilangan arwah ayah semasa aku masih lagi memerlukannya dan pada saat yang tepat, Allah SWT menggantikan aku dengan seorang suami yang sentiasa menemaniku saat susah dan payah. Sebab itulah aku belajar banyak erti syukur. Aku tidak pernah ingin mencari kesempurnaan. Pesanan arwah untuk aku belajar bersungguh-sungguh sampai sekarang menjadi pencetus motivasiku untuk belajar dan meneruskan pencarian ilmu walau sebenarnya dahulu aku belajar dalam serba kekurangan. Tiada istilah sekolah hebat, guru yang hebat. Sekolah kampung sahaja.  Aku juga pelajar yang biasa sahaja. Anak orang kampung. Cuma yang ada pada masa tu, guru-guru yang segalanya diberkati sehingga melahirkan ramai yang mendapat gelaran graduan universiti.  Aku bersyukur juga dapat menjejakkan kaki ke universiti Malaya dan sampai sekarang Allah SWT memberikanku peluang untuk menimba ilmu. Sebab itulah, aku berpegang pada prinsip kekurangan bukan alasan untuk tidak berjaya. Mengingati masa lalu dalam serba kepayahan, aku belajar erti bersyukur. Melihat banyak segi kehidupan dalam permusafiran merantau ke negeri orang, aku belajar tentang istilah mensyukuri apa yang ada dan terus berusaha. Tidak gentar dan takut..selagi ada redha daripada ibu dan restu daripada suamiku, aku yakin segalanya akan berjalan dengan lancar. Semoga Allah mempermudahkan segalanya.. Cukuplah apa yang ada dan Allah SWT berhak memberi atas segalanya. Aku hanya mampu berusaha. Semoga kehidupanku, keluargaku, guru-guruku, sahabat-sahabatku, jiran-jiranku, anak-anak didikku Insya Allah semakin diberkati….Aamiin.